Temubual
Syamsul Yusof: Filem "Munafik" begitu peribadi buat saya


Tarikh disiarkan: 24 Februari 2016


Syamsul Yusof mahu menjadi seorang pengarah versatil.

24 Feb – Setelah menyepikan diri beberapa tahun dari dunia pengarahan selepas kecewa apabila filem aksi arahannya "KL Gangster 2" bocor dan dicetak rompak sebelum tayangan rasminya, Syamsul Yusof membuat kemunculan semula dengan karya seram terbaru berjudul "Munafik".

Ini merupakan filem seram kedua Syamsul selepas filem "Khurafat" pada tahun 2011 yang mana ia telah berjaya mendapat kutipan pecah panggung.

Namun untuk filem "Munafik" ini, pengarah menjelaskan bahawa filemnya bukan sekadar filem seram biasa kerana ia mengetengahkan mesej seimbang antara kisah kehidupan moden dan kewujudan alam ghaib.

"Munafik" mengisahkan tentang seorang pengamal perubatan Islam bernama Adam tidak dapat menerima takdir apabila isterinya meninggal dunia dalam satu kemalangan langgar lari. Dia kemudian bersetuju untuk mengubati seorang wanita bernama Maria yang diganggu syaitan tetapi dia kemudian terpaksa berdepan dengan pelbagai pengalaman mistik.

Filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Pekin Ibrahim, Sabrina Ali, A Galak, Datuk Rahim Razali dan Syamsul sendiri. Baru-baru ini ketika tayangan pratonton "Munafik" di GSC One Utama, pengarah sempat berkongsi mengenai pengalaman dan cabaran untuknya mengarah filem seram ini.


Barisan pelakon "Munafik"

Adakah kekecewaan anda akan terubat sekiranya filem terbaru arahan anda ini mendapat sambutan?
Sejujurnya, saya sudah redha dengan apa yang akan berlaku kelak. Filem ini sangat peribadi buat saya. Apa yang terpendam dalam hati saya selama ini saya luahkan dalam filem ini. Saya juga tidak meletakkan harapan tinggi terhadap filem ini kerana tidak dapat dinafikan "Munafik" adalah sebuah naskhah yang berat. Saya dan seluruh produksi sudah memberikan yang terbaik, terpulang kepada penonton untuk menilainya.

Anda berkata filem "Munafik" ini adalah sebuah naskhah yang berat, boleh huraikan apa yang berat dalam filem anda?
Judul "Munafik" itu sendiri berat dan memang sensitif apabila ia membabitkan agama kerana setiap orang mempunyai pandangan masing-masing. Tetapi apa yang saya boleh katakan, sekiranya filem ini ditonton dan difahami, InsyaAllah penonton dapat menerima mesej yang ingin saya sampaikan dalam filem ini.

Dalam filem ini dapat dilihat banyak ayat-ayat Al-Quran digunakan, adakah anda mendapat rujukan daripada pihak tertentu?
Ya, sudah semestinya. Untuk hukum-hakam dan sebutan ayat-ayat suci Al-Quran saya ada merujuk kepada pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang mempunyai pengalaman. Pada mulanya takut juga jika bacaan saya salah dan tidak betul hukumnya. Tetapi Alhamdulillah semuanya okay.

Sepanjang anda menjalani penggambaran apakah cabaran atau perkara yang tidak anda dapat lupakan?
Kami tidak mempunyai sebarang masalah ketika penggambaran, tetapi perkara yang saya tidak boleh lupakan adalah ketika penggambaran babak terakhir filem ini di sebuah rumah banglo lama di Puchong. Sebelum ini saya pernah banyak kali dengar cerita mengenai kisah mistik tentang banglo itu. Bagaimanapun Alhamdulillah tidak ada pengalaman tidak diingini berlaku cuma babak terakhir kami sukar mendapatkan fokus kamera walaupun selepas beberapa kali mencuba.

Adakah ini salah satu cara untuk anda berdakwah dalam filem?
Saya mahu menyelitkan elemen agama dalam setiap filem dan kalau boleh saya harap pengarah dapat dapat berbuat perkara sama. Saya tidak mahu orang melihat Islam itu agama yang sempit kerana sebenarnya kita boleh variasikan watak dan sesebuah naskah itu.

Jika dilihat kesemua filem-filem arahan anda mendapat sambutan yang cukup baik dari penonton. Adakah anda sudah masak dengan kehendak penonton? Sebenarnya sehingga sekarang saya masih lagi tercari-cari apa yang penonton mahu. Ini kerana saya percaya penonton sekarang sudah semakin matang dan bijak dalam menilai sesebuah filem. Jadi penting bagi seorang pengarah untuk bekerja lebih keras untuk mencari idea supaya dapat menarik perhatian penonton. Secara tidak langsung akan membuatkan pengarah dapat memberikan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan.

Filem "Munafik" terbitan Skop Production ini akan menemui penonton di seluruh negara bermula 25 Februari ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Munafik (Melayu) (25 Februari 2016)
Khurafat - Perjanjian Syaitan (Melayu) (13 Januari 2011)
KL Gangster 2 (Melayu) (3 Oktober 2013)