Zizan Razak fokus pada lakonannya dalam "Polis Evo 2" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Temubual

Zizan Razak fokus pada lakonannya dalam "Polis Evo 2"

Penulis: Ashraf Nasser


Zizan Razak akui berdebar berlakon dengan pelakon hebat seperti Hasnul Rahmat dan Syafie Naswip.

Selepas muncul dengan filem Indonesia berjudul "Kesempatan Keduda", pelakon, pelawak dan pengacara popular Zizan Razak bakal muncul dengan filem aksi terbarunya berjudul "Polis Evo 2".

Filem sekuel kali ini akan menyaksikan Zizan kembali menghidupkan wataknya sebagai Inspektor Sani bergandingan dengan Shaheizy Sam yang akan kembali menjayakan watak sebagai Inspektor Khai.

Filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew ini bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 22 November ini yang mana kali ini akan menyaksikan kedua-dua Inspektor Sani dan Khai bakal berdepan dengan musuh yang lebih hebat.

Baru-baru ini ketika majlis pelancaran poster teaser "Polis Evo 2" di The Gasket Alley Petaling Jaya, Cinema Online sempat menemubual pelakon hebat ini bagi berkongsi pengalaman dan perkembangan terbarunya.

Jom ikuti temubual bersama Zizan Razak.


Zizan Razak dan Shaheizy Sam sanggup ambil masa lama untuk buat persiapan untuk "Polis Evo 2".

Cinema Online: Dalam filem sekuel ini apakah perbezaan watak anda sebagai Inspektor Sani?

Zizan: Untuk filem sekuel ini watak saya masih lagi sama seperti sebelum ini, namun apa yang berbeza kali ini adalah elemen komedi dikurangkan, jadi watak saya akan lebih banyak bermain dengan emosi. Malah untuk memastikan lakonan saya kali ini lebih bagus dari filem pertama, saya sanggup buat persiapan lama untuk "Polis Evo 2" kali ini.

Berapa lama anda ambil untuk persiapkan diri? Adakah sama seperti Shaheizy Sam?

Sebenarnya kami mula membuat persiapan selepas dapat skrip, yang mana saya juga ambil inisiatif sendiri untuk mempersiapkan diri sebelum masuk ke set penggambaran, tetapi latihan saya tidak seperti Sam. Selama 15 bulan berikutan saya mengalami kecederaan ketika membuat persiapan dan perlu berehat.

Saya tidak berasa ralat tidak dapat teruskan latihan saya, kerana watak saya tak perlukan saya bertubuh sasa seperti gandingan saya Sam. Cuma saya perlu fokus pada kualiti lakonan saya sahaja.

Apakah cabaran yang anda hadapi ketika penggambaran?

Walaupun ini filem aksi yang memerlukan stamina yang tinggi, tetapi bagi saya itu bukanlah cabaran yang besar buat saya, sebaliknya cabaran yang saya hadapi adalah untuk memastikan lakonan saya mantap. Tidak dapat dinafikan saya berasa agak berdebar apabila digandingkan dengan pelakon seperti Hasnul Rahmat dan Syafie Naswip yang mempunyai reputasi tersendiri dalam kalangan pelakon tanah air.

Mereka mempunyai cara tersendiri dan setiap kali beraksi di hadapan kamera ketika penggambaran. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberikan hasil kerja yang standing dengan mereka.

Adakah anda mengalami sebarang kecederaan sepanjang penggambaran?

Ya, ada! Ketika sedang buat babak aksi di mana saya menarik Sam, saya tiba-tiba pitam. Apabila saya buka mata saya sedang memakai topeng oksigen. Perkara ini berlaku kerana saya 'over work' dan ini membuatkan saya pitam.

Saya hubungi seorang doktor untuk bertanya mengenai keadaan saya, dan doktor tersebut menyarankan supaya saya memakan gula-gula untuk menstabilkan gula dalam badan saya dan selepas itu saya kembali meneruskan penggambaran.

Apakah sasaran anda mengenai filem terbaru ini? Mampukah ia mengatasi kutipan filem pertama?

Sebagai seorang pelakon saya tidak mempunyai sebarang sasaran terhadap kutipan filem ini kerana itu pihak penerbit yang ada sasaran, tapi saya sendiri tidak peduli dengan jumlah kutipan, sebaliknya saya peduli mengenai naskhah itu sendiri samada ia bagus atau tidak.

Saya lebih rela kutipan tidak tinggi, tetapi orang cakap filem ini lebih hebat dari filem pertama berbanding orang cakap filem pertama lebih baik dari sekuel.

Anda sudah melebarkan sayap ke Indonesia, adakah anda akan terus aktif membintangi filem di sana?

Selepas saya membintangi filem "Peluang Keduda", saya banyak terima tawaran dari penerbit di sana tetapi saya menolak dengan cara baik kerana mahu fokus terhadap produksi tempatan. Saya tidak ralat berbuat demikian kerana keutamaan saya adalah di sini dahulu dan sekiranya ada tawaran berlakon di sana yang datang pada tepat waktunya pasti saya akan buat.

Cinema Online, 28 Okt 2018

Filem Berkaitan:
Polis Evo 2 (Malay) (22 Nov 2018)
Polis Evo (Malay) (17 Sep 2015)
Abang Long Fadil 2 (Malay) (24 Aug 2017)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan