Temubual
Zul Ariffin teruja tunggu respon penonton terhadap "J Revolusi"


Tarikh disiarkan: 21 Februari 2017


Zul Ariffin berpuas hati dengan lakonannya dalam "J Revolusi".

Kelibat pelakon popular Zul Ariffin mungkin kurang dilihat di layar perak jika hendak dibandingkan di kaca televisyen, terutamanya menerusi drama-drama 'cinta' yang telah membuatkan penonton, terutama golongan wanita, menggilai pelakon bertubuh sasa ini.

Namun disebalik watak 'romantik' yang sering dibawa dalam drama, Zul sebenarnya memasang impian untuk membintangi sebuah naskhah yang padat dengan aksi.

Impiannya itu akhirnya tercapai juga apabila dia telah ditawarkan untuk membintangi filem "J Revolusi" sebagai Jay Zulkarnaian, iaitu watak utama.

Filem terbitan Grand Brilliance dan Infinitus Productions ini mengangkat tema Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia yang mana Zul merupakan salah seorang anggota elit pasukan itu.

Selain Zul, filem arahan Zulkarnaian Azhar ini menampilkan barisan pelakon hebat sebagai peneraju seperti Farid Kamil, Nur Fazura dan Izara Aishah, selain dibantu pelakon lain seperti Azad Jazmin, Dato' Hans Isaac, atlet Seni Bela Diri Campuran (MMA) dan ramai lagi.

Baru-baru ini ketika majlis pratonton "J Revolusi" di mmCineplexes, eCurve berlangsung, Cinema Online sempat menemubual Zul bagi berkongsi pengalamannya menjayakan filem yang dikatakan bakal menjadi filem aksi terhebat tahun ini.


Barisan pelakon utama "J Revolusi".

Cinema Online: Boleh ceritakan sedikit mengenai watak anda dalam filem "J Revolusi"?

Zul Ariffin: Dalam filem ini saya bawa watak sebagai, Jay Zulkarnian, yang mana dia seorang anggota Unit Tindakhas (UTK) dalam misi untuk menyelamatkan kakaknya yang merupakan seorang pengintip, dari dibunuh oleh penjahat. Pada masa sama, dia juga telah diperangkap apabila dikatakan telah membunuh rakan sepasukannya ketika satu operasi.


Mengapa anda menerima tawaran berlakon dalam naskhah "J Revolusi"?

Sebenarnya, saya sememangnya sudah lama mahu membintangi sebuah filem aksi, tetapi ketika ini industri kita lebih ke arah filem romantik. Tetapi apabila filem aksi mula banyak dihasilkan, saya mula menanam impian untuk satu hari saya mahu berlakon dalam filem aksi dan ternyata saya dapat juga berlakon dalam filem aksi sebagai watak utama buat pertama kali. Lebih menarik adalah saya bergandingan dengan pelakon-pelakon filem hebat seperti Farid Kamil, Nur Fazura, Izara Aishah dan ramai lagi.

Ketika mendapat skrip filem ini, awal-awal lagi saya sudah nekad untuk memberikan yang baik dan tidak kisah dengan sebarang kecederaan yang bakal dihadapi dan kalau boleh, saya mahu lakukan semua babak aksi sendiri tanpa 'stunt double'.


Terdapat babak anda bertarung dengan Izara Aishah, boleh kongsikan sedikit pengalaman jayakan babak tersebut?

Ya betul, sebenarnya dalam UTK memang ada anggota wanita dan kesemua mereka ini anggota yang terlatih, jadi kami merasakan perlu untuk kami paparkan sisi anggota wanita ini. Jadi sebab itu kami adakan babak ini. Lama juga untuk buat babak ini kerana kami mula penggambaran pukul 10 pagi dan selesai pukul 3 pagi. Salah satu lagi sebab mengapa kami mahu paparkan babak ini adalah untuk memberitahu bahawa wanita bertubuh kecil juga mampu menumbangkan lelaki bertubuh besar.


Adakah anda mengambil mana-mana rujukan untuk bawa watak Jay ini?

Tidak, saya tidak rujuk mana-mana filem bawa watak Jay ini kerana jika saya cari rujukan, secara tidak langsung saya akan 'meniru' sedikit sebanyak. Saya tidak mahu meniru langsung kerana mahu mencorak watak tersebut dengan sendiri.


Apa cabaran yang dihadapi anda sepanjang penggambaran filem ini?

Tidak banyak sebenarnya, kerana hampir 90 peratus aksi saya lakukan sendiri, cuma babak yang memerlukan saya memakai kabel untuk 'gantung' diri itu sahaja saya tidak boleh kerana tidak berani memandangkan saya belum pernah ada pengalaman, tetapi selepas ini saya akan buat sendiri memandangkan saya sudah tahu caranya.


Difahamkan anda telah membeli sebuah motorsikal berkuasa tinggi untuk filem ini yang mana ia telah mengalami kemalangan. Boleh ceritakan sedikit?

Saya bagi idea kepada penerbit, iaitu Gayatri, untuk tambah babak aksi bermotor dan menawarkan diri untuk beli sendiri motor yang saya nak gunakan itu. Saya memang dah lama idamkan untuk beli motorsikal tersebut dan ini alasan terbaik untuk saya beli. Namun malangnya dua minggu selepas itu motor berkenaan terbabit dalam kemalangan ketika dibawa oleh seorang pelakon lagak ngeri.

Bagaimanapun, motor tersebut sudah dibaiki semula dan saya berhasrat mahu menghadiahkan motor itu kepada penonton bertuah. Saya berbuat demikian kerana merasakan ia sesuatu yang istimewa kepada penonton filem ini. Kita akan adakan peraduan untuk penonton dan ada berbagai hadiah menarik. Salah satunya kereta Mazda!

Filem "J Revolusi" bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 2 Mac ini!

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan:
J Revolusi (Melayu) (2 Mac 2017)