Temubual
S.T. Bala mahu bawa filemnya ke festival filem antarabangsa


Tarikh disiarkan: 20 Februari 2016


S.T Bala yakin filemnya mampu menarik penonton untuk ke pawagam.

Pengarah filem tempatan S.T. Bala bukanlah satu nama yang sering kita dengar dalam industri perfileman Melayu.

Bagaimanapun, ini bukan bermakna S.T. Bala seorang penggiat seni baru, kerana beliau sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni ini di bidang teater.

S.T. Bala sebelum ini pernah mengarah dua buah filem Tamil iaitu "Kaliyugha", dan sebuah filem biografi negarawan, "Sambanthan".

Kini beliau sekali lagi muncul dengan sebuah filem terbarunya, tetapi kali ini beliau tampil berbeza dari dua filem terdahulunya.

Baru-baru ini ketika majlis perlancaran filem "It's The Moment Yang Arif" di Hotel Palace of the Golden Horses, Cinema Online sempat menemubual pengarah berbakat ini bagi berkongsi pengalamannya menghasilkan filem ini.

Cinema Online: Boleh cerita sedikit mengenai jalan cerita dan dari mana anda mendapat idea untuk filem ini?

S.T. Bala: Jalan cerita filem ini mengisahkan tentang satu kes rogol yang dibicarakan di mahkamah. Sebenarnya filem ini adalah inspirasi dari kes sebenar yang berlaku di Amerika Syarikat 25 tahun yang lalu. Saya tertarik dengan kes tersebut dan merasakan ia boleh dijadikan sebuah filem yang lain daripada lain.

Apakah cabaran yang anda hadapi ketika penggambaran filem berlangsung?

Cabaran yang paling utama bagi kami adalah untuk mendapatkan lokasi mahkamah, kerana filem ini banyak tertumpu kepada dalam mahkamah iaitu perbicaraan kes itu. Saya buntu apabila tidak mendapat kelulusan untuk menggunakan mana-mana mahkamah untuk penggambaran. Mujur pihak Brickfield Asia College membenarkan kami menyewa 'mock up' mahkamah mereka di kolej itu. Selain daripada itu tidak ada banyak halangan sangat.

Jika dilihat dari barisan pelakon yang ditampilkan semuanya tidak terkenal. Mengapa anda memilih pelakon kurang popular dan adakah anda berpuas hati dengan lakonan mereka?

Secara jujurnya, saya tidak menggunakan pelakon popular kerana kekangan bajet. Walaupun menggunakan pelakon yang kurang dikenali, ini tidak bermakna filem ini tidak mampu mendapat sambutan. Saya percaya dengan bakat yang ada pada pelakon saya dan saya berpuas hati dengan lakonan mereka. Mungkin selepas filem ini mereka akan semakin dikenali.

Adakah anda mempunyai kebimbangan terhadap sambutan filem ini memandangkan bulan Mac mempunyai banyak filem-filem besar akan ditayangkan seperti "Kung Fu Panda 3", "Batman vs Superman" dan banyak lagi?

Saya tidak bimbang sangat kerana saya percaya filem saya mempunyai keunikannya sendiri dan mampu bersaing dengan filem-filem lain yang akan ditayangkan pada bulan Mac ini.

Apakah sasaran anda terhadap filem ini?

Terus-terang saya katakan saya tidak meletakkan untuk mendapat kutipan tinggi, cukuplah sekadar mendapat pulangan modal supaya saya dapat terus berkarya pada masa hadapan.

Filem anda sebuah filem yang unik dan jarang dibuat oleh pembikin filem tempatan lain. Adakah anda mempunyai perancangan lain untuk filem ini?

Ya, sudah semestinya. Pihak saya mempunyai perancangan untuk menghantar filem ini bertanding di festival-festival filem antarabangsa kerana saya percaya ia sebuah karya yang unik dan mempunyai kekuatannya tersendiri.

"It's The Moment Yang Arif" yang dibintangi oleh Keena (Mentor) dan Ross Hassan sebagai peneraju ini akan mula menemui penonton pada 10 Mac 2016 di seluruh Malaysia!

Penulis: Ashraf Nasser