Temubual
Farid Kamil bangga dengan naskhah "Tombiruo: Penunggu Rimba"


Tarikh disiarkan: 3 Oktober 2017


Farid Kamil kagum dengan hasil akhir filem "Tombiruo: Penunggu Rimba" yang setaraf
dengan filem antarabangsa.

Nama Farid Kamil tidak perlu diperkenalkan lagi kerana dia sudah hampir dua dekad berkecimpung dalam dunia lakonan filem dan dia merupakan seorang pelakon yang mempunyai pengalaman yang cukup luas.

Selain berlakon, Farid turut menceburkan diri dalam dunia pengarahan dan sudah mengarah beberapa naskhah filem di mana kebanyakkannya lebih kepada genre aksi yang merupakan genre kegemarannya.

Walaupun kini sudah jarang kelihatan kelibat aktor berusia 36 tahun ini beraksi di layar perak, namun setiap kali dia membuat penampilan pasti ia akan memberikan impak kepada penonton.


Terbaru, Farid bakal muncul dengan filem aksi drama terbaru berjudul "Tombiruo: Penunggu Rimba" yang merupakan sebuah naskhah yang diangkat dari novel popular dengan judul sama.

Walaupun hero atau watak utama dalam filem ini adalah Zul Ariffin yang memegang watak sebagai Ejim atau Tombiruo, namun watak Farid dalam filem ini juga cukup signifikan dan seimbang dengan watak Ejim.

Ketika tayangan perdana filem "Tombiruo: Penunggu Rimba" berlangsung di MBO Cinemas Starling Mall baru-baru ini, Cinema Online sempat menemubual suami kepada Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM29), Diana Danielle ini bagi berkongsi pengalaman dan cabaran sepanjang menjayakan filem ini.


Barisan pelakon "Tombiruo: Penunggu Rimba".

Cinema Online: Boleh kongsikan sedikit mengenai watak anda dalam filem ini?

Farid: Dalam filem ini saya membawa watak sebagai Amiruddin, seorang renjer hutan dan juga suami kepada Salina lakonan Faye Kusairi. Satu hari isteri dan ayah mertuanya telah terlibat dalam kemalangan secara tidak sengaja selepas aksi kejar-mengejar di antara Tombiruo dengan orang jahat, yang mana Amiruddin kemudian tersalah sangka apabila menuduh Tombiruo sebagai punca kematian isterinya dan mula memburu untuk membalas dendam.

Mengapa anda bersetuju untuk membintangi filem ini?

Saya terima tawaran untuk berlakon dalam filem ini kerana ia sebuah naskhah yang bagus dan ditambah dengan barisan tenaga produksi yang terlibat membuatkan saya lebih teruja untuk membabitkan diri dalam filem ini. Malah saya juga mendapat pengalaman baru iaitu bekerja dengan tenaga produksi yang menerapkan cara kerja 'ala Hollywood' yang mana mereka tidak bekerja lebih 12 jam dan tidak terburu-buru untuk menghabiskan setiap babak.

Dengan cara kerja ini, ia membuatkan saya dapat memberi fokus dan komitmen yang lebih baik untuk menjayakan setiap babak yang membabitkan saya, terutamanya babak aksi.

Jadi adakah sukar untuk anda melakonkan babak aksi dan adakah anda melakukan sendiri kesemua babak aksi ini?

Boleh dikatakan hampir keseluruhan babak aksi berat dalam filem ini saya buat sendiri tanpa menggunakan 'stunt double' tetapi untuk babak-babak. Kami mengambil masa lebih dua minggu untuk berlatih bertarung dan ia memudahkan kerja kami apabila masuk ke set penggambaran. Bagi saya ia tidaklah mencabar kerana saya sudah biasa melakukan babak aksi.

Jika babak aksi tidak mencabar, babak apa yang paling mencabar?

Percaya atau tidak, babak paling sukar buat saya adalah ketika perlu menjayakan babak di mana saya merangkul tubuh isteri saya (Salina) selepas kemalangan yang mana kemudian dia meninggal dunia. Saya perlu fikir bagaimana hendak melakukan ekspresi muka seorang yang terkejut dan sedih apabila orang yang tersayang meninggal dunia di depan mata kita sendiri.

Boleh kongsikan pengalaman bekerja dengan Seth Larney dan Nasir Jani untuk filem ini? Apa cabarannya?

Saya berasa sangat bersyukur kerana mempunyai dua orang yang cukup hebat untuk menjayakan filem ini. Bagi saya tiada masalah untuk bekerja dengan kedua-dua mereka kerana masing-masing mempunyai sentuhan berbeza.

Selepas menonton hasil akhir filem ini, saya nyata teruja dan kagum kerana kualiti yang dihasilkan boleh dikatakan setaraf dengan filem-filem antarabangsa lain dan ini sepatutnya boleh menjadi penanda aras baru kepada industri perfileman tempatan.

Adakah anda mencadangkan supaya produksi tempatan lebih terbuka untuk melakukan kolaborasi dengan pihak luar?

Bagi saya kan, tidak salah untuk kita 'import' kepakaran luar untuk membantu kita menghasilkan filem berkualiti. Mungkin akan ada orang pertikaikan filem bagus kerana ada tenaga orang luar tetapi ia tetap filem Malaysia dan bukannya filem luar.

Saya bagi contoh bola sepak lah, kita tengok liga tempatan kita juga turut menggunakan khidmat pemain import untuk memperkukuhkan lagi pasukan mereka supaya menjadi lebih kuat. Jadi bagi saya kita perlu bersikap lebih terbuka sekiranya mahu terus maju dan menghasilkan filem-filem berkualiti.

Apakah harapan anda terhadap filem ini?

Saya berharap agar penonton dapat memberi sokongan padu kepada filem ini kerana kami telah memberikan yang terbaik dari segi lakonan dan pihak produksi pula sanggup mengeluarkan bajet yang cukup besar untuk memastikan filem yang dihasilkan berkualiti dan bagus. Alhamdullilah dari apa yang saya lihat, ia berbaloi, dan penonton yang menonton filem ini pasti tidak akan kecewa.

"Tombiruo: Penunggu Rimba" bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 12 Oktober ini!

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan:
Tombiruo: Penunggu Rimba (Melayu) (12 Oktober 2017)
Anak Jantan (Melayu) (30 Oktober 2014)
J Revolusi (Melayu) (2 Mac 2017)