Temubual
Eyra Rahman tak letak sasaran terhadap "Badi"


Tarikh disiarkan: 19 Oktober 2015


Walaupun tidak letak sasaran tinggi, namun Eyra Rahman yakin filem genre
seram masih mendapat permintaan penonton tempatan.

Selepas mengarah dua filem seram "Pengantin Malam" dan "Gudang Kubur", pengarah berbakat besar Eyra Rahman tampil dengan filem seram ketiganya berjudul "Badi".

Menampilkan barisan pelakon campuran lama dan baru, Eyra yakin penerimaan penonton kepada filem bergenre seram bukan hanya melalui kajian yang dilakukan, sebaliknya filem bergenre seram lebih bersifat universal.

Tambah Eyra lagi, genre seram ini boleh dikatakan dekat dengan realiti kehidupan harian, namun ia diselitkan dengan unsur pengajaran yang dapat memberi panduan serta kesedaran terhadap masyarakat.

"Badi" mengisahkan tentang empat pelajar perubatan sedang menjalani latihan di sebuah hospital. Apabila mereka diberi tugasan untuk melakukan pemeriksaan anatomi terhadap mayat seorang bidan yang telah mati iaitu Mek Nak, mereka telah melanggar etika seorang doktor dan sesama manusia. Sejak dari itu, pelbagai kejadian aneh mula berlaku kepada mereka.

Baru-baru ini ketika majlis pratonton "Badi" di Cathay Cineplex, eCurve, Cinema Online sempat menemubual pengarah bagi berkongsi disebalik "Badi" dan cabaran yang dihadapi ketika penggambaran.

Boleh ceritakan sedikit mengenai filem "Badi" ini?
Filem "Badi" ini adalah filem seram ketiga saya. Apa yang berbeza dari dua buah filem seram saya sebelum ini "Pengantin Malam" dan "Gudang Kubur" berkonsepkan 'urban', tetapi untuk "Badi" ini saya ketengahkan konsep tradisional dan ke arah kampung. Selain itu, saya juga menyuntik elemen tarian Mak Yong dalam filem ini.

Mengapa ada masukkan elemen tarian Mak Yong dalam "Badi"?
Okay, sebenarnya elemen Mak Yong ini hanya ada 20 peratus sahaja dalam cerita ini kerana ia ada cerita di sebalik atau sebelum kenapa Mak Yong hidup. Bagaimanapun saya tidak mahu lebihkan Mak Yong kerana mahu mengetengahkan mengenai kekeluargaan dan sahabat.

Dari manakah idea untuk menghasilkan "Badi" ini tercetus?
Pada mulanya saya berbincang dengan panel skrip MIG untuk menentukan filem apa yang mahu dibuat, dan mereka mahu membuat filem bergenre seram. Jadi saya cakap mengapa tidak buat filem seram kampung kerana saya tidak pernah buat filem seram kampung ini. Jadi selepas siap semua baru saya tambah elemen Mak Yong ini sebagai penambah 'rasa' filem ini.

Bagaimana pula dengan komitmen para pelakon memandangkan pelakon yang ditampilkan hampir semua pelakon baru?
Sebenarnya saya menampilkan gabungan pelakon lama dan baru, yang mana seperti anda tahu Azwan Kombos dan Adibah Yunus merupakan pelakon yang sudah lama dalam industri. Saya juga menampilkan pelakon baru seperti Hanif Safuan, Sharisa Haris, Navilyna Husna dan Ayang Abbas. Apa yang saya boleh katakan adalah para pelakon memberikan komitmen tinggi dan bersedia ketika penggambaran berlangsung berikutan kami sudah melaukan persiapan seperti kelas berlakon. Jadi saya tidak berdepan masalah sangat mengendalikan mereka ini.

Adakah anda berpuas hati dengan hasil akhir "Badi"?
Tanyalah pada mana-mana pengarah pun pastinya mereka juga akan berkata tidak puas hati. Ini kerana sebagai seorang pengarah apabila anda tonton balik hasil akhir pastinya akan terdetik mengatakan anda boleh buat dengan lebih baik lagi. Tetapi secara peribadinya saya 70 peratus berpuas hati dengan karya terbaru saya ini. Walaupun ini merupakan filem kesembilan saya, namun saya masih lagi dalam proses pembelajaran dan akan terus memperbaiki mutu filem saya akan datang.

Pada pandangan anda, adakah filem genre seram masih relevan pada masa kini?
Ya, masih relevan. Ini kerana filem bergenre seram ini bersifat universal, malah kecederungan minat serta perminataan tinggi dari penonton terhadap filem bergenre ini sedikit sebanyak memberi idea untuk menghasilkan filem "Badi" ini. Tambahan masyarakat tempatan kita masih lagi mempercayai terhadap perkara-perkara mistik atau tahyul.

Apakah sasaran anda terhadap filem "Badi"?
Sejujurnya saya tidak mahu meletak harapan yang tinggi kerana tidak mahu kecewa nanti. Tetapi apa yang saya boleh katakan adalah saya serahkan kepada ketentuan Tuhan dan berharap yang terbaik untuk filem ini, sekaligus dapat memberi semangat kepada saya untuk terus berkarya.

"Badi" kini sedang ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia sejak 15 Oktober.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Badi (Melayu) (15 Oktober 2015)
Pengantin Malam (Melayu) (19 Jun 2014)
Gudang Kubur (Melayu) (12 Februari 2015)