Temubual
Edmund Yeo berbicara mengenai trofi Pengarah Terbaik dimenanginya


Tarikh disiarkan: 7 November 2017


(Kiri-Kanan): Bintang "AQERAT (We The Dead)" Howard Hon Kahoe, Daphne Low
dan Pengarah Terbaik TIFF 2017 Edmund Yeo.

Ia bukan senang untuk menghasilkan filem itu sendiri, dan lebih sukar lagi apabila menghantar filem anda untuk ditonton dan dinilai oleh pemain industri filem tersohor dunia di festival filem bertaraf antarabangsa, tetapi itulah yang dibuat oleh Edmund Yeo, dan dia telah berjaya.

Menjadi pembikin filem termuda pada tahun ini yang bersaing dalam seksyen Competition di Tokyo International Film Festival (TIFF), dia telah berjaya menangi Pengarah Terbaik apabila diiktiraf oleh barisan panel juri yang diketuai oleh pelakon Hollywood, Tommy Lee Jones. Selain itu, panel turut termasuk pelakon China, Vicky Zhao, pengarah Iran, Reza Mirkarimi, pengarah Perancis, Martin Provost dan pelakon Jepun, Masatoshi Nagase.


Selain dihantar untuk bersaing dalam seksyen Competition, ia turut merupakan Tayangan Perdana Dunia untuk "AQERAT (We The Dead)" yang dibintangi oleh Daphne Low dan Howard Hon Kahoe. Ia sebuah naskhah provokasi yang memaparkan perjalanan seorang wanita terdesak yang terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia, dan ia secara tidak langsung memberi gambaran mengenai orang Rohingya di Malaysia.


Howard Hon Kahoe dan Daphne Low dalam "AQERAT".

Di TIFF, Yeo turut membuat tayangan dokumentari 70 minit yang diberi judul "Yasmin-san" mengenai Allahyarham pembikin filem tersohor Malaysia, Yasmin Ahmad, sebuah usaha Crosscut Asia yang menampilkan pelakon Malaysia, Sharifah Amani dan beberapa lagi.

Pada tahun 2014, filem "River of Exploding Durians" arahan Yeo telah dipilih untuk bertanding dalam seksyen Competition di TIFF, sementara filem pendeknya juga ditayangkan pada tahun sebelumnya.

Cinema Online berkesempatan bertemu dengan Edmund Yeo mengenai kejayaan yang diperolehinya.

Cinema Online: Anda berterusan menyertai TIFF dan tidak pernah berputus asa. Bagi pandangan anda, apa yang anda rasa 'anda buat perkara betul kali ini' yang membuatkan juri memilih anda sebagai Pengarah Terbaik berbanding tahun terdahulu?

Edmund: Sebenarnya agak pelik untuk berkata 'tidak berputus asa' apabila bercakap mengenai festival filem kerana ia bukan pertandingan sukan atau pertandingan lain. Menghantar filem ke festival filem adalah mengenai memberi filem anda satu pentas untuk ditayangkan di luar sekaligus dapat ditonton oleh orang ramai, kerana festival filem bukan sahaja dihadiri oleh orang awam, tetapi juga rakan pembikin filem, ahli programmer dari festival filem lain dan orang industri lain.

Penyertaan dan proses pencalonan untuk festival filem, bukan mudah. Untuk Competition utama, terdapat 1,600 filem dari seluruh dunia yang dihantar, dan hanya 15 buah filem dipilih.

Ia sangat sukar dan anda bersaing dengan banyak filem dari seluruh dunia, dan hanya dua buah filem Malaysia sahaja yang pernah dipilih untuk bersaing dalam Main Competition dalam tempoh 30 tahun sejarah festival ini ["AQERAT" dan "River of Exploding Durians"].


Edmund Yeo menerima trofi Pengarah Terbaik daripada Reza Mirkarimi.

Perkara ini menjadi sesuatu yang tidak mustahil kerana pembikin filem pada pertengahan tahun 2000 seperti Yasmin Ahmad, Woo Ming Jin, James Lee dan Ho Yuhang. Filem-filem mereka ditayangkan dalam seksyen Winds of Asia, yang mana mereka merupakan individu yang memberi peluang kepada saya untuk akhirnya dijemput ke Main Competition.

Tiada formula untuk 'menang anugerah' kerana setiap tahun anda bersaing dengan filem berbeza dan barisan juri berbeza. Ia sukar untuk saya berkata ' apa yang saya buat betul' untuk menang anugerah ini.

Saya tidak mempunyai sebarang strategi untuk menang memandangkan filem merupakan perkara subjektif. Hanya untuk membandingkan tiga tahu lalu dengan "Durians", saya kini lebih yakin dengan karya saya, dan saya juga yakin dengan barisan pelakon dan kru (termasuk Daphne, yang sememang berada dalam "Durians", sinematografer saya, Lesly Leon Lee, yang sudah bekerja dengan saya sejak filem pendek pertama saya pada tahun 2008, "Chicken Rice Mystery", dan mereka yang saya pernah bekerja sebelum ini dalam projek terdahulu) dan memberi kebebasan kepada semua orang untuk menjadi kreatif. Bagi saya, menjadi seorang pengarah adalah untuk mengumpul kreativiti semua orang, dan bukan menjadi diktator yang mahu semua orang mengikut arahan saya.


Adakah anda mendapat peluang untuk melihat filem pesaing anda tahun ini?

Ya, saya ada tonton beberapa. Tetapi berikutan jadual yang cukup padat tidak banyak. Selain dari "AQERAT", saya juga membentangkan filem lain saya, sebuah dokumentari yang diberi "Yasmin-san". Saya perlu membuat beberapa temubual dan tayangan untuk dua filem, tidak satu. Jadi malangnya saya hanya ada masa terhad untuk menonton beberapa filem.


Adakah anda rasa penerimaan terhadap filem/kerja anda lebih diterima/diiktiraf di Tokyo berbanding di Malaysia? Mengapa?

Sukar untuk saya katakan. Jika anda bercakap mengenai anugerah saya, keputusan dibuat oleh barisan juri dari negara dan latar belakang berbeza, jadi ia bukan sahaja Tokyo. Kerja saya, sama seperti kebanyakkan filem, mereka mempunyai penyokong dan pengkritik di Malaysia atau Jepun. Perbezaannya adalah Jepun dan kebanyakkan negara lain mempunyai tradisi festival filem dan panggung arthouse, jadi ramai penonton luar tidak terdedah dengan filem komersial sahaja, oleh itu mereka lebih menerima filem-filem yang memerlukan penonton berfikir. Di Malaysia, kami membesar dengan kebanyak filem-filem komersial, jadi nilai sesebuah filem bagi penonton di sini di ukur hanya menerusi nilai hiburan.

Adakah penonton di Malaysia berpeluang untuk menonton filem "AQERAT" di sini?

Ya, penerbit saya sedang berusaha untuk merealisasikannya.


Adakah anda mempunyai perancangan untuk menyertai TIFF lagi pada tahun hadapan atau festival filem lain?

Jika saya dapat buat filem tahun depan, sudah pasti saya akan sertainya.


Apa projek terbaru anda?

"AQERAT" dan "Yasmin-san" akan terus mengembara ke festival filem lain selepas TIFF. ["AQERAT" juga akan pergi ke Festival Filem Antarabangsa Singapura November ini]. Juga, sebelum terbang ke Tokyo untuk festival ini, saya telah buat separuh penggambaran filem terbaru saya berjudul "Malu". Saya akan teruskan penggambaran filem itu tidak lama lagi. Saya juga sedang berbincang mengenai beberapa projek dengan penerbit Jepun, tetapi saya tidak boleh dedahkan butiran lanjut buat masa ini.

Penulis: Naseem Randhawa

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.