Temubual
Bront: Industri filem tempatan semakin teruk!


Tarikh disiarkan: 23 September 2015


Bront Palarae bercerita mengenai industri filem tempatan.

Industri perfileman tempatan semakin hari semakin merosot dan kini sudah berada di tahap kritikal, namun ramai penggiat filem masih mendiamkan diri atau masih enggan menerima hakikat bahawa industri perfileman tempatan kini dilihat seperti 'nyawa-nyawa ikan'.

Namun bagi seorang penggiat filem popular, Bront Palarae, yang sering dilihat lantang dalam melontarkan pandangannya mengenai industri perfileman tempatan berkata sudah tiba masanya untuk industri perfileman tempatan melakukan perubahan.

Ketika majlis pratonton filem "Girlfriend Kontrak" baru-baru ini di Kafe Skrin di Ulu Kelang, Cinema Online sempat menemubual dengan pelakon, pengarah dan penerbit filem ini bagi mendapatkan pandangannya mengenai keadaan industri seni tanah air dan juga mengenai filem terbaru lakonannya, "Girlfriend Kontrak".


Barisan pelakon dan tenaga kerja "Girlfriend Kontrak" ketika di majlis pratonton.

Sebagai seorang artis yang sudah lama bertapak dalam industri, apa pandangan anda mengenai industri perfileman tempatan sekarang ini dan kemana arah tujuannya?
Kelaut. [Ketawa] Industri perfileman tempatan kita sekarang ini semakin teruk. Apa yang kita dapat lihat pada hari ini adalah penonton hilang keyakinan terhadap filem tempatan, dan untuk mendapatkan kembali keyakinan penonton terhadap filem tempatan memakan masa yang lama.

Apakah punca utama terhadap permasalahan ini?
Saya boleh bercakap mengenainya berjam-jam lamanya. Seperti yang saya pernah katakan baru-baru ini, kita banyak menghasilkan filem-filem 'mengarut' dengan bajet besar. Penerbit-penerbit yang mengeluarkan modal besar untuk filem-filem 'mengarut' ini kemudian tidak lagi mahu menghasilkan filem apabila mendapat kutipan sedikit. Jika hendak dibandingkan, filem-filem di luar negara dapat kutipan sangat besar dan ini nyata berbeza dengan filem tempatan yang menanggung kerugian kerana penonton tidak mahu tonton filem tempatan.

Pada tahun 2011 kita dapat menyaksikan industri perfileman tempatan mula mendapat perhatian penonton apabila beberapa filem hebat dihasilkan seperti "Hikayat Merong Mahawangsa" yang merupakan salah sebuah filem bajet besar dengan kualiti yang sangat bagus. Manakala filem komedi, "Hantu Kak Limah" pula menjadi penanda aras kepada filem komedi, kemudian filem romantik "Ombak Rindu" juga berjaya mencetuskan fenomena dan "KL Gangster" masih lagi menjadi filem terbaik yang pernah dihasilkan. Jika kita lihat filem pada tahun berikutnya iaitu pada 2012, kita menyaksikan ramai pembikin filem cuba untuk menghasilkan filem yang sama seperti tahun terdahulu yang berjaya, tetapi dengan bajet yang sedikit.

Apa yang anda harapkan dari industri yang dilihat semakin nazak ini?
Sejujurnya industri perfileman tempatan kita kini berada pada tahap yang sangat nazak dan selagi tidak ada perubahan dari segi kualiti berbanding kuantiti, maka ia kekal seperti keadaan sekarang ini. Jika tahun 2011 menyaksikan sebanyak 40 buah filem tempatan ditayangkan, ia meningkat hampir 100 peratus pada tahun 2012 dengan 70 buah filem, iaitu seminggu sebuah filem tempatan, jadi adakah kita mengharap penonton akan ke pawagam setiap minggu untuk menonton filem yang kualitinya rendah? Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan penonton, kita tidak boleh menyalahkan pihak pawagam juga dan dengan pasaran merudum kita juga tidak boleh menyalahkan penerbit kerana mereka perlu mencari projek yang berkualiti untuk membuat keuntungan. Jujur saya katakana saya tidak tahu ke mana arah tujuan industri perfileman tempatan kini.

Bercerita mengenai filem terbaru anda. Boleh ceritakan sedikit mengenai watak anda dalam "Girlfriend Kontrak"?
Saya memegang watak Zain. Zain seorang usahawan Internet. Dia mahu memusnahkan hidup watak Keith Foo dan mahu mengambil alih syarikat.

Adakah anda menambah 'input' anda sendiri untuk jayakan watak Zain ini?
Ya. Pengarah Virginia memberi kebebasan kepada kami untuk meneroki sendiri watak kami. Terdapat babak menari dalam filem ini yang saya berasakan 'Ohh man, ia pasti buruk, tetapi buruk yang bagus', jadi saya buatkan juga! Ini adalah salah satu proses menyeronokkan jika terbabit dalam filem romantik komedi.

Kami difahamkan anda teruja dapat bekerja dengan Virginia. Boleh jelaskan mengapa?
Dia mempunyai reputasi besar dalam pengiklanan TV dan saya pernah tonton dokumentari pendeknya juga berjudul "Pua". Selepas menonton, saya fikir ia adalah sebuah karya yang hebat dan saya mahu bekerja dengannya satu hari nanti, tetapi ketika itu dia berada dalam bidang lain sehinggalah saya mendapat tahu dia mahu mengarah filem dan saya mendapat panggilan telefon untuk membawa watak sebagai Zain. Saya mendapat skrip menerusi dari emel dan saya menjangkakan ia adalah sebuah filem seni, tetapi sebaliknya. Pada mulanya saya terkejut juga, tetapi selepas membaca beberapa muka surat skrip saya mula ketawa. Disebalik semua itu, apa yang menarik perhatian saya untuk terlibat dalam projek ini adalah tentang isu alam sekitar.

Jadi adakah anda lebih suka berlakon watak komersial atau watak serius?
Saya tidak pernah meletakkan sebarang pilihan dalam berlakon. Ini kerana saya lebih mementingkan kepada jalan cerita yang ingin disampaikan.

Apa projek terbaru anda selepas ini?
Saya baru sahaja selesai penggambaran "Halfworlds" untuk HBO Asia. Ia sebuah minisiri. Ia akan diriliskan pada hujung November dan kami akan lancarkan di Comic Con Jakarta pada 26 September. Saya harap siri ini dapat menjadi platform untuk berkolaborasi seperti ini lagi pada masa hadapan.

"Girlfriend Kontrak" akan menemui penonton pada 24 September 2015.

Penulis: Naseem Randhawa

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click here.

Filem Berkaitan:
Girlfriend Kontrak (Melayu) (24 September 2015)