Temubual
"Polis Evo" bakal jadi filem aksi terhebat tahun ini


Tarikh disiarkan: 5 September 2015

 


Barisan pelakon dan tenaga produksi yang menjayakan filem "Polis Evo".

Tidak dinafikan filem-filem aksi antarabangsa sering diagung-agungkan dan mendapat hebahan meluas daripada penonton, manakala filem aksi tempatan pula sering dikritik atau kurang mendapat hebahan daripada penonton.

Nekad mahu mengubah persepsi itu, Astro Shaw dan pengarah berkaliber Ghaz Abu Bakar telah tampil dengan sebuah filem aksi "Polis Evo" yang dikatakan bakal menjadi filem aksi terhebat pada tahun ini.

Selain mengangkat martabat anggota polis di dalam filem ini, pengarah turut menyuntik elemen persahabatan dan kekeluargaan.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai "Polis Evo" yang diterajui oleh dua pelakon hebat Shaheizy Sam dan Zizan Razak ini, jom ikuti temubual bersama pengarah dan barisan pelakon yang menjayakan filem ini ketika ditemui pada majlis pratonton di GSC Pavilion, Kuala Lumpur.


Ghaz Abu Bakar yakin "Polis Evo" adalah karya terbaiknya.

Boleh kongsikan pengalaman anda mengarah filem "Polis Evo"?
Ghaz: Filem "Polis Evo" ini membawa saya ke satu tahap yang lebih tinggi dan matang dalam pembikinan filem. Ianya satu pengalaman yang cukup menarik apabila dapat bekerjasama dengan tenaga produksi dan barisan pelakon yang cukup hebat. Saya yakin filem ini dapat menjanjikan kepuasan dan kelainan kepada para penonton di luar sana.

Adakah Ghaz sendiri berpuas hati dengan hasil akhir filem ini selepas menontonnya?
Ghaz: Selepas menonton filem ini, saya sangat berpuas hati dengan hasil akhirnya. Saya juga ingin memuji barisan pelakon-pelakon yang membintangi filem "Polis Evo" terutama teraju utama iaitu Shaheizy Sam dan Zizan Razak yang memberi komitmen tinggi dalam menjayakan watak mereka.


Shaheizy Sam & Zizan sebagai peneraju "Polis Evo".

Kepada Zizan, adakah anda ada berasa tekanan untuk menjayakan watak sebagai seorang anggota polis berikutan difahamkan anda perlu mengikut protokol seorang anggota?
Zizan: Tidak ada, kerana sebelum saya berlakon saya sudah membuat rujukkan terlebih dahulu bagaimana karakter seorang anggota polis. Selain itu saya juga mendapat tunjuk ajar daripada pengarah dan anggota polis sebenar bagi mengetahui apa yang boleh dan apa yang tidak. Jadi saya tidak mempunyai masalah untuk membawa watak sebagai Inspektor Sani.

Difahamkan Sam terpaksa mengambil masa selama lima bulan untuk membentuk badan sasa semata-mata untuk jayakan watak Inspektor Khai.
Sam: Dalam filem ini watak yang Sam bawa lebih kepada penampilan fizikal dimana watak Inspektor Khai ini seorang yang fizikal jadi untuk menjayakan watak ini, Sam mengambil masa lima bulan untuk membentuk otot supaya kelihatan sasa. Bagi Sam, berlakon bukan sahaja dilihat menerusi lakonan sahaja, tetapi dari segi penampilan juga merupakan salah satu faktor penting dalam lakonan.


Nora Danish bertutur loghat Terengganu dalam filem "Polis Evo".

Difahamkan juga bajet untuk produksi sahaja menelan belanja sebanyak RM2.4 juta, boleh Ghaz komen?
Ghaz: Sebagai seorang pengarah jika anda mempunyai kekangan terhadap bajet untuk berkarya, ia agak sukar untuk anda berkarya. Saya bersyukur kerana tidak berdepan masalah kekangan bajet, jadi saya bebas untuk berkarya tanpa batas sekaligus dapat memberikan yang terbaik untuk filem "Polis Evo".

Selain Sam dan Zizan, filem terbitan Astro Shaw ini turut dibintangi oleh Nora Danish, Allahyarham Harun Salim Bachik, Pablo Amerul, Wan Hanafi Su dan ramai lagi ini akan ditayangkan di seluruh negara pada 17 September ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Polis Evo (Melayu) (17 September 2015)