Temubual
Syafiq Yusof puas hati dengan "KL Special Force"


Tarikh disiarkan: 11 Mac 2018


Syafiq turut kongsi projek filem akan datang.

Selepas berjaya mencipta kejayaan paling membanggakan pada tahun lalu menerusi filem aksi komedi "Abang Long Fadil 2", kini pengarah muda Syafiq Yusof kembali dengan filem aksi terbaru berjudul "KL Special Force".

Dalam filem terbaru ini, Syafiq tampil mengetengahkan kisah anggota polis penyamaran yang jarang diketengahkan sebelum ini.

Ia dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Fattah Amin, Syamsul Yusof, Tania Hudson, Sabrina Ali, Putri Balqis dan ramai lagi.

Filem terbitan Skop Productions, Damofa Productions dan Viper Studios ini berkisarkan tentang sekumpulan unit khas PDRM yang diketuai oleh Roslan yang dalam usaha untuk menumpaskan sekumpulan perompak yang diketuai oleh Asyraff.


Usaha Zul bahagian terganggu apabila anggota baru Zul diserapkan ke dalam pasukan itu yang mana kedua-dua mereka saling mengesyaki antara satu sama lain. Mampukah kedua-dua mereka menumpaskan kumpulan perompak itu?

Baru-baru ini ketika tayangan perdana filem "KL Special Force" yang berlangsung di mmCineplexs eCurve, Cinema Online sempat menemubual pengarah muda ini bagi berkongsi mengenai filem ini dan juga perkembangan terbarunya.


Syafiq Yusof bersama barisan pelakon "KL Special Force".

Cinema Online: Bagaimana idea untuk menghasilkan "KL Special Force" boleh tercetus?

Syafiq: Sebelum buat filem ini saya pernah mengarah beberapa episod untuk drama bersiri "Gerak Khas", jadi idea ini tercetus apabila saya hendak buat cerita polis yang lebih serius yang mana ia tidak mempunyai langsung elemen komedi dan membariskan pelakon yang boleh membawa watak yang mencabar. Dari itu lahirnya idea untuk menghasilkan filem ini.

Bagaimana pula dengan pemilihan barisan pelakon untuk filem ini dibuat?

Untuk barisan pelakon saya sememangnya sudah ada sejak tulis skrip lagi yang mana saya mahu menggabungkan pelakon baru dan senior oleh itu saya memilih Fattah Amin dan Datuk Rosyam Nor sebagai peneraju utama. Antara pelakon lain pula abang saya Syamsul Yusof yang akan membawa watak antagonis.

Jadi ketiga-tiga mereka ini boleh dikatakan tiga watak penting dalam filem ini dan mereka yang akan menggerakkan jalan cerita.

Adakah anda risau mengambil Fattah Amin sebagai salah seorang peneraju memandangkan ramai yang melabelnya 'kayu'?

Tidak langsung! Saya melihat Fattah mempunyai bakat besar cuma bakatnya perlu digilap sahaja dan itulah yang dilakukan oleh saya. Saya gilap lakonannya ditambah berlakon dengan dua pelakon hebat seperti Rosyam Nor dan Syamsul Yusof sudah pasti dia akan cuba berikan yang terbaik pernah dilakukannya.

Malah saya juga ingin memuji komitmen Fattah yang bekerja keras bagi memastikan watak yang dihasilkan olehnya menepati apa yang saya mahukan. Malah dia juga sanggup melakukan aksi lagak ngeri sendiri.

Difahamkan bukan Fattah seorang sahaja lakukan aksi lagak ngeri sendiri, malah pelakon lain juga. Andakah anda tidak menyediakan pelakon lagak ngeri?

Saya dan produksi sememangnya sudah mempunyai pelakon lagak ngeri untuk melakukan 'stunt' yang berbahaya tetapi barisan pelakon utama seperti Fattah, Rosyam dan Syamsul adalah pelakon yang cukup berdedikasi sehinggakan mereka sanggup lakukan sendiri babak aksi itu untuk beri kepuasan.

Bagaimanapun sebelum mereka melakukan babak aksi ini kami akan memastikan setiap langkah-langkah keselamatan di titikberatkan supaya kemalangan tidak berlaku. Cuma para pelakon hanya mengalami kecederaan ringan sahaja.

Dalam filem anda kali ini banyak kereta yang anda letupan. Boleh komen sedikit?

Untuk filem kali ini saya meletupkan kira-kira sepuluh buah biji kereta kerana bagi saya ia amat penting memandangkan ia sebuah filem yang padat dengan aksi. Oleh itu, setiap babak letupan membabitkan kereta kami akan lakukan sekali sahaja.

Berapa bajet keseluruhan untuk filem ini?

"KL Special Force" menelan belanja agak besar juga iaitu kira-kira RM4 juta. Ini kerana dalam filem ini kami banyak guna letupan, sepuluh biji kereta yang dirosakkan dan banyak lagi. Walaubagaimanapun saya sangat berpuas hati dengan hasil filem ini.

Apa harapan anda terhadap filem ini memandangkan filem terakhir anda berjaya cipta sejarah dengan kutipan tertinggi?

Apabila saya menghasilkan filem saya tidak pernah meletak sasaran tinggi sebaliknya hanya berharap ia akan mendapat sambutan. Untuk filem terbaru ini, saya berharap penonton dapat beri sokongan kerana ia adalah sebuah filem berbeza dari filem-filem saya sebelum ini yang mana ia lebih serius dan apa yang pasti ia lebih padat dengan aksi.

Jadi selepas ini apa projek terbaru anda?

Selepas ini saya ada sebuah filem yang saya akan terbit dengan kerjasama Mat Lutfi untuk filem "Sekolah Haha", dan bulan ini juga saya akan masuk ke set penggambaran filem psiko seram yang masih belum mempunyai judul. Manakala filem "Abang Long Fadil 3" pula akan memulakan penggambaran selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: