Temubual
Chacha Maembong timba pengalaman baru berlakon di Kashmir


Tarikh disiarkan: 20 Ogos 2017


Chacha Maembong teruja dapat bekerjasama dengan pelakon lagenda Bollywood.

Pelakon Chacha Maembong kini menjadi antara salah seorang pelakon baru yang semakin mendapat perhatian penerbit dan pengarah apabila dia kini kerap muncul di kaca televisyen menerusi drama dan juga telefilem.

Lakonannya juga semakin hari di lihat semakin bagus, oleh itu tidak hairanlah bakatnya kini mula mendapat tempat di hati penonton.

Adik kepada pelakon Emma Maembong ini terus melangkah ke hadapan apabila dia bakal beraksi di layar perak pula menerusi filem sulungnya berjudul "Aku Bukan Terrorist" arahan Arjin Upal.

Filem drama aksi ini bukan sahaja menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Chacha, Afiq Muiz, Datuk Jalaluddin Hassan, malah ia turut menampilkan barisan pelakon Bollywood terkenal iaitu Gulshan Grover, Farida Jalal dan Rahul Dev.

Baru-baru ini ketika pelancaran treler "Aku Bukan Terrorist", Cinema Online sempat menemubual dengan pelakon muda berbakat besar ini bagi berkongsi pengalamannya sepanjang menjayakan filem ini.


Chacha Maembong bersama gandingannya Afiq Muiz sebagai peneraju dalam filem "Aku Bukan Terrorist".

Cinema Online: Boleh ceritakan sedikit mengenai watak anda dalam filem ini?

Chacha: Dalam filem "Aku Bukan Terrorist" ini, saya membawa watak sebagai Dayana yang mana dia merupakan rakan baik kepada Ummar lakonan Afiq Muiz. Selepas dia mendapat tahu ibu Ummar sakit, dia tampil membantu dengan membeli tiket kapal terbang kepada Ummar untuk pulang melawat ibunya tetapi dia juga turut ikut sekali kerana mahu merasakan pengembaraan ke Kashmir.

Berlakon dalam filem pertama dan terus dapat naskhah yang boleh dikatakan agak mencabar tambahan berlakon dengan pelakon Bollywood, jadi bagaimana anda hadapinya?

Saya tak nafikan watak yang diberikan kepada saya agak sukar kerana saya masih lagi baru dalam dunia lakonan filem, lepas itu bergandingan pula dengan pelakon lagenda Bollywood, ia membuatkan saya berasa gementar tetapi apabila saya sudah berada di lokasi penggambaran saya bersyukur apabila artis tempatan dan Bollywood dapat memberikan kerjasama yang cukup baik.

Biarpun sebelum ini saya pernah berlakon dalam drama atau telefilem aksi, namun untuk filem ini saya tidak nafikan saya bergelut juga kerana berlakon aksi dalam filem dan drama sangat berbeza tetapi Alhamdulillah dengan bantuan pengarah dan pelakon lain saya berjaya melakukannya.

Selain itu, apa cabaran yang dihadapi oleh anda sepanjang penggambaran di Kashmir?

Saya rasa bukan saya seorang sahaja yang merasakan cabaran, tetapi seluruh tenaga produksi apabila kami terpaksa melakukan penggambaran dalam keadaan yang sangat sejuk iaitu di bawah paras beku, selain perlu mengejar masa berikutan waktu cerah sangat singkat di sana.

Selain itu, kami juga perlu mengikut arahan daripada anggota keselamatan yang membantu kami sepanjang penggambaran kerana lokasi yang kami jalankan penggambaran merupakan lokasi 'konflik' antara India dan Pakistan.

Adakah anda melakukan sendiri babak aksi atau menggunakan 'stunt double'?

Saya ada juga guna 'stunt double' tetapi kebanyakkannya saya buat sendiri sehingga saya mengalami kecederaan mata ketika menjayakan satu babak aksi. Namun ia tidaklah serius dan saya dapat meneruskan penggambaran.

Bagaimana pula bekerja dengan pelakon lagenda Bollywood, Farida Jalal dan sukarkan untuk anda mencipta keserasian dengan Afiq?

Teruja sangat. Farida seorang yang sangat merendah diri dan saya menganggap dia seperti ibu yang mana dia banyak membantu saya untuk menjiwai watak saya sekaligus saya merasakan ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga buat diri saya.

Manakala bekerja dengan Afiq pula tidak sukar untuk kami mencipta keserasian kerana kami sebelum ini pernah bekerjasama dalam banyak drama jadi ia tidak menjadi masalah buat kami.

Apakah harapan anda terhadap filem ini dan apa yang anda hendak katakan kepada penonton untuk mengajak mereka ke pawagam?

Saya berharap agar filem ini dapat menarik perhatian penonton kerana ia sebuah naskhah kolaborasi antara Malaysia dan Bollywood. Selain itu, jalan cerita yang ditampilkan sangat berbeza dan belum pernah dihasilkan sebelum ini yang mana ia bukan sahaja mempunyai elemen aksi, tetapi juga drama yang menyentuh hati.

Apa projek terbaru anda?

Ketika ini saya sedang sibuk dengan penggambaran drama 20 episod terbitan TV3. Saya juga berkemungkinan akan muncul dengan sebuah lagi filem pada tahun hadapan namun tidak dapat didedahkan lagi butiran lanjut kerana ia masih lagi dalam proses perbincangan. Saya akan umumkan bila semuanya sudah dapat kata putus.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: