Temubual
Pekin Ibrahim: "Suatu Ketika" sebuah naskhah unik


Tarikh disiarkan: 12 September 2017


Pekin Ibrahim tambah berat badan untuk jayakan watak sebagai Cikgu Sulaiman.

Nama Pekin Ibrahim bukan lagi asing dalam dunia filem tempatan kerana dia merupakan antara salah seorang pelakon dan pengarah muda berbakat besar dalam meneruskan perjuangan memantapkan industri filem tempatan.

Umum mengetahui Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim seorang pelakon yang bersikap selektif dalam setiap tawaran berlakon yang diterimanya.

Bukan kerana dia mula bersikap lupa diri selepas popular, sebaliknya dia mengambil keputusan untuk lebih selektif kerana mahu memastikan naskhah yang dibintangi adalah sebuah naskhah yang berkualiti dan mampu mencabar kemampuan lakonannya.

Oleh itu, apabila dia ditawarkan oleh pengarah filem "Suatu Ketika" iaitu Prakash Murugiah untuk membintangi filem ini, dia tidak mengambil masa lama untuk bersetuju terlibat dengan filem ini.

Baru-baru ini, Cinema Online telah dijemput oleh produksi Kash Pictures untuk ke lokasi penggambaran filem "Suatu Ketika" yang berlangsung di Cyberjaya, di mana kami berpeluang untuk menemubual Pekin.

Filem tersebut berkisarkan tentang sekumpulan pelajar sekolah tempatan berlainan bangsa, yang melalui detik-detik susah dan senang bersama ketika berlatih dalam sukan bola sepak untuk menentang pasukan yang lebih kuat daripada mereka. Biarpun ada kalanya mereka berasa seperti mahu berputus asa, namun ada insan yang sentiasa ada untuk memberi dorongan dan semangat kepada mereka untuk terus berusaha untuk mencapai kejayaan.

Jadi jom ikuti temubual bersama pelakon berkaliber ini bagi berkongsi pengalaman sepanjang menjayakan filem ini.


Antara babak yang terdapat dalam filem "Suatu Ketika" ketika
Cinema Online melawat lokasi penggambaran filem itu baru-baru ini.

Cinema Online: Boleh kongsikan sedikit mengenai watak anda dalam filem "Suatu Ketika"?

Pekin: Dalam filem ini saya memegang watak sebagai seorang guru di sebuah sekolah kampung bernama Cikgu Sulaiman. Watak Sulaiman yang saya bawa ini merupakan seorang guru yang tidak mempunyai keyakinan diri dan di sana dia berkawan dengan seorang tukang kebun yang dilakonkan oleh Namron. Tukang kebun ini yang sering memberi semangat kepadanya selain banyak membantu.

Apa yang membuatkan anda menerima tawaran berlakon dalam filem ini?

Saya sebenarnya sudah lama mengenali pengarah iaitu Prakash, dan dia pernah memberitahu saya mengenai filem ini sejak tahun 2011 lagi, dan ketika membaca skrip tersebut saya agak kagum dengan jalan cerita yang ditampilkan. Namun ketika itu ia masih dalam proses pembangunan, tetapi apabila skrip itu telah siap, pengarah kemudian menawarkan watak kepada saya dan apabila saya baca semula skrip 'final' yang disiapkannya, saya tidak fikir panjang untuk menerima tawaran berlakon dalam filem ini.

Apa yang saya lihat adalah naskhah ini merupakan sebuah naskhah yang sangat berbeza dan belum pernah dihasilkan lagi. Oleh itu, saya melihat ia sebagai satu peluang untuk saya meneroka dalam sebuah filem bergenre seperti ini. Seperti yang anda ketahui, saya sentiasa mencari naskhah yang mampu menguji kemampuan lakonan saya dan naskhah ini menepati apa yang dimahukan oleh saya.

Selain itu, apa yang membuatkan anda lebih tertarik untuk turut sama terlibat dalam filem ini?

Apa yang saya dapat lihat adalah jika pengarah lain lebih fokus kearah filem-filem seperti aksi, namun dia tampil dengan idea yang epik dengan menghasilkan sebuah naskhah berlatarbelakangkan tahun 50an. Jadi saya merasakan 'mood' untuk filem ini seperti filem hebat Indonesia "Laskar Pelangi".

Jadi apa cabaran anda dalam menjiwai watak sebagai Cikgu Sulaiman?

Bagi saya untuk bawa watak sebagai Cikgu Sulaiman ini tiada masalah, kerana sejak kecil lagi kita sememangnya terdedah dengan cikgu ketika di bangku sekolah jadi saya tak perlu buat langsung rujukan lain kerana saya sudah tahu bagaimana hendak membawa watak ini. Cuma yang menjadi cabaran buat saya adalah 'wardrobe', yang mana kita menggunakan latar belakang 50an jadi setiap butiran perlu diteliti supaya cara, gaya dan apa yang dipakai oleh saya adalah pakaian yang dipakai oleh era itu.

Selain itu, kami juga perlu meneliti skrip dan mengambil keputusan untuk menggunakan bahasa baku supaya dialog yang akan dilontarkan oleh setiap pelakon mudah difahami terutamanya kepada kanak-kanak yang menontonnya. Sekiranya kami menggunakan bahasa orang dahulu ia sudah pasti akan membuatkan mereka tidak faham, sekaligus tidak berminat untuk menonton.

Difahamkan anda juga terlibat dalam kelas lakonan yang dibuat oleh Namron untuk pelakon kanak-kanak dalam filem ini?

Sebenarnya saya hanya sebagai pembantu sahaja kepada Namron dalam kelas lakonan ini. Saya gembira dengan pelakon kanak-kanak ini kerana mereka adalah antara yang bertuah dapat berguru dengan seorang guru lakonan yang cukup hebat dan tidak semua pelakon yang dapat berguru dengannya. Jadi peluang itu turut saya gunakan untuk mantapkan kualiti lakonan saya.

Apa harapan anda terhadap filem ini apabila ia ditayangkan kelak?

Saya sangat berharap filem ini dapat menarik perhatian penonton ke pawagam kerana ia sebuah filem untuk setiap lapisan masyarakat tidak kira tua, muda atau pun bangsa kerana ia sebuah filem inspirasi dan perpaduan.

Saya juga difahamkan bahawa penerbit dan pengarah juga mempunyai perancangan untuk membawa filem "Suatu Ketika" ke festival filem antarabangsa. Saya menyokong seratus peratus kerana merasakan filem ini mempunyai elemen yang tepat dalam mengetengahkan budaya majmuk dalam Malaysia, sekaligus menampilkan keindahan negara yang mampu hidup aman dan damai walaupun berlainan agama dan bangsa.

Apa projek terbaru anda selepas ini?

Selepas ini saya bakal muncul dengan sebuah filem aksi terbaru berjudul "KL Wangan" yang mana kini dalam proses pos-produksi dan dijangka akan siap tidak lama lagi. Filem arahan dan lakonan saya ini dijangka akan menemui penonton di seluruh Malaysia pada hujung tahun ini. Selain itu saya juga mempunyai sebuah dokumentari yang saya terbit berjudul "Madness Of Borneo". Untuk dokumentari ini saya dengan pasukan saya akan bawa karya ini untuk ditayangkan di seluruh dunia.

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan: