Temubual
Dhyan Vimal bakal arah filem Hollywood


Tarikh disiarkan: 7 Ogos 2016


Pengarah yakin filemnya mampu dapat sambutan daripada penonton.

Baru-baru ini, sebuah filem tempatan, "Temuan Takdir", telah ditayangkan di seluruh negara, namun rata-rata penonton sudah pasti tertanya-tanya siapakah pengarahnya Dhyan Vimal. Adakah beliau merupakan orang industri perfileman atau baru sahaja menceburi bidang ini?

Ya, beliau merupakan pembikin filem baru dalam industri dan filem "Temuan Takdir" adalah filem sulungnya sebagai sutradara.

Dhyan Vimal sebenarnya merupakan seorang penceramah antarabangsa, pengarang dan tokoh korporat yang gemar belajar dan menguasai kemahiran-kemahiran baru.

Terbaru, dia mula menceburi bidang pembikinan filem pula yang mana ia berkembang menjadi sesuatu yang besar daripada apa yang dijangkakan yang mana ia boleh membuka jalan kepada orang ramai untuk mempelajari skil baru.

Baru-baru ini ketika pratonton filem "Temuan Takdir" yang berlangsung di GSC Mid Valley, Cinema Online berkesempatan menemubual Dhyan Vimal bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai filemnya dan perancangannya.


Barisan pelakon, pengarah dan penerbit filem "Temuan Takdir".

Cinema Online: Boleh ceritakan sedikit bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan filem sulung anda "Temuan Takdir"?

Dhyan Vimal: Ia sebuah filem yang dibuat di bawah Projek Dignity yang mana ia memberi peluang bagi mereka untuk mempelajari satu atau lebih kemahiran agar mereka dapat menggunakannya untuk mencari rezeki; namun yang paling penting adalah untuk membolehkan seseorang memiliki sesuatu kemahiran agar mereka dapat menyumbang dalam dunia ini. Dengan projek ini kami telah berjaya melatih lebih 100 orang.

Mengapa anda memilih filem untuk Projek Dignity berbanding yang lain?

Pembikinan filem merupakan proses yang sukar dan memandangkan saya mempunyai kemahiran dalam perfileman dan suntingan, ia menjadi mudah untuk saya melakukan projek ini.

Berbalik kepada filem "Temuan Takdir", anda menampilkan hampir kesemua pelakon baru. Apakah cabaran yang anda hadapi ketika penggambaran?

Sejujurnya saya tidak mempunyai sebarang masalah dalam mengendali pelakon-pelakon baru ini kerana senang untuk saya mencorak watak-watak yang dibawa oleh mereka. Saya juga menampilkan beberapa pelakon senior dalam filem ini seperti Vanidah Imran, Dato' Zahim Albakri dan Ery Zukhairi yang mana mereka ini juga banyak membantu pelakon-pelakon baru dalam memberi tunjuk ajar dari segi lakonan.

Berapa lama penggambaran filem ini berlangsung dan berapa kos keseluruhan filem ini?

Penggambaran filem ini hanya mengambil tempoh sebulan sahaja dan kos keseluruhan termasuk promosi sekitar RM1.2 juta.

Adakah anda yakin filem "Temuan Takdir" mampu mendapat sambutan memandangkan industri perfileman tempatan secara puratanya masih lagi di tahap membimbangkan?

Saya yakin dengan filem arahan saya. Saya percaya selepas penonton tonton filem ini mereka akan menyukainya. Pada pandangan saya, kebanyakkan filem tempatan gagal berpunca dari faktor mereka mahu menghasilkan sebuah filem yang mereka tidak boleh buat, sebagai contoh, mereka tidak cukup bajet. Bagi saya, sekiranya anda membuat filem yang berasaskan apa yang anda boleh buat, saya percaya ia akan berjaya.

Selepas ini apakah perkembangan terbaru anda?

Ya, selepas ini saya akan mengarah sebuah filem Hollywood berjudul "Dirty Money" yang mana saya akan terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk melakukan perbincangan dengan pihak di sana. Ia merupakan sebuah filem dengan bajet USD13 juta yang mana ia bakal dibintangi oleh pelakon "Tron: Legacy", Serinda Swan. Ia dijangka akan memulakan penggambaran pada bulan Mac tahun 2017. Tapi sebelum itu, saya mungkin akan mengarah sebuah lagi filem Melayu pada Disember yang masih lagi belum mempunyai judul.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Temuan Takdir (Melayu) (11 Ogos 2016)