Temubual
KP FINAS: Syarat Wajib Tayang akan diperketatkan


Tarikh disiarkan: 4 Julai 2017


Beberapa perubahan baru akan dibuat bagi memastikan industri filem tempatan berdaya saing.

Pada bulan Disember tahun lalu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah melantik Dato' Fauzi Ayob sebagai Ketua Pengarah FINAS baharu yang berkuat kuasa bermula 1 Januari 2017.

Perlantikan Dato' Fauzi dibuat selepas kontrak KP FINAS terdahulu, Dato' Kamil Othman, telah tamat pada 9 November 2016.

Sebelum memegang jawatan sebagai KP, Dato' Fauzi merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Komunikasi) di FINAS, oleh itu beliau merupakan calon yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Selepas hampir setengah tahun atau sudah masuk suku kedua tahun 2017, Cinema Online berpeluang untuk menemubual KP baru ini bagi mendapatkan perkembangan terkini serta perancangannya untuk memantapkan industri perfileman tempatan.


Cinema Online: Apa perkembangan terbaru yang dibuat oleh Dato' sejak memegang jawatan sebagai KP FINAS yang baru?

Dato' Fauzi: Sejak saya memegang jawatan sebagai KP FINAS, saya telah menggariskan beberapa 'guidelines' atau KPI yang mana salah satunya adalah untuk memulangkan semula IP (Intellectual Property) kepada syarikat produksi yang mempunyai perkongsian IP dengan FINAS. Kami sudah memulakan fasa pertama dengan pemberian semula IP kepada empat buah syarikat produksi iaitu Pesona Pictures Sdn Bhd ("Tanda Putera"), Infinite Motion Sdn Bhd ("Oh La La"), Tangan Seni Sdn Bhd ("Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior") dan Funcel Sdn Bhd ("7 Satria").

Inisifatif oleh kementerian dan FINAS ini dibuat sebagai perintis kepada usaha membangunkan platform pemasaran dan pemilikan kandungan oleh produksi tempatan yang telah mendapat pembiayaan penerbitan melalui Dana Animasi dan Dana Kenegaraan FINAS.


Berapa jumlah keseluruhan IP yang ada dalam senarai FINAS yang akan diserahkan semula kepada syarikat-syarikat produksi?

Jumlah keseluruhan masih lagi dalam proses pengiraan oleh pihak saya, tetapi apa yang saya boleh katakan ia dalam jumlah yang banyak. Kami akan cuba menyelesaikan proses ini secepat mungkin dan penyerahan IP akan dibuat secara berperingkat-peringkat. Penyerahan IP ini hanya dibuat kepada mereka yang berkongsi dengan FINAS sahaja. Jika FINAS yang membayar sesebuah produksi untuk menghasilkan IP, maka IP tersebut adalah hak milik FINAS dan ia tidak akan diserahkan kepada produksi.


Mengapa baru sekarang FINAS mahu menyerahkan semula IP kepada syarikat produksi yang mendapat dana daripada FINAS?

Saya mengambil keputusan untuk menyerahkan semula IP ini supaya pihak produksi dapat membawa IP mereka untuk dipasarkan ke luar negara, dan ini secara tidak langsung dapat mengembangkan industri filem tempatan dan memberi peluang kepada karya-karya tempatan untuk ditayangkan di luar negara.

Malah, ia juga akan menjadi platform untuk sesebuah produksi berpeluang untuk bekerjasama dengan produksi luar negara, yang mana ia secara tidak langsung akan memeriahkan lagi industri filem tempatan.


Selain itu, ada rancangan baru yang telah diperkenalkan oleh Dato'?

FINAS juga baru sahaja melancarkan program Pitching Carnival yang mana kami mengumpulkan stesen-stesen televisyen utama di bawah satu bumbung, di mana sesiapa yang mempunyai idea atau naskhah yang baik untuk diangkat ke TV, dapat ke Pitching Carnival untuk membuat 'presentation' kepada stesen-stesen TV. Ia lebih mudah berbanding perlu pergi ke sebuah steven TV ke stesen TV lain.

Selain itu, sepanjang tahun ini FINAS juga mempunyai beberapa program lain seperti Meja Bulat, Program Meningkatkan Kualiti Pengarahan, Director Phd Talk, Cill, Asia Directors Talk dan Apresiasi Filem Tayangan Pertama.


Bagaimanapun dengan Sistem Penggredan Filem yang pernah disuarakan oleh KP FINAS terdahulu?

Sistem penggredan filem ini sebenarnya selari dengan perubahan Syarat Wajib Tayang yang bakal dibuat tidak lama lagi. Dalam Syarat Wajib Tayang ini, kami akan mempunyai dua jawatankuasa iaitu satu penilai dan satu lagi untuk kualiti. Sebelum ini, jawatankuasa yang ada tidak pernah menolak sebarang filem yang memohon untuk Syarat Wajib Tayang, jadi menerusi syarat baru ini kualiti filem akan lebih terjamin.

Menerusi Syarat Wajib Tayang baru ini, setiap filem yang dihantar untuk slot wajib tayang akan melalui proses penilaian dan sekiranya ia tidak menepati kualiti yang ditetapkan, ia tidak akan dibenarkan ditayangkan di pawagam. Bagaimanapun, mereka masih lagi berpeluang untuk menayangkan filem mereka menerusi platform lain seperti DVD, Astro First atau lain-lain.


Barisan pemenang pada malam 'pre award' FFM tahun lalu.

Menyentuh soal Festival Filem Malaysia pada tahun ini, bilakah ia akan berlangsung dan apa perubahan baru yang diperkenalkan?

Acara Festival Filem Malaysia (FFM) ke-29 tahun ini akan berlangsung pada 23 September depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), yang mana ia akan memperlihatkan FINAS membuat beberapa perubahan baru dalam penganjuran tahun ini bagi memastikan ia lebih telus, adil dan bebas dari sebarang kontroversi.

Untuk FFM 29, tiada lagi majlis 'pre-award' sebelum malam kemuncak seperti tahun-tahun sebelum ini, dan kami akan mengurangkan beberapa kategori yang mana ia akan disatukan dalam kategori yang dirasakan sama.

Untuk sistem penjurian FFM pula, pihak kami akan memperhalusi dari segi kategori dan kriteria-kriteria tertentu. Kita tak mahu lagi jadi macam tahun lalu apabila ia mencetuskan kontroversi selepas beberapa kategori baru diperkenalkan. Kita tidak mahu filem kebangsaan di anak tirikan. Malah satu mesyuarat juga telah diadakan yang mana FINAS telah menjemput persatuan-persatuan seni tanah air untuk berbincang dan memberi pandangan dan cadangan untuk memperbaiki sistem penjurian FFM kali ini dan InsyaAllah, diharap ia akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang kontroversi.

(Sumber foto: FINAS)

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.