Temubual
Cabaran 10 hari arah filem "Banglo Berkunci


Tarikh disiarkan: 26 November 2015


Pengarah Dharma Aizat mahu mengarah filem bergenre lain pula selepas ini.

Pengarah filem Dharma Aizat muncul dengan filem seram terbarunya berjudul "Banglo Berkunci" yang menampilkan pelakon lama dan baru seperti Intan Ladyana, Adibah Yunus, Fahmy Reza dan ramai lagi.

Ini merupakan filem seram ketiganya selepas "Ia Wujud" dan "Jalan Puncak Alam".

Menurut Dharma, dia menghadapi cabaran besar ketika melakukan penggambaran filem tersebut termasuk kekangan masa.

Baru-baru ini ketika majlis pratonton filem "Banglo Berkunci" di Cathay Cineplex eCurve, Mutiara Damansara, Cinema Online sempat menemubual pengarah muda berbakat besar ini bagi berkongsi dengan lebih lanjut mengenai pembikinan filem seram terbarunya itu.

Mari ikuti temubual bersama Dharma Aizat.

Boleh ceritakan sedikit mengenai filem ini?
Ia menceritakan tentang tiga rakan Danny, Boy dan Adam yang mahu melakukan aktiviti paranormal di sebuah banglo yang telah berlaku pembunuhan, di mana seorang lelaki telah membunuh isteri dan anaknya sebelum membunuh diri.

Dari manakah tercetusnya idea untuk menghasilkan "Banglo Berkunci"?
Sebenarnya idea "Banglo Berkunci" ini daripada panel skrip MIG dan ia diangkat dari kisah sebenar, namun selepas saya berbincang dengan panel skrip dengan lebih lanjut, kami telah mengolah sedikit jalan cerita ini supaya ia tidak dikaitkan dengan mana-mana kisah. Tetapi jika masih ada yang mengatakan filem ini dari cerita sebenar, ia mungkin kebetulan sahaja.

Apakah cabaran yang dihadapi anda sepanjang penggambaran?
Cabaran utama dalam menjayakan filem ini adalah kekangan masa dan bajet. Ini kerana penggambaran filem ini hanya mengambil tempoh selama 10 hari sahaja dan jika kita fikirkan, ia seperti tidak masuk akal kerana belum pernah ada orang buat filem dalam tempoh 10 hari sahaja. Tetapi saya menyahut cabaran ini untuk mencabar kemampuan saya dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

Bagaimanapun komitmen yang diberikan oleh para pelakon?
Pelakon-pelakon saya telah memberikan yang terbaik. Saya menampilkan barisan pelakon baru dan lama. Bagaimanapun saya cuba seimbang watak-watak di antara pelakon lama dan baru supaya lakonan pelakon-pelakon baru ini tidak tenggelam.

Adakah anda berpuas hati dengan hasil akhir filem ini?
Sebagai seorang pengarah sudah semestinya perasaan kurang puas hati perlu ada untuk terus memperbaiki kelemahan pada masa akan datang. Tetapi untuk filem ini, apa yang saya boleh katakan ialah saya telah memberikan yang terbaik walaupun berdepan kekangan masa dan bajet. Jika saya mendapat bajet yang lebih, saya pasti boleh menghasilkan yang membuat penonton berasa 'Wow'.

Ketiga-tiga filem anda dari genre yang sama, iaitu seram. Tidakkah anda ingin mengarah filem bergenre lain pula?
Bukan tidak mahu, tetapi di MIG kita ada banyak pengarah dan perlu mengikut susunan yang ditetapkan. Kebetulan untuk filem seram, panel skrip telah memilih saya memandangkan genre lain mereka sudah ada pengarah. Oleh itu saya terima sahaja dengan hati terbuka. Bagaimanapun, saya berharap selepas ini saya dapat mengarah sebuah filem dari genre aksi komedi atau pun romantik komedi pula.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Banglo Berkunci (Melayu) (26 November 2015)
Jalan Puncak Alam (Melayu) (7 Mei 2015)
Ia Wujud (Melayu) (15 Mei 2014)