Temubual
Khir Rahman sebak tonton filem terakhir "Rock Bro"


Tarikh disiarkan: 29 Oktober 2016


Khir Rahman sebak tonton filem "Rock Bro".

Trilogi filem "Rock" bakal berakhir dalam filem terbaru arahan Mamat Khalid berjudul "Rock Bro" yang mengisahkan kesukaran zaman rock di Malaysia sekitar awal tahun 1990an.

Jika dua filem terdahulu mengisahkan tentang perjalanan kumpulan rock Rimba Bara dalam mencipta kejayaan di persada industri muzik rock, namun yang terakhir ini ia lebih kepada sudut pandangan ketua kumpulan Rimba Bara iaitu Jijo.

Malah dalam filem terbaru ini juga akan menyingkap kisah hidup mereka dari mula sehingga mereka menjadi terkenal yang mana mereka juga terpaksa berdepan pelbagai rintangan termasuk kemelut politik dan perubahan landskap yang melanda industri muzik ketika itu.

Sementara itu, salah seorang pelakon utama "Rock Bro", Khir Rahman menyatakan bahawa filem terbaru ini bukan sekadar filem tetapi ia metafora dunia rock tanah air dan ia tribute untuk muzik rock tanah air.

Baru-baru ini ketika tayangan perdana "Rock Bro", Cinema Online sempat menemubual Khir Rahman yang membawa watak Jijo bagi mendapatkan pandangannya terhadap naskhah terakhir ini.


Barisan pelakon utama "Rock Bro", Azmi Bahron, Pekin Ibrahim, Khir Rahman dan Soffi Jikan.

Ini adalah filem ketiga dan yang terakhir buat siri "Rock". Apa pandangan anda terhadap filem "Rock Bro" kali ini?

Khir Rahman: Filem kali ini ia menyingkap apa yang berlaku pada zaman kegemilangan serta kejatuhan genre rock ketika itu. Rock cukup dekat di hati saya. Berdasarkan komen yang saya terima daripada mereka menerusi "Rock" dan "Rock Oo", majority rockers kita suka garapan Mamat Khalid malah ada yang menangis terkenang suka duka perjuangan mereka satu ketika dahulu.

Saya sudah menonton banyak kali filem "Rock Bro" ini dan setiap kali saya menonton pasti saya akan bertemu benda-benda baru dan berasa sedih kerana jalan cerita kali ini bukan sahaja memaparkan tentang zaman kejatuhan rock tetapi turut mengimbas kembali zaman silam watak dalam filem ini.

Bagaimana pula dengan karakter anda sebagai Jijo yang mana dalam filem "Rock Bro" ia menampilkan sisi berbeza Jijo?

Ya betul, watak Jijo kali ini lebih berat apabila ia bukan sahaja menjadi tulang belakang Rimba Bara biarpun pengunduran Zack dan Mat Piah dan Zul Kapan yang keluar masuk Rimba Bara tidak pernah buat dia patah semangat. Jika dua filem terdahulu dia sangat tabah tetapi dalam filem ketiga ini Jijo akhirnya terpaksa akur dengan jiwanya yang mahu hidup normal seperti orang lain. Saya secara peribadi berasa sangat berpuas hati kerana watak Jijo dijadikan sebagai paparan utama untuk filem kali ini.

Jadi adakah sukar untuk anda mengubah watak Jijo untuk filem ketiga ini berbanding dua buah filem terdahulu?

Walaupun saya berpuas hati kerana kali ini watak Jijo lebih diberi tumpuan, namun ia sukar untuk saya menghayati sepenuhnya watak Jijo ini kerana dalam filem ini sisi gelap Jijo ditampilkan berbeza dengan dua buah filem sebelum ini yang lebih menunjukkan Jijo seorang pemimpin yang berwawasan dan bermisi. Lebih menyukarkan untuk bawa watak Jijo ini kerana watak itu sendiri adalah realiti yang mana pernah terjadi kepada rakan rapat pengarah sendiri.

Ada yang mengatakan filem ketiga ini lebih perlahan dan kurang faham berbanding filem terdahulu? Apa pandangan anda?

Ia adalah perkara normal bagi filem yang mempunyai sekuel atau prekuel kerana setiap filem ia boleh berdiri sendiri dengan jalan cerita yang dipaparkan tetapi bagi mereka yang tidak menonton dua buah filem sebelum ini mereka kurang faham dengan apa berlaku. Manakala bagi mereka yang menonton dua buah filem sebelum ini mereka sudah tentu faham bahawa filem ketiga ini adalah pengakhiran kepada perjalanan Rimba Bara. Secara peribadi saya sendiri merasakan filem ketiga ini perlahan tetapi bukan kerana tidak bagus tetapi ia jalan cerita kali ini lebih dramatik dan lebih peribadi bagaimanapun ia tidak akan membuatkan anda bosan tetapi sebaliknya.

Apa harapan anda untuk filem "Rock Bro" kali ini?

Saya berharap agar filem ketiga ini akan mendapat sambutan yang lebih memberangsangkan berbanding dua buah filem ini. Saya berasa yakin kerana kutipan filem kedua lebih tinggi berbanding filem pertama jadi tidak mustahil filem ketiga untuk mengatasi kutipan filem kedua.

Apa perkembangan terbaru anda selepas ini?

Okay selepas ini saya ada single terbaru saya dengan kumpulan saya yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Selain itu saya juga akan mengarah drama 20 episod dan sebuah filem yang akan memulakan penggambaran pada hujung Januari tahun hadapan.

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.