Impian Hairul Azreen jadi tentera tercapai | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Temubual

Impian Hairul Azreen jadi tentera tercapai

Penulis: Ashraf Nasser


Hairul Azreen sanggup berhabis wang untuk upah guru lakonan bagi filem "Paskal The Movie".

Tahun 2018 menyaksikan pelakon Hairul Azreen diberi tanggungjawab untuk menggalas watak sebagai anggota beruniform di Malaysia, yang pertama menerusi filem "Qhaliq" yang mana dia membawa watak sebagai pengawai bomba dan penyelamat.

Terbaru, Hairul kembali menyarung uniform tetapi untuk pasukan yang lebih mencabar, iaitu pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu PASKAL (Pasukan Khas Laut), yang mana dia membawa watak sebagai Leftenan Komander Arman Anwar.

Filem arahan Adrian Teh ini merupakan filem ketenteraan tempatan termahal pernah di hasilkan dan antara kelompok filem-filem tempatan yang menelan belanja besar, iaitu sekitar RM12 juta.

Baru-baru ini ketika sidang media "Paskal The Movie" berlangsung di GSC Signature, The Gardens Kuala Lumpur, Cinema Online berkesempatan untuk menemubual pelakon berbakat besar ini bagi berkongsi pengalamannya menjayakan filem ini.

Jom ikuti temubual bersama Hairul Azreen.


Barisan pelakon utama "Paskal The Movie"

Cinema Online: Apabila anda mendapat tawaran untuk berlakon filem ini, adakah anda ambil masa lama untuk bersetuju?

Hairul: Tidak, saya tidak fikir panjang kerana ia merupakan satu penghargaan buat saya apabila diberi peluang untuk terlibat dalam sebuah naskhah bajet besar ini. Tambah-tambah lagi sebagai pelakon utama. Walaupun berasa agak gementar, namun saya nekadkan untuk berikan yang terbaik. Tidak dapat dinafikan pengarah pada mulanya agak risau untuk mengambil saya.

Apa maksud anda pengarah risau hendak mengambil anda?

Pengarah Adrian berkata dia pilih saya kerana latar belakang saya sebagai seorang pelakon lagak ngeri, tapi pada masa sama dia bimbang dengan lakonan saya, termasuklah wajah 'babyface' saya yang mana dikatakan tidak sesuai. Saya pada mulanya juga bimbang, dan selepas berbincang dengan isteri Hanis Zalikha, dia memberi sokongan padu kepada saya. Malah saya juga sanggup ambil kelas lakonan sepanjang penggambaran berlangsung kerana mahu buktikan yang saya mampu berlakon dalam filem aksi.

Difahamkan anda mengalami kecederaan ketika penggambaran, tetapi anda tetap teruskan?

Sebenarnya saya mengalami kecederaan patah jari bukan ketika penggambaran berlangsung, sebaliknya ketika saya membuat latihan sendiri. Bagaimanapun saya tetap teruskan penggambaran dalam keadaan tercedera walaupun terpaksa menahan kesakitan sepanjang penggambaran. Apa yang membuatkan semangat saya lebih berkobar-kobar adalah apabila pengarah berkata kepada saya yang dia tidak salah pilih pelakon membuatkan kesakitannya tidak terasa.

Malah untuk pastikan lakonan saya menepati kehendak pelakon, saya turut mengupah guru lakonan untuk berada di lokasi penggambaran supaya dapat memantau dan memantapkan lagi lakonan saya. Saya tidak kisah mengeluarkan modal sendiri untuk memastikan lakonan saya berkualiti.

Ia merupakan satu tanggungjawab besar buat anda apabila menggalas watak sebagai anggota elit Paskal.

Ya, betul tu. Saya memang dari kecil lagi pasang impian untuk bergelar tentera, tetapi impian itu tidak kesampaian. Apabila saya diberi peluang untuk berlakon dalam "Paskal" ia seperti impian menjadi kenyataan dan ketika menjalani latihan di kem tentera, saya rasa seperti salah seorang daripada mereka.

Saya berjanji tidak akan memalukan pasukan Paskal dan akan menggalas tanggungjawab diberikan dengan baik.

Apakah cabaran yang anda dan barisan pelakon lain hadapai sepanjang penggambaran?

Yang pertama adalah apabila kami perlu menjalani latihan komando selama seminggu, yang mana latihan yang kami buat sama seperti apa yang anggota Paskal lalui ketika menjalani latihan untuk masuk ke pasukan elit itu.

Antara cabaran lain adalah kami sentiasa akan berlatih bagi memastikan setiap babak yang dirakam menepati kehendak pengarah dan mengikut SOP (standard operation procedure). Saya ingin kongsikan pengalaman ketika kami ke Sabah. Kami baru sahaja sampai dan menganggap akan diberikan masa untuk berehat, sebalik tidak kerana kami terus diarahkan untuk bersiap untuk menjalani latihan untuk babak 'ambush'. Walaupun penat tapi kami tetap gembira.

Apa harapan anda terhadap filem ini?

Saya berharap sangat filem ini mampu mendapat sambutan daripada penonton dan yang paling penting saya mahu filem ini diingati oleh setiap rakyat Malaysia. Kita lihat banyak filem-filem ketenteraan dihasilkan, namun tiada sebuah pun yang mampu menandingi filem tentera lama seperti "Bukit Kepong", "Leftenan Adnan" mahu pun "Sarjan Hassan".

Oleh itu, saya berharap sangat filem "Paskal The Movie" ini mampu beri impak besar kepada penonton supaya ia mampu duduk sebaris dengan filem-filem tentera dahulu.

Apa perkembangan terbaru anda?

Saya akan muncul dengan sebuah lagi filem aksi kepolisan iaitu "Polis Evo 2" dan InsyaAllah ada sebuah lagi filem besar, tetapi saya tidak boleh dedahkan butiran lanjut kerana ia masih lagi dalam proses perbincangan.

Cinema Online, 17 Sept 2018

Filem Berkaitan:
Paskal The Movie (Malay) (27 Sep 2018)
Pak Pong (Malay) (23 Feb 2017)
Qhaliq (Malay) (14 Jun 2018)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan