Temubual
Farid Kamil mahu buktikan pelakon tempatan setaraf Hollywood


Tarikh disiarkan: 28 September 2016


Farid Kamil mengalami kecederaan tangan apabila dia tertumbuk kamera
ketika penggambaran berlangsung.

Farid Kamil merupakan antara figura yang tersohor dalam industri seni tanah air. Ini kerana dia merupakan seorang pelakon yang cukup berbakat besar dalam bidang lakonan dengan membintangi lebih 30 buah filem.

Malah selain berlakon, Farid juga merupakan salah seorang pengarah muda hebat apabila filem sulung arahannya, "V3: Samseng Jalanan", telah tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM 23).

Terbaru, hero pujaan Malaya ini bakal muncul dengan sebuah filem bajet besar berjudul "Tombiruo: Penunggu Rimba" yang diangkat dari novel popular dengan judul sama.

Dalam filem tersebut, Farid bakal membawa watak sebagai Amiruddin, yang mana ia turut menampilkan Zul Ariffin sebagai Tombiruo yang juga peneraju utama filem itu, serta beberapa pelakon hebat lain seperti Nabila Huda, Dato' M. Nasir, Faye Kusairi, Dynas Mokhtar dan ramai lagi.

Baru-baru ini, Cinema Online berpeluang untuk melawat lokasi penggambaran filem terbitan Astro Shaw, Ideate Media dan Grup Buku Karangkraf ini di Hulu Langat, Selangor dan sempat menemubual Farid bagi berkongsi pengalamannya menjayakan filem ini.


Farid Kamil menonton semula 'playback' babak yang baru dijayakannya.

Cinema Online: Boleh kongsi sedikit perkembangan penggambaran ketika ini?
Farid: Ketika ini kami sudah lebih 44 hari menjalani penggambaran dan sehingga kini semuanya berjalan dengan lancar dan mengikut jadual. Kami masih ada lagi lebih kurang sebulan lebih lagi untuk penggambaran siap.

Sepanjang penggambaran, apa cabaran yang dihadapi oleh anda?
Alhamdulillah, sepanjang penggambaran ini saya tidak berdepan sebarang masalah langsung kerana semuanya sudah dirancang lebih awal dan segala latihan dibuat terlebih dahulu sebelum masuk ke set, jadi apabila penggambaran bermula, masing-masing sudah tahu apa yang perlu di buat dan ini memudahakan semua orang, termasuk para pelakon.

Ia juga satu pengalaman baru buat saya apabila bekerja dengan produksi yang menerapkan cara kerja 'ala Hollywood' yang mana mereka tidak akan bekerja lebih 12 jam dan tidak terburu-buru untuk menghabiskan setiap babak. Dengan ini, saya dapat memberi fokus dan komitmen yang lebih baik untuk menjayakan setiap babak yang membabitkan saya terutamanya dalam babak aksi.

Difahamkan anda melakukan sendiri babak aksi hampir keseluruhan filem walaupun mempunyai 'stunt double'. Boleh kongsi sedikit mengapa anda berbuat demikian?
Saya sememangnya dari dahulu akan melakukan babak aksi sendiri sekiranya merasakan saya mampu melakukannya, kerana ia memberi satu kepuasan kepada diri saya. Sama seperti dalam filem ini yang mana boleh dikatakan hampir kesemua babak aksi berat saya buat sendiri tanpa menggunakan 'stunt double'. Saya akan gunakan 'stunt double' untuk babak-babak aksi ringan sahaja yang tidak menampakkan wajah saya.


Farid kepenantan selepas menjayakan babak aksi bersama Zul Ariffin.

Boleh kongsikan pengalaman anda bekerja dengan dua pengarah; Nasir Jani yang kembali mengarah selepas 30 tahun dan Seth Larney yang pernah terlibat dengan beberapa filem blockbuster Hollywood?
Ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga buat saya. Kedua-dua pengarah ini sudah sedia maklum dengan kerja masing-masing, yang mana Nasir Jani lebih terarah kepada penceritaan, drama dan lakonan, manakala Seth Larney pula terarah kepada teknikal yang mana dia akan bertanggungjawab dalam menjayakan babak-babak aksi. Sebagai seorang pelakon, dapat bekerja dengan pengarah yang pernah menghasilkan filem-filem Hollywood besar membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik kerana mahu membuktikan pelakon tempatan, terutamanya pelakon Malaysia, juga mampu mencapai kemahuan pengarah Hollywood.

Oleh itu, setiap kali saya melakonkan babak aksi saya akan memberikan yang terbaik dan akan terus bertanya kepada Seth setiap babak aksi yang dilakonkan. Jika dia kata 'okey' saja, saya terus akan meminta untuk babak tersebut dibuat semula sehingga dia tepuk tangan cakap 'bagus'.

Adakah anda mengalami sebarang kecederaan sepanjang menjayakan babak aksi?
Saya ada mengalami kecederaan kecil sahaja. Ketika itu kami sedang membuat babak bertarung yang mana saya terlalu fokus sehingga tidak perasaan kamera berada terlalu dekat dengan saya, lalu saya tertumbuk kamera. Perkara itu berlaku dengan pantas dan sedar-sedar tangan saya berdarah. Tetapi ia bukanlah kecederaan serius.

Berbalik kepada watak anda sebagai Amiruddin. Tidakkah anda bimbang penonton tidak berpuas hati dengan cara anda bawa watak tersebut kerana masing-masing sudah mempunyai gambaran tersendiri terhadap watak itu?

Tidak bimbang langsung. Ini bukan kali pertama saya membawa watak yang diadaptasi dari novel kerana sebelum ini saya juga pernah berlakon dalam filem francais "Lagenda Budak Setan". Sama juga seperti dalam filem ini, saya tahu setiap pembaca novel ini mempunyai gambaran mereka sendiri terhadap watak Amiruddin dan saya tidak boleh nak memuaskan hati semua, jadi apa yang saya buat adalah me-neuteralise-kan watak tersebut supaya penonton dapat menerima watak Amiruddin.

Apa harapan anda terhadap filem ini apabila ia ditayangkan kelak?
Saya berharap agar penonton dapat menyokong dengan menonton filem ini apabila ia ditayangkan nanti, kerana ia sebuah filem yang berkualiti dan pasti tidak akan mengecewakan penonton. Seperti filem-filem saya sebelum ini, saya mahu filem ini mendapat kutipan pecah panggung selain mahu lihat filem menembusi pasaran antarabangsa.

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan: