Temubual
Khairul Azri bersyukur "Pekak" turut diterima di peringkat antarabangsa


Tarikh disiarkan: 30 Ogos 2016


Kroll Azry bersyukur apabila filemnya mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Nama Mohd Khairul Azri adalah nama baru yang sedang mencipta nama industri perfileman, dan walaupun masih baru dalam dunia perfileman tempatan, namun dia sebenarnya sudah lama berada dalam industri seni tanah air.

Bermula dengan mengarah iklan dan muzik video, Mohd Khairul Azri atau lebih mesra dengan panggilan Kroll Azry mula mengorak langkah ke layar perak menerusi naskhah sulungnya berjudul "Pekak" yang mana telah berjaya melonjak nama anak muda ini.

Ini kerana filem "Pekak" terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures ini telah ditayangkan di festival filem antarabangsa termasuk Marche du Film 2016 dan World Premieres Film Festival Philippines tahun lalu.

Ia mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Uda yang cacat pendengaran terjebak dengan pengedaran dadah bagi menampung kos pembedahan bagi memulihkan pendengarannya. Takdir telah menemukan Uda dengan Dara, seorang pelajar sekolah bermasalah yang ingin melarikan diri daripadan kongkongan bapanya.

Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon-pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Amerul Affendi, Sharifah Sakinah, Iedil Putra dan ramai lagi.

Baru-baru ini ketika tayangan perdana "Pekak" di MM2 Cineplex, eCurve, Cinema Online sempat menembual pengarah muda berbakat besar ini bagi berkongsi idea mengenai filem ini dan perkembangan terbarunya.


Barisan pelakon "Pekak", Sharifah Sakinah, Amerul Affendi,
Sharifah Amani, Zahiril Adzim dan Iedil Putra.

Cinema Online: Pertama sekali, tahniah diucapkan kepada anda apabila filem anda sekali lagi bakal ditayangkan di luar negara iaitu di Rusia untuk International Motivational Film Festival (IMFF) Bridge of Arts. Boleh komen sedikit?

Kroll Azry: Saya amat terharu dengan pemilihan ini kerana sebagai pendatang baru dalam industri perfileman, saya tidak menjangka "Pekak" mampu menerima pengiktirafan sebegini di peringkat antarabangsa. Dilabelkan sebagai sebuah filem yang berani, saya juga berharap "Pekak" akan mendapat sambutan yang baik di kalangan penonton di Malaysia.

Bagaimana boleh tercetus idea untuk menghasilkan filem "Pekak"?

Idea untuk filem ini sebenarnya datang dari dua penulis skrip iaitu Alfie Palermo dan Shahril Hamzah dan cerita asalnya hanya seperti cerita Uda dan Dara biasa sahaja. Apabila saya masuk, saya cakap skrip ini macam drama biasa sahaja dan mencadangkan untuk mengembangkan watak-watak seperti watak utama Uda seorang yang cacat pendengaran tetapi seorang pengedar dadah. Jadi dari situ kami mula membina setiap karakter terlebih dahulu sebelum menghasilkan jalan cerita.

Bagaimana pula dengan pemilihan pelakon pula?

Untuk Zahiril Adzim dan Amerul Affendi saya ambil mereka kerana saya pernah bekerja dengan mereka dalam satu iklan dadah baru-baru ini, dan saya percaya mereka mampu menghidupkan karakter seperti yang saya mahukan. Manakala watak Sharifah Sakinah pula saya adakan sesi uji bakat untuk watak Melur dan apabila Sharifah Sakinah buat uji bakat saya terus beri watak tersebut kepadanya kerana ia sangat sesuai dengannya, dan Iedil Putra pula sebelum ini saya juga pernah bekerja dengannya dan saya yakin dia mampu untuk membawa watak Kamil yang mana dia juga mempunyai pengalaman sekelilinginya seperti dalam filem ini. Tetapi watak Dara ketika itu saya mempunyai masalah sedikit kerana tidak tahu siapa yang mampu menggalas watak tersebut, namun tiba-tiba saya dapat panggilan daripada Sharifah Amani yang berkata 'bro buat filem tak ajak', saya rasa serba salah juga pada mulanya kerana Sharifah Amani nama besar. Sharifah Amani kemudian cakap dia mahu datang uji bakat dan terus dapat persetujuan dari penerbit.

Dalam filem ini boleh dikatakan agak berani kerana memaparkan babak-babak panas seperti menghisap dadah dan rogol. Boleh komen sedikit?

Sememangnya ketika saya buat filem ini saya mahu memaparkan perkara-perkara ini seperti menghisap dadah dan menunjukkan rupa sebenar dadah. Tujuan saya adalah untuk mendidik remaja dan ibu bapa di luar sana supaya mereka lebih peka terhadap perkara ini. Bagi remaja, mereka dapat mengelak sekiranya ada rakan-rakan mereka yang mengajak melakukan perkara terlarang itu kerana mereka sudah tahu rupa bentuk dadah tersebut. Lagi pun perkara ini bukanlah mitos atau rekaan semata-mata sebaliknya ia berlaku di sekeliling kita setiap hari cuma ia tidak pernah dipaparkan sahaja.

Apa reaksi anda apabila filem anda mendapat pujian daripada penggiat seni tempatan dan juga antarabangsa?

Alhamdulillah, saya bersyukur dan tidak menjangkakan filem pertama saya mendapat pujian dan mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Terharu juga kerana saya merasakan filem ini tidak semua orang akan suka tetapi Alhamdulillah rezeki saya.

Apa harapan anda terhadap filem anda ini?

Saya berharap agar filem saya ini dapat sambutan daripada peminat kerana ia sebuah filem yang berlandaskan kisah realiti yang berlaku di sekeliling kita dan bukannya kisah rekaan. Saya akui akan ada segelintir yang tidak akan suka kerana bukan 'happy ending' tetapi banyak pengajaran dan teladan yang boleh di ambil dari filem ini untuk dijadikan sebagai tauladan.

Selepas ini, apa projek terbaru anda?

Selepas ini saya ada sebuah lagi filem dengan Grand Brilliance iaitu sebuah filem seram berlatarkan budaya tempatan. Tidak banyak yang boleh saya katakan di sini kerana ia masih di peringkat awal tetapi apa yang pasti ia adalah filem seratus peratus seram dan tiada elemen komedi atau romantik.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Pekak (Melayu) (1 September 2016)