Nicholas dan Dian teruja kembali bergandingan selepas 14 tahun | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Temubual

Nicholas dan Dian teruja kembali bergandingan selepas 14 tahun

Penulis: Ashraf Nasser


Dian dan Nicholas tidak punyai masalah mencari keserasian dalam filem kedua mereka.

Ketika kali pertama filem "Ada Apa Dengan Cinta" ("AADC") diriliskan pada tahun 2002, iaitu 14 tahun lalu, ia telah mencetuskan fenomena luar biasa bukan sahaja di Indonesia, malah di seluruh nusantara termasuk Malaysia.

Filem yang memaparkan tentang kisah cinta, persahabatan dan puisi lakonan Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo sebagai peneraju ternyata telah memberi impak yang cukup mendalam buat penonton.


Barisan pelakon-pelakon "Ada Apa Dengan Cinta 2".

Kini selepas lebih sedekad berlalu, "AADC" kembali menemui penonton dengan sekuel terbaru, "Ada Apa Dengan Cinta 2" yang menjawab segala persoalan penonton mengenai apakah kesudahan terhadap kisah cinta Rangga dan Cinta.


Dian Sastrowardoyo akui selesa
bergandingan dengan Nicholas Saputra.
Baru-baru ini ketika malam gala "Ada Apa Dengan Cinta 2" yang berlangsung di Cathay Cineplex, eCurve, kedua-dua pelakon hebat dari negara seberang ini sempat berkongsi pengalaman dalam menjayakan filem romantik paling ditunggu-tunggu untuk tahun ini.

Jom ikuti temubual Cinema Online bersama Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo.

Sebelum filem "AADC 2" diriliskan, terdapat segelintir peminat yang sedikit kecewa dan ada juga gembira dengan treler tersebut. Apa komen anda?

Dian: Pada mulanya saya sedikit bimbang apabila treler itu diriliskan kerana takut terlalu mendedahkan apa yang akan berlaku, tetapi kemudian saya rasa ia tiada masalah kerana treler tidak menggambarkan keseluruhan filem itu. Sekiranya nak tahu apa yang berlaku, anda harus tonton filem ini.

Nicholas: Saya tidak ada komen kerana treler tidak menggambarkan keseluruhan tentang filem, jadi jika nak tahu apa kesudahan kisah cinta Rangga dan Cinta, harus tonton "AADC 2".

Adakah sukar untuk Dian mengekalkan keserasian dengan Nicholas selepas 14 tahun tidak digandingkan bersama?

Dian: Keserasian itu sememangnya sudah ada dulu, selepas 14 tahun pun setiap kali kami bersatu ia masih ada di situ. Sama seperti menaiki motosikal, walaupun sudah tidak menaiki 15 tahun sekalipun, kalau dinaiki balik kita pasti boleh melakukannya.

Selepas kejayaan filem pertama, bagaimana anda hendak mengekalkan momentum filem ini?

Dian: Sejujurnya, kami tidak dapat memberi jawapan kepada soalan itu tetapi apa yang kami tahu adalah kami memberikan yang terbaik dan harap yang terbaik untuk filem ini.


Nicholas Saputra tak sabar
nak tunggu respons penonton.

Apa pengalaman paling anda ingati dalam menjayakan filem "AADC 2"?

Dian: Pengalaman yang paling saya tidak boleh lupakan adalah ketika filem ini melakukan penggambaran di Jogjakarta yang mana saya tidak berasa seperti penggambaran, sebaliknya seperti melancong bersama rakan-rakan. Ia sangat menyeronokkan.

Dalam filem "AADC 2" terdapat babak cium antara Rangga dan Cinta yang dipotong. Boleh komen?

Dian: Saya rasa tidak relevan untuk tanya soalan ini, bagaimanapun kalau mahu tonton babak sepenuhnya tanpa tapisan, penonton di Malaysia boleh menontonnya di Jakarta atau Jogjakarta.

Apa reaksi ada apabila melihat sambutan yang cukup hangat di kalangan peminat terhadap "AADC 2"?

Nicholas: Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat kerana walaupun sudah 14 tahun, namun peminat masih lagi teruja apabila sekuel filem ini diriliskan.

Adakah anda menjangkakan akan ada filem ketiga selepas ini?

Nicholas: Saya tidak berani hendak mengesahkan mengenai itu kerana seperti filem pertama saya, saya tidak pernah menjangkakan sambutan luar biasa daripada penonton, malah saya juga tidak pernah terfikir akan ada "AADC 2" sehinggalah dilamar sekali lagi oleh penerbit.

Filem "Ada Apa Dengan Cinta 2" sudah pun mula ditayangkan sejak 28 April lalu, jadi jangan ketinggalan untuk menyaksikannya!

Cinema Online, 30 Apr 2016

Filem Berkaitan:
Ada Apa Dengan Cinta 2 (Indonesia) (28 Apr 2016)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan