Temubual
Aaron Aziz berkongsi mengenai "Marvel's Ant Man"


Tarikh disiarkan: 24 Julai 2015


Aaron Aziz sebagai duta "Ant-Man" Malaysia.

Walaupun kesibukan Aaron Aziz dengan berlakon dan mengarah, tetapi dia masih lagi sempat untuk meluangkan masa sebagai duta selebriti untuk filem terbaru Marvel Cinematic Universe, "Marvel's Ant-Man".

Baru-baru ini Cinema Online sempat bertemu dengan pelakon-pengarah popular ini di gala premier "Marvel's Ant-Man" yang mana Aaron turut mengadakan sesi ramah mesra bersama kelab peminatnya Aaronators.

Jom ikuti temubual eksklusif bersama Aaron Aziz yang berkongsi mengenai perkembangan terbarunya.


Aaron Aziz bergambar bersama peminatnya Aaronators.

Cinema Online: Hi Aaron, sudahkah anda menonton "Marvel's Ant-Man"? Mengapa anda memilih untuk menjadi duta untuk filem ini.
Aaron Aziz: Belum, tetapi sekejap lagi saya akan menontonnya. Ini bukanlah kali pertama saya bekerjasama dengan pihak Disney. Kami sudah beberapa kali melakukan projek bersama dan saya sangat berbangga apabila mereka memilih saya diantara pelakon-pelakon lain di Malaysia. Mungkin saya dipilih kerana saya seorang yang berkeluarga sama seperti karakter dalam filem ini yang sanggup melakukan apa sahaja demi anaknya.

Jika anda boleh menjadi adiwira lain selain Ant-Man, adiwira manakah menjadi pilihan anda?
Saya mahu menjadi Invisible Man kerana kerjaya seperti saya ini kadang-kala elok juga jadi halimunan (selorohnya).

Di Malaysia sendiri sudah ada adiwira sendiri iaitu Cicak-Man, pernahkah anda terfikir untuk membuat filem adiwira anda sendiri?
Saya rasa setiap bapa merupakan adiwira kepada anak-anak mereka. Kita perlu mendidik anak-anak kita dengan baik supaya mereka dapat jadikan kita sebagai contoh sekaligus dapat mencipta ikatan ayah-anak yang kuat. Jika saya mahu membuat filem adiwira, saya akan jadi Superdad.

Sekarang ini anda banyak terlibat dengan pengarahan, tetapi diantara berlakon dan berlakon, yang mana anda rasa lebih mencabar?
Saya rasa mengarah lebih rumit, ia sukar dan banyak kerja. Sebagai pelakon, kerja saya hanya pergi ke set dan memberikan lakonan terbaik kemudian pulang. Tetapi sebagai pengarah, saya perlu bekerja dari mula sehingga akhir, sehingga ia ditayangkan. Sebagai pelakon, kualiti persembahan terletak di bahu pengarah samada baik atau buruk.


Aaron Aziz berpuas hati dengan "Marvel's Ant-Man".

Boleh cerita sedikit projek pengarahan terbaru anda?
Disember ini saya ada projek baru yang berjudul "Sayu Yang Syukur". Ia mengisahkan tentang sentiasa bersyukur. Ia adalah cerita cinta tetapi berbeza dari cerita cinta lain yang pernah saya terlibat. Tahun depan pula saya akan muncul dengan filem ketiga arahan saya.

Difahamkan anda akan bekerja dengan produksi Hong Kong? Boleh cerita sedikit mengenainya?
Saya akan ke sana selepas Raya. Saya sepatutnya pergi pada 27 Jun lalu tetapi kerana ketika itu bulan puasa, jadi penerbit di Hong Kong memberi saya pelepasan untuk datang lewat. Oleh itu tahun ini Raya saya bersama keluarga singkat. Saya tidak boleh beritahu judul filem tersebut kerana ia dalam Bahasa Kantonis, saya tak tahu macam mana nak sebut (ketawa). Ia adalah filem aksi, dan apa yang saya tahu ia mengenai kegiatan gangster.

Jadi apa projek akan datang anda?
Saya ada dapat tawaran berlakon drama episode panjang, tetapi saya belum buat keputusan untuk terima atau tidak. Saya juga akan terlibat dengan filem terbaru. Yang ini saya tidak boleh dedahkan ceritanya.

Apa perancangan Raya anda tahun ini memandangkan anda harus pulang ke Singapura?
Raya kali ini memang sibuk saya dibuatnya. Selain dari perniagaan kafe saya, saya juga baru sahaja berpindah rumah. Nasihat saya, jangan pindah rumah ketika musim perayaan (ketawa).

Penulis: Florey DM

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click here.

Filem Berkaitan: