Temubual
Nabila Huda dedikasi kemenangannya kepada bapanya


Tarikh disiarkan: 8 September 2016


Pelakon ini pernah tercalon empat kali di FFM sebelum ini.

Pelakon terkenal Nabila Huda akhirnya telah memenangi anugerah pertamanya di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28) yang berlangsung baru-baru ini.

Nabila yang terkejut menerima pengiktirafan itu mendedikasikan kemenangannya kepada keluarganya, terutamanya bapanya lagenda rock, Amy Search.

Mula menceburkan diri dalam dunia seni sejak berusia 16 tahun, Nabila yang merupakan anak sulung dalam keluarga mula mencipta nama menerusi lakonannya menerusi watak antagonis dalam TV siri.

Dia kemudian telah membintangi beberapa filem terkenal seperti, "Rock", "Akhirat", "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam", "Pisau Cukur", "Duhai Si Pari-Pari", "Bohsia 2: Jalan Kembali", dan "Munafik" yang mana dia telah menang Pelakon Wanita Terbaik.

"Munafik" juga telah merangkul empat anugerah di anugerah berprestij di FFM 28 termasuk Pengarah Terbaik, Filem Nasional Terbaik, Suntingan Terbaik dan Penataan Bunyi Terbaik.

Ketika FFM 28, Cinema Online sempat menemubual Nabila selepas dia menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik.

Cinema Online: Apa perasaan anda akhirnya telah menang di anugerah FFM?

Nabila Huda: Saya tahu anda mendengar ini selalu, tetapi saya sebenarnya tidak menjangka kemenangan ini. Saya ingatkan Maya Karin kerana dia tercalon untuk dua filem, dan saya juga tidak tercalon banyak, jadi apabila saya menang saya betul-betul tidak sangka.


Nabila Huda tampil elegen dengan busana berwarna hitam

Apa yang anda rasa yang membuatkan watak Maria dalam "Munafik" menjadi pilihan?

Saya tidak tahu sebenarnya, mungkin kerana karakternya yang berat, dan ia bukan mudah untuk membawanya. Ia mengambil masa tiga hari untuk melakukan penggambaran babak tersebut dan banyak menggunakan tenaga dan usaha sehinggakan saya tidak cukup tidur. Bukan saya sahaja, malah pengarah dan kru teknikal juga terpaksa bekerja keras untuk setiap babak kerana ia sangat penting.

Dengan kemenangan ini, filem bergenre seram akan menjadi pilihan anda selepas ini?

Saya tidak pernah memilih genre filem apabila menerima tawaran berlakon. Walaupun saya dikenali menerusi filem-filem serius, namun untuk filem seram ini kali pertama saya dapat membawa watak penting dan bukannya hantu. Jadi pengalaman berlakon dalam "Munafik" sangat berbeza.

Adakah anda mendedikasikan kemenangan anda ini kepada suami anda yang menangis apabila anda menerima anugerah ini?

Dia seperti terlebih beremosi kan? (ketawa) Pencapaian saya untuk bapa dan keluarga saya yang sentiasa menyokong sepanjang kerjaya saya. Sebagaimana saya mula berlakon sejak berusia 16 tahun, saya akhirnya dapat memberitahu bapa saya tentang kejayaan saya. Saya memang nak buat dia bangga dan gembira!


Nabila dan suaminya, Mohd. Izwan Johar ketika di karpet merah.

Adakah selepas ini anda akan cuba meneroka watak berbeza pada masa depan?

Sudah semestinya, saya suka melakukan perkara berbeza karakter. Saya rasa saya bertuah kerana saya selalu mendapat naskhah yang bagus dan bekerja dengan pengarah dan kru hebat. Jadi untuk FFM tahun ini, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dengan filem ini.

Adakah anda akan menaikkan bayaran anda seperti segelintir pelakon selepas menang anugerah?

Tidak! Bagi mereka yang kenal dengan saya sudah pasti mereka tahu yang saya tidak pernah peduli pasal wang dan hanya tengok pada skrip, terutamanya jika ia skrip yang bagus. Saya tidak kisah dapat bayaran rendah kerana kebanyakan penerbit sudah tahu kadar bayaran saya. Jadi tidak perlu saya menetapkan harga tinggi sekiranya lakonan saya tidak mencapai seperti yang dimahukan mereka.

Penulis: Erny Suzira

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan:
Munafik (Melayu) (25 Februari 2016)