Temubual
"Hero" papar sisi berbeza Hisyam Hamid


Tarikh disiarkan: 11 November 2018


Hisyam Hamid teruja dapat bawa watak sebagai anggota bomba yang merupakan bekas
kerjanya sebelum menjadi pelakon.

Selepas hampir lapan tahun berkecimpung dalam dunia lakonan pelakon kelahiran dari Singapura akhirnya mendapat watak utama dalam filem keduanya berjudul "Hero".

Walaupun namanya sudah sinonim dalam dunia drama televisyen dengan membintangi berbelas drama termasuk sebagai pelakon utama, namun Hisyam masih lagi 'hijau' dalam dunia perfileman.

Filem pertamanya berjudul "Kau Yang Satu" yang mana dia membawa watak sebagai pelakon pembantu pada tahun lalu yang mana ia diterajui oleh Dato' Aaron Aziz dan Izara Aishah.

Peluang untuk membawa watak utama dalam filem "Hero" bersama dua lagi pelakon iaitu Mark Adam dan Bell Ngasri nyata memberikan keterujaan kepadanya, tambahan filem ini berkisarkan tentang kerjaya anggota Bomba Dan Penyelamat yang cukup dekat dengan dirinya.

Baru-baru ini Cinema Online telah dijemput untuk hadir ke lokasi penggambaran filem terbitan NS Star Sdn Bhd di Kuala Lumpur dan sempat menemubual Hisyam bagi berkongsi pengalamannya dalam menjayakan filem ini.

Jom ikuti temubual bersama Hisyam Hamid.


Pelakon utama "Hero", Hisyam Hamid dan Mark Adam.

Cinema Online: Mengapa anda bersetuju untuk membintangi filem ini dan mengapa anda katakan ia dekat dengan diri anda?

Hisyam: Sebenarnya antara sebab utama saya terima tawaran filem ini kerana tugas sebagai seorang anggota bomba itu sentiasa berada dekat di hati saya memandangkan saya pernah bekerja sebagai anggota bomba di Singapura selama lapan tahun.


Pengalaman itu memberikan kelebihan buat saya untuk menjayakan watak saya dalam filem "Hero" ini. Ia sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada saya kerana sudah biasa dengan peralatan dan cara tugas ahli bomba sekaligus memudahkan lakonan saya.

Bagaimanapun dengan watak anda memandangkan filem ini bukanlah filem serius sebaliknya aksi komedi?

Dalam filem ini saya bawa watak sebagai Zaf, seorang anggota yang berdedikasi, terus-terang, jujur, lebihkan kerjaya dari cinta tetapi kelemahan diri adalah cepat kesian dan cemerkap. Terus terang saya katakan watak ini akan papar sisi berbeza saya yang mana sebelum ini saya lebih sinonim dengan watak-watak romantis atau dalam erti kata lain lelaki macho dan setiap naskhah lakonan saya.

Watak saya tak perlukan saya lontar dialog komedi sebaliknya sikap cemerkap Zaf itu sendiri akan membuatkan situasi itu menjadi komedi. Ditambah dengan gandingan saya iaitu Bell Ngasri dan Mark Adam yang sememangnya merupakan pelawak. Watak saya juga akan memperlihatkan saya akan banyak melakukan babak aksi pertarungan, jadi ini adalah antara kelainan watak saya dari sebelum ini.

Bagaimana pula pengalaman bekerja dengan Bell Ngasri dan Mark Adam?

Saya seronok bekerja dengan mereka kerana kedua-dua mereka bukan sahaja seorang pelakon yang berbakat tetapi juga melucukan. Mudah untuk saya mencari keserasian dengan mereka ini. Alhamdulillah sepanjang penggambaran berlangsung semuanya berjalan dengan lancar.

Apakah babak paling mencabar bagi anda?

Ada satu babak pada akhir filem yang mana ia membabitkan saya perlu bertarung dengan penjahat di atas bumbung. Bukan sahaja bertarung, tetapi juga ada letupan bangunan yang mana saya perlu pakai 'ringging' untuk lakukan babak letupan itu.

Ada mengalami sebarang kecederaan sepanjang penggambaran?

Kecederaan itu ada memandangkan ini filem aksi tetapi tidak lah serius mana pun. Hanya calar-balar dan lebam sedikit sahaja. Bagi saya ini adalah normal bagi sebuah filem aksi.

Apakah harapan anda terhadap filem ini memandangkan keadaan industri filem tempatan dilihat semakin positif?

Saya berbangga apabila sejak kebelakangan ini beberapa filem tempatan berjaya dapat kutipan puluhan juta. Saya berharap momentum ini akan berterusan dan filem ini mampu dapat kutipan pecah panggung kerana saya meletakkan harapan tinggi untuk "Hero" berjaya.

Penulis: Ashraf Nasser