Temubual
Zahiril Adzim pilih naskhah bersifat realiti


Tarikh disiarkan: 15 Ogos 2016


Zahiril Adzim berkata "Pekak" memaparkan kisah realiti yang berlaku di sekeliling kita.

Nama Zahiril Adzim boleh dikatakan antara salah seorang pelakon hebat ketika ini, namun kelibatnya jarang dilihat di kaca televisyen mahu pun di layar perak.

Walaupun jarang muncul, tetapi apabila dia hadir dengan naskhah baru pastinya dia akan memberi impak bukan sahaja kepada sesebuah naskhah itu, malah juga kepada penonton.

Zahiril atau nama sebenarnya, Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar memberitahu, punca dia kurang muncul dalam filem-filem bukan kerana tidak mendapat tawaran, tetapi dia memilih setiap naskhah yang ditawarkan dan hanya akan mengambil tawaran tersebut sekiranya naskhah tersebut dirasakan bagus.

Tambahnya lagi, dia lebih cenderung untuk terlibat dengan sebuah naskhah yang lebih berdasarkan realiti berbanding komersial, selain mahu watak yang mencabar.

Terbaru, Zahiril telah muncul dengan sebuah filem terbaru berjudul, "Pekak" arahan pengarah baru Mohd Khairul Azri yang mana filem tersebut telah pun mencipta sejarah apabila ditayangkan di World Premieres Film Festival Philippines tahun lalu dan ditayangkan di Marche du Film 2016 pada Mei lalu sebelum tayangannya di Malaysia.

Selain Zahiril, filem terbitan Grand Brilliance dan Lighbulb Pictures ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Sharifah Amani, Sharifah Sakinah, Iedil Putra, Amerul Affendi dan ramai lagi.

Ketika majlis pratonton "Pekak" baru-baru ini, Cinema Online sempat menemubual pelakon ini bagi berkongsi pengalamannya menjayakan watak Uda yang merupakan watak utama selain mendapatkan perkembangan terbarunya.


Zahiril Adzim dan Sharifah Sakinah antara pelakon utama "Pekak".

Cinema Online: Boleh ceritakan sedikit mengenai watak anda dalam filem "Pekak"?

Zahiril: Dalam filem "Pekak" ini saya membawa watak sebagai Uda, seorang Orang Kurang Upaya (OKU) yang cacat pendengaran. Uda ini seorang pengedar dadah dan dia melakukan kerja haram itu kerana mahu mengumpul wang untuk melakukan pembedahan telinga supaya dia dapat menjadi normal. Uda kemudian bertemu dengan Dara (Sharifah Amani), seorang pelajar sekolah bermasalah dan kedua-dua mereka telah jatuh cinta.

Apakah cabaran yang anda hadapi untuk membawa watak sebagai Uda ini memandangkan anda tidak mempunyai sebarang dialog?

Sebenarnya berlakon tanpa dialog adalah perkara paling sukar bagi setiap pelakon kerana jika anda berlakon mempunyai dialog, ia lebih senang untuk menyampaikan apa yang dimahukan pengarah dan yang lebih penting, penonton akan faham dengan lakonan kita. Tetapi apabila tidak mempunyai dialog, anda perlu bermain dengan emosi dan ekspresi wajah dalam setiap babak supaya penonton akan faham dengan apa yang kita ingin sampaikan.

Adakah anda membuat mana-mana rujukan untuk membawa watak Uda ini?

Ya, orang pertama yang menjadi rujukan saya adalah bapa saya iaitu Mohd Mokhtar kerana dia seorang guru di sebuah sekolah pendidikan khas. Saya banyak bertanya kepadanya cara berinteraksi walaupun dalam cerita ini tidak menggunakan bahasa isyarat tetapi sekurang-kurangnya saya dapat menyumbangkan sesuatu buat bapa dan golongan OKU.

Malah untuk bawa watak Uda ini, saya terpaksa mengasingkan diri dari bercakap dengan semua orang sepanjang penggambaran berlangsung dan hanya memakai fon telinga mendengar bunyi 'buzzing'. Bimbang juga ia akan memudaratkan diri, tetapi saya terpaksa lakukan demi melakonkan watak Uda. Saya bersyukur kerana dapat terlibat dalam sebuah karya berani dan realiti seperti ini.

Adakah watak Uda ini memberi impak besar terhadap diri anda sendiri?

Dalam banyak-banyak naskhah yang pernah saya berlakon, "Pekak" dan "Juvana" adalah filem paling beri impak besar kepada saya. Sampai terbawa-bawa sehingga ke luar set. Watak Uda dan Daim membuatkan saya menangis di rumah kerana terkenangkan nasib mereka.

Dalam filem terdapat babak-babak seperti menghisap dadah dan rogol. Apa komen anda?

Sejujurnya saya cakap, kita sebenarnya ada masa kita perlu tunjukkan rupa sebenar dadah itu supaya penonton terutamanya golongan muda tahu akan bentuknya sekaligus mereka dapat elak jika tahu apa yang ada di hadapan mereka kelak. Babak rogol yang anda tonton itu sebenarnya sudah dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan saya tidak melihat ia menjejaskan langsung keseluruhan filem ini. Filem "Pekak" sarat dengan realiti kehidupan yang berlaku disekeliling kita dan mesej utama dalam filem ini adalah keberkatan dalam mencari rezeki.

Selepas "Pekak" apa perkembangan terbaru anda? Ada filem terbaru?

Ya, selepas ini saya akan muncul dengan sebuah lagi filem berjudul "One Two Jaga" yang diarahkan oleh Namron. Ini sebuah lagi filem berani dan berdasarkan realiti kerana buat pertama kalinya dalam sejarah perfileman tempatan ia memaparkan tentang sisi gelap dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Filem "Pekak" bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 1 September ini.

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan:
Pekak (Melayu) (1 September 2016)
Juvana (Melayu) (24 Januari 2013)
Juvana 2 (Melayu) (29 Oktober 2015)