"OlaBola" platform untuk JC Chee berlakon filem Melayu | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Temubual

"OlaBola" platform untuk JC Chee berlakon filem Melayu

Penulis: Erny Suzira


JC Chee (tengah) bersama dengan (Kiri-Kanan) Saran Kumar,
Luqman Hafidz, Marianne Tan dan Bront Palarae.


Dari pengarah yang mengarah filem pemenang anugerah "The Journey", kini muncul lagi sebuah filem menyentuh hati "OlaBola" yang merupakan filem yang memaparkan semangat rakyat Malaysia dengan menggunakan bola sepak sebagai latar belakang.

Menampilkan barisan pelakon baru, ia mengisahkan tentang pasukan bola sepak yang dibarisi pemain dari pelbagai kaum pada era 80an terpaksa bergelut dengan masalah peribadi dan sebagainya untuk melayakkan diri ke Sukan Asia.

Ketika tayangan perdana "OlaBola" di GSC Berjaya Times Square baru-baru ini, filem ini mendapat pujian daripada penonton-penonton yang hadir.

Malah Cinema Online juga berpeluang bertemu dengan pelakon baru Chee Jun Cherng atau lebih mesra dengan panggilan JC Chee yang merupakan salah seorang pelakon utama filem itu.

Sebenarnya Chee bukanlah pelakon baru, kerana sebelum ini dia pernah berlakon dalam beberapa drama Cina tempatan dan juga filem komedi-jenayah berjudul "When Geek Meets Serial killer". Ini merupakan filem keduanya dan filem Melayu pertamanya.

Selepas tayangan, pelakon berusia 29 tahun itu berkongsi pengalamannya menjayakan "OlaBola".


Kesemua barisan pelakon bersama dengan pengarah Chiu Keng Guan (topi merah).


Apa anda rasa selepas menonton "OlaBola"?


Saya sangat terharu dan ia menyentuh hati. Saya menangis empat kali menonton filem ini!

Apa pendapat anda mengenai lakonan anda sendiri?

Saya rasa saya boleh beri 60 markah daripada 100!

Kenapa? Adakah anda tidak berpuas hati dengan lakonan anda?

Bukan kerana saya tidak berpuas hati. Ia sempurna kerana mendapat tunjuk ajar daripada pengarah. Boleh dikatakan kesemua babak sangat cantik kerana pengarah seorang yang sangat mementingkan kesempurnaan. Jadi dia mahu semua babak menjadi cantik.

Memandangkan kesemua pelakon boleh dikatakan baru dalam industri filem, siapa yang anda fikir pelakon berbakat?

Ada dua orang sebenarnya. Seorang adalah Saran Kumar yang membawa watak Muthu, dan seorang lagi Lim Jian Wen yang membawa watak Ong Tiam Cai. Sebelum kami memulakan penggambaran, kesemua kami diberi masa selama sebulan setengah kelas berlakon. Ketika itu saya sudah dapat melihat bakat mereka sebagai pelakon.



Tiga pelakon utama.

Adakah anda tercedera ketika penggambaran?

Tidak, saya tidak cedera langsung ketika penggambaran tetapi pelakon lain banyak yang cedera. Bagaimanapun, saya cedera sebelum penggambaran iaitu ketika tempoh latihan sehingga saya dimasukkan ke hospital. Selepas menjalani rawatan dan x-ray saya didapati terseliuh.

Adakah anda mempunyai pengalaman bermain bola sepak?

Saya pernah bermain bola sepak ketika sekolah menengah. Kebanyakan rakan Cina saya bermain bola keranjang tetapi saya merupakan antara beberapa budak Cina yang main bola sepak.

Sekarang ini tidak ramai pelakon Cina yang fasih berbahasa Melayu. Jadi adakah anda sedia berlakon filem Melayu lagi pada masa akan datang?

Jika diberi peluang, saya mahu lagi. Tetapi saya mungkin perlu memperbaiki Bahasa Malaysia saya kerana saya tidak fasih bahasa Melayu baku. Sekarang ini saya hanya bercakap Melayu dalam loghat utara! [ketawa]

Jadi jika anda menerima tawaran berlakon untuk berlakon dalam filem Melayu, adakah anda akan menerimanya?

Jika filem itu memerlukan saya bercakap dalam loghat utara, sudah pasti saya akan menerimanya!


Pengarah dan barisan pelakon ketika sidang media.


Adakah anda seorang yang selektif dalam lakonan, atau anda menerima apa sahaja genre filem yang ditawarkan?


Saya bukan seorang yang selektif! Saya akan merebut peluang yang diberi kepada saya. Tetapi, sudah semestinya ia terpulang kepada pihak pengurusan saya juga.

Bagaimana pula bekerja di bawah pengarah Chiu Keng Guan?

Ini merupakan kali pertama saya bekerja dengan pengarah pecah panggung, jadi saya rasa seperti saya perlu lakukan yang terbaik supaya tidak memalukan diri saya sendiri! [ketawa] Tetapi apa yang saya boleh katakan adalah saya sudah memberikan yang terbaik dalam filem ini.

Bagaimana anda mendapat watak ini?

Saya telah pergi ke sesi uji bakat sebanyak tiga kali. Pertama kali pada Disember 2014, dan ketika itu sudah lambat kerana saya rasa uji bakat bermula awal 2014 atau hujung 2013. Jadi selepas uji bakat, saya tengok pengarah tidak ada. Jadi saya ingat saya tidak akan dapat watak itu. Kemudian, mereka menghubungi saya untuk sesi uji bakat kedua. Kali ini mereka mahu saya bercakap dalam lima bahasa – Inggeris, Hokkien, Kantonis, Mandarin dan Melayu. Saya tidak pernah berbuat seperti itu sebelum ini, jadi saya berikan yang terbaik. Sekali lagi pengarah tidak ada. Ia sudah lama saya tidak bermain bola jadi agak berkarat juga lah. Tetapi kali ini pengarah ada. Selepas sebulan, saya dihubungi untuk menjalani latihan bola sepak dan juga kelas berlakon, jadi ia bermakna saya terpilih.

Adakah anda fikir dengan filem ini anda mampu pergi lebih jauh dalam industri perfileman tempatan?

Saya harap lah! Saya harap filem ini mampu pergi ke peringkat antarabangsa jadi semua orang dapat melihat betapa hebatnya! Kerana filem ini bukan mengenai bola sepak sahaja, tetapi ia mengenai Malaysia! Dan saya juga berharap agar filem ini boleh menjadi inspirasi kepada pasukan bola sepak kebangsaan sekarang.

"OlaBola" bakal menemui penonton pada 28 Januari 2016.

Read this article in English, click HERE.

Cinema Online, 19 Jan 2016

Filem Berkaitan:
Ola Bola (English / Malay / Mandarin / Tamil) (28 Jan 2016)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan