Temubual
Syamsul Yusof tak akan tergesa-gesa siapkan "Munafik 2"


Tarikh disiarkan: 14 Mac 2017


Syamsul Yusof merupakan pengarah untuk "Munafik 2".

Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof pernah kecewa apabila filem "KL Gangster 2"(2013) arahannya bocor dan dicetak rompak sebelum tayangan rasminya di pawagam yang mana dia telah mengambil keputusan untuk bersara dari dunia pengarahan.

Namun selepas mengambil tempoh bertenang lebih dua tahun Syamsul kemudian telah menyedari kesilapannya dan membuat kemunculan semula dalam dunia pengarahan dan lakonan menerusi filem seram "Munafik" pada tahun 2016.

Ternyata ia adalah keputusan tepat oleh Syamsul apabila filem yang menampilkan dirinya dan Nabila Huda sebagai peneraju telah mencetuskan fenomena dan berjaya mendapat kutipan RM19 juta sekaligus menjadi filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.

Selepas kejayaan filem pertama Syamsul mula merancang untuk menghasilkan sekuelnya dan akhirnya penantian ramai berakhir juga apabila penggambaran filem "Munafik 2" bakal berlangsung tidak lama lagi.

Baru-baru ini ketika majlis perlancaran filem "Munafik 2" di FINAS, Hulu Kelang, Cinema Online sempat menemubual pengarah berbakat besar ini bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai filem ini.


Syamsul Yusof & Maya Karin adalah pelakon utama untuk "Munafik 2".

Cinema Online: Bagaimana anda mendapat idea untuk "Munafik 2"?

Syamsul: Saya sudah mula mencari idea untuk filem sekuel ini sejak tahun lalu lagi, tetapi dalam sesebuah filem itu kekuatannya kadang-kadang terletak di pertengahan atau penamat dan inilah yang saya cari. Alhamdulillah ilham itu hadir ketika saya nak tidur kerana susah nak tidur selagi tak dapat apa yang diinginkan. Saya terus tulis dan dapat apa yang dikehendaki. Apa yang saya boleh katakan adalah filem sekuel ini mengetengahkan jalan cerita yang lebih 'deep'.


Adakah skrip sudah siap memandangkan anda sebelum ini pernah berkata perlu merombak semula skrip asal?

Sebenarnya sudah siap tetapi sehingga kini saya masih lagi merombak skrip dan perkara ini bukanlah baru bagi saya kerana filem "Munafik" sebelum ini juga dalam situasi sama yang mana saya akan merombak skrip setiap masa termasuklah ketika penggambaran berlangsung.


Bagaimana pelakon hendak mempersiapkan diri sekiranya skrip belum siap dan diberikan kepada pelakon?

Ya, memang saya tidak beri lagi skrip kepada pelakon tetapi saya sudah jelaskan kepada setiap seorang pelakon mengenai watak yang bakal mereka bawa. Saya mungkin akan bagi skrip kepada mereka dalam tempoh terdekat ini. Saya percaya mereka semua sudah tahu cara saya bekerja kerana saya bukannya 100 peratus akan mengikut skrip, malah saya akan mengubah sesuatu babak tersebut ketika di penggambaran. Pada masa sama saya juga percayakan barisan pelakon saya mampu memberikan yang terbaik dan apa yang saya mahukan.


Jadi, bilakah penggambaran filem "Munafik 2" akan bermula?

Jika tiada aral melintang, kami akan memulakan penggambaran pada hujung bulan ini (Mac). Penggambaran yang akan mengambil tempat di tiga lokasi iaitu Selangor, Pahang dan Perak ini mengambil memakan masa selama 50 hari penggambaran.


Bercerita mengenai isu penarikan diri Nabila Huda dan pengambilan Maya Karin untuk filem sekuel ini, boleh jelaskan keadaan sebenar?

Okay, di sini saya ingin jelaskan supaya tiada lagi kekeliruan terhadap kenyataan yang dibuat oleh Nabila sebelum ini. Sebenarnya sememangnya saya tidak ada beri tawaran berlakon kepada Nabila kerana watak Maria yang dibawanya dalam "Munafik" telah pun mati, jadi buat apa saya nak ambil dia lagi. Walaubagaimanapun, watak Maria akan dipaparkan dalam filem kedua ini dalam babak imbas semula, jadi ia memerlukan Nabila. Saya akan cuba dapatkan Nabila jayakan babak itu untuk satu hari sahaja.

Pemilihan Maya Karin pula dibuat kerana merasakan dia seorang pelakon seram hebat yang mana dia dikenali menerusi beberapa naskhah seram popular. Bagaimanapun dalam filem "Munafik 2" ini saya akan pastikan watak Sakinah yang dibawa oleh Maya akan tampak berbeza daripada watak yang pernah dibawanya sebelum ini.


Adakah anda berasa tertekan untuk menghasilkan filem "Munafik 2" memandangkan kejayaan filem pertama?

Ramai yang bertanya soalan ini kepada saya. Ya kadang-kadang ada berasa tertekan juga tetapi saya kemudian membuang perasaan itu kerana sejujurnya ketika menghasilkan "Munafik" saya tidak pernah memikirkan soal kutipan filem sebaliknya memberi tumpuan kepada filem itu dan mahu memberikan yang terbaik sahaja kepada penonton.

Jadi untuk filem kedua ini kami melabur lebih daripada filem terdahulu kerana kami mahu memberi yang lebih baik dari filem pertama. Kejayaan sesebuah filem itu bukan terletak pada pelakonnya sahaja tetapi juga kepada skrip dan pengarahan. Jika dalam sebuah filem hanya ada satu sahaja daripada elemen itu ia tidak berjaya sebaliknya kedua-dua elemen ini perlu ada untuk menjadi sesebuah naskhah itu bagus.


Jadi, bilakah agaknya penonton dapat menyaksikan filem "Munafik 2"?

Mengikut perancangan saya, filem ini dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan iaitu 2018. Saya tidak mahu tergesa-gesa atau seperti 'melepaskan batuk di tangga' sahaja sebaliknya mahu mengambil masa secukupnya untuk menghasilkan sebuah naskhah yang berkualiti sekaligus mengatasi kehebatan filem pertama.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Munafik (Melayu) (25 Februari 2016)