Temubual
Bella kongsi keserasiannya dengan Syamsul Yusof


Tarikh disiarkan: 4 Disember 2016


Bella Dally di tayangan perdana "Desolasi".

Filem fantasi thriller "Desolasi" merupakan filem ketiga pelakon Bella Dally, atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally selepas filem "Seru" dan "Gila-Gila Remaja 2".

Pelakon berusia 26 tahun itu sememangnya popular dalam drama bersiri televisyen sejak mula berkecimpung dalam dunia lakonan pada usia 18 tahun.

Dalam filem "Desolasi" arahan Syafiq Yusof dan dibintangi Syamsul Yusof, Bella membawa watak sebagai heroin yang merupakan 'seseorang yang jujur kepada tuhan dan juga sebagai 'twist' dalam plot filem ini'.

Ketika tayangan perdana "Desolasi", barisan pelakon dan penyanyi lain turut hadir, antaranya Datuk Yusof Haslam - bapa kepada Syamsul dan Syafiq - Mawi yang menanyikan lagu tema filem tersebut dan juga Puteri Sarah.

"Desolasi" mengisahkan tentang Aiman yang satu hari bangun dalam dunia tanpa seorang manusia. Di sana, dia kemudian bertemu dengan seorang gadis misteri yang mengajarnya mengenai kebenaran dalam dunia hakiki.

Cinema Online: Mengapa anda menerima tawaran untuk berlakon dalam filem ini?

Bella Dally: Pertama sekali kerana filem ini diterbitkan oleh Skop Production. Kedua, kerana filem ini diarahkan oleh Syafiq Yusof dan saya tahu dia seorang pengarah yang sangat bagus, dan ketiga kerana Syamsul Yusof. Dia seorang pelakon hebat dan saya berharap dapat mempelajari sesuatu daripadanya.

Apakah cabaran yang dihadapi anda ketika menjayakan filem "Desolasi"?

Cabaran bagi saya adalah cuaca, kerana kadang-kala keadaan cuaca menyebabkan kami berdepan kesukaran terutamanya apabila hujan. Keduanya, filem ini menggunakan banyak CGI jadi saya perlu menggunakan daya imaginasi tinggi untuk berlakon, tetapi Alhamdulillah dengan tunjuk ajar daripada Syafiq saya berjaya melakukannya.


Bella Dally baru sahaja bergelar isteri kepada pelakon Nazim Othman.

Apakah yang anda pelajari apabila berlakon dalam filem ini?

Saya banyak belajar terutamanya dari segi lakonan dan juga ajaran agama Islam sebagaimana filem ini secara tidak langsung menyuntik elemen Islamik.

Bagaimana pula keserasian anda dengan Syamsul?

Pada mula saya merasakan seperti sukar untuk mendekatinya, tetapi ramai yang memberitahu saya yang dia sememangnya begitu dengan gandingan wanita, jadi saya hormat dia. Walaupun begitu, apabila penggambaran bermula, keserasian antara kami sangat bagus.

Apakah maksud anda 'dia memang begitu'?

Maksudnya dia jarang bercakap dengan pelakon perempuan yang bergandingan dengannya.

Berapa hari untuk anda serasi dengan Syamsul?

Kami okay selepas tiga hari. Pada mulanya sahaja dia tampak seperti tidak ramah, tetapi selepas itu kami okay. Malah Syamsul turut mengakui dia sememangnya begitu, jadi dia minta saya tidak berasa hati dengannya, dan kebanyakkan pelakon wanita lain sudah biasa dengan caranya.

Apakah harapan anda terhadap filem ini?

Sudah pasti saya berharap agar orang ramai akan tonton dan menghayatinya. InsyaAllah selepas ini saya akan lebih banyak berlakon filem.

Apakah perbezaan penggambaran drama dan filem?


Bagi saya, penggambaran drama adalah kerja yang banyak kerana saya mempunyai banyak babak untuk dijayakan, dan saya tidak ada banyak masa untuk mengkaji skrip. Tetapi untuk filem, saya hanya berlakon beberapa babak sahaja sehari, jadi saya mempunyai masa untuk melakukan ulang kaji. Ini merupakan antara satu sebab saya suka mengenai filem kerana anda boleh melihat setiap orang betul-betul fokus dalam menjayakan filem.

Apakah projek seterusnya untuk anda?


Ada beberapa tawaran, tetapi sehingga kini ia masih belum dapat dipastikan. Jadi untuk sekarang saya fokus kepada promosi filem ini dan juga pada projek fesyen saya dengan Ariani.

"Desolasi" akan menemui penonton di seluruh Malaysia dan Singapura pada 8 Disember 2016.

Penulis: Erny Suzira

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan:
Desolasi (Melayu) (8 Disember 2016)