Temubual
Nasir Jani kembali mengarah filem selepas hampir 30 tahun menyepi


Tarikh disiarkan: 11 September 2016


Nasir Jani berharap filemnya mampu memintas kutipan pecah panggung yang dipegang
oleh "Polis Evo".

Setelah hampir tiga puluh tahun menyepikan diri dari dunia seni, pengarah filem veteran, Nasir Jani akhirnya bakal membuat kemunculan semula dengan mengarah filem thriller yang diadaptasi dari novel nombor satu Malaysia, "Tombiruo: Penunggu Rimba" nukilan Ramlee Awang Murshid.

Kali terakhir beliau mengarah filem adalah pada sekitar tahun 80an yang mana beliau muncul dengan dua buah filem, "Kembara Seniman Jalanan" dan "Rozana Cinta 87" yang merupakan antara karya terhebatnya.

Menurut Nasir, beliau sebenarnya tidak menghilangkan diri dari bidang seni, sebaliknya aktiviti seninya lebih tertumpu ke arah belakang tabir.

Malah, beliau menunggu masa dan naskhah yang sesuai untuk kembali duduk di bangku pengarah dan ternyata penungguannya berakhir apabila beliau diberi kepercayaan untuk menggarap naskhah yang diadaptasi dari novel popular ini.

"Tombiruo: Penunggu Rimba" ini akan dibintangi barisan pelakon-pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Datuk M. Nasir, Dynas Mokhtar, Faizal Hussein dan ramai lagi.

Baru-baru ini ketika sidang media filem "Tombiruo: Penunggu Rimba" berlangsung, Cinema Online sempat menemubual pengarah berkaliber ini bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengapa filem ini tertangguh memandangkan pelancarannya dibuat dua tahun lalu.


Nasir Jani bersama Seth Larney yang akan bersama-sama mengarah filem
"Tombiruo: Penunggu Rimba".

Cinema Online: Mengapa filem ini mengambil masa yang lama untuk masuk ke set penggambaran iaitu hampir dua tahun?

Nasir Jani: Kami mengambil masa yang lama kerana mahu memastikan dalam penelitian skrip dan perancangan dalam produksi berjalan dalam keadaan yang semua orang puas hati. Sekiranya anda pembaca novel-novel Ramlee, sudah pasti anda tahu bahawa naskhahnya semuanya setebal 600 muka surat, oleh itu untuk compress 600 muka surat kepada 1 jam 30 ke 2 jam adalah sangat sukar. Kedua, kami perlu menyediakan skrip yang menepati itipati karakter dan watak seperti yang dimahukan oleh Ramlee dan satu lagi yang sesuai dan menarik untuk tontonan penonton.

Difahamkan bukan anda seorang sahaja mengarah tetapi akan mengarah bersama seorang lagi pengarah dari luar negara. Boleh komen?

Ya betul, untuk filem ini saya dan Seth Larney akan bertindak sebagai pengarah tetapi tugasan kami berbeza yang mana masing-masing mempunyai kepakaran sendiri, di mana saya akan bertindak sebagai pengarah yang memberi sentuhan pada elemen drama dan penataan seni, manakala Seth pula akan memberi tumpuan kepada sudut teknikal, babak aksi dan kesan khas. Untuk pengetahuan anda, Seth mempunyai portfolio yang cukup hebat yang mana beliau pernah terlibat dengan pembikinan filem Hollywood seperti "The Matrix Reloaded", "The Matrix Revolutions", "Star Wars: Revenge of the Sith", "X-Men Origins: Wolverine", "The Chronicles of Narnia: Voyage of the Dawn Treader" dan "Superman Returns". Oleh itu saya percaya ia akan menjadi sebuah filem yang cukup hebat dan bertaraf antarabangsa.

Adakah sukar untuk anda mengarah memandangkan terdapat dua pengarah dalam filem ini?

Seperti yang saya katakan tadi, masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri. Sebelum memulakan penggambaran kami telah melakukan perbincangan lebih dua bulan untuk mengenal pasti apa jenis syot yang mahu digunakan atau bagaimana cara lakonan yang dimahukan. Oleh itu, apabila kami mula penggambaran, tidak akan ada masalah yang berlaku di antara kami kerana masing-masing sudah sedia maklum dengan apa yang telah dipersetujui dalam perbincangan sebelum ini.

Bilakah filem ini dijangka akan disiapkan dan apakah harapan anda terhadap filem ini memandangkan ia merupakan filem pertama anda selepas hampir 30 tahun menyepikan diri?

Mengikut perancangan penggambaran, filem ini akan tamat sekitar bulan Oktober depan, dan saya rasa bulan Januari tahun hadapan akan siap sepenuhnya. Sejujurnya, saya berharap filem ini berjaya mendapat kutipan pecah panggung iaitu melebihi kutipan tertinggi yang ada ketika ini yang dipegang oleh "Polis Evo" dengan RM17.47 juta.

Adakah anda mempunyai perancangan untuk menghantar filem ini ke festival filem antarabangsa?

Saya tidak pasti mengenai ini kerana ia adalah keputusan penerbit filem. Tetapi apa yang pasti saya akan memberikan yang terbaik untuk filem ini, dan sekiranya mereka rasa ia layak, apa salahnya. Lagipun filem ini mengentengahkan mengenai budaya tempatan iaitu mitos di Sabah.

Penulis: Ashraf Nasser