Temubual
Alif Satar ingin jadi selebriti serba boleh


Tarikh disiarkan: 21 Julai 2019


Alif Satar rehat berlakon seketika untuk beri ruang kepada program lain.

Penyanyi yang dilihat semakin aktif dalam bidang lakonan, Alif Satar, kini ingin dikenali sebagai selebriti yang serba boleh dalam melakukan pelbagai aktiviti dan kerja.

Selain berlakon, pemuda berusia 28 tahun ini juga cekap dalam bidang pengacaraan. Buat masa ini, Alif memberitahu bahawa dia akan berehat seketika dari lakonan sehingga tahun depan.

Keputusan itu dibuat berikutan jadualnya padat dengan beberapa buah program yang melibatkan kerjaya seni dalam nyanyian dan pengacaraan.

Di samping itu, Alif juga sedang teruja menanti sambil membuat persiapan bagi kelahiran cahaya mata lelaki yang dijangka pada Oktober nanti.

Baru-baru ini Cinema Online telah dijemput ke majlis pratonton serta sidang media telefilem "Geng" di GSC Pavilion, Kuala Lumpur dan penulis sempat menemu bual Alif yang juga merupakan salah seorang peneraju telefilem tersebut.

Jom ikuti temubual bersama Alif Satar.


Barisan pelakon utama telefilem "Geng" di sidang media yang diadakan di GSC Pavilion, Kuala Lumpur.

Cinema Online: Boleh anda kongsikan pengalaman berlakon dalam telefilem ini?

Alif: Sejujurnya apabila Sherry menjemput saya untuk bekerjasama dalam telefilem ini, saya rasa sangat berbesar hati. Tambahan lagi, saya dapat berlakon dengan Lisa Surihani buat pertama kali. Pengalaman semasa berada di set penggambaran sangat menyoronokkan dan sebenarnya saya rasa tidak puas kerana penggambaran semua babak yang saya lakonkan dengan Lisa hanya dilakukan dalam satu hari sahaja.

Jika dilihat dalam telefilem ini, kita boleh nampak keserasian yang ditonjolkan oleh semua pelakon serta elemen-elemen 90-an yang dapat disaksikan. Jadi ia suatu pengalaman yang berharga buat saya untuk dapat bekerja dalam naskhah hebat ini.

Jika berpeluang, adakah anda ingin untuk bekerjasama dengan Lisa sekali lagi?

Sebenarnya sudah lama saya mengimpikan untuk berlakon dengan Lisa dan Alhamdulillah, saya dapat bekerjasama dengan dia dalam telefilem ini. Tetapi memang betul, saya rasa tidak puas kerana hanya satu hari sahaja saya dapat duduk dengan dia. Kalau tidak silap, saya hanya ada lima babak sahaja dengan dia.

Jadi sudah tentu saya ingin bekerjasama dengan dia sekali lagi dan saya rasa teruja jika mendapat peluang seperti ini. Jika ada karya-karya yang lain, tidak kisah sama ada drama atau telefilem, saya tidak akan menolak tawaran untuk berlakon dengan Lisa.


Beralih ke pembawaan watak, apa perbezaan watak dalam telefilem ini dengan karakter sebenar anda?

Jika dilihat watak saya dalam telefilem ini memang sangat berbeza. Dalam telefilem ini saya membawa watak Jefri, seorang suami yang tidak tahu membuat kerja rumah dan menolong isteri. Realitinya, saya boleh dikatakan seorang 'family man' dan saya pasti Lisa juga sama. Boleh dikatakan sepanjang kami jalani penggambaran babak kami, kami banyak ketawa.

Adakah anda akan terima jika ditawarkan watak yang berlainan dari watak-watak yang anda pernah lakonkan? Pernahkah anda menganggap ia sesuatu yang sukar?

Sebagai pelakon, saya tidak boleh bersikap terlalu memilih dalam soal watak. Kalau dilihat dalam drama "Pia" baru-baru ini pun, saya membawa watak yang berbeza. Saya pun ingin 'lari' dari membawa watak romantik sebabnya penonton dah biasa melihat karakter-karakter sebegitu. Bagi saya, ia pengalaman yang menyeronokkan untuk mencuba benda baru dan berbeza seperti dalam telefilem ini.

Sebagai pelakon, memang ada batasnya tetapi saya tidak pernah rasa ia sesuatu yang susah dan saya sentiasa bersikap terbuka untuk mencuba pelbagai jenis watak. Saya ingin memberitahu orang yang saya juga boleh menjayakan watak lain. Memang ada cabarannya, tetapi pengarah sentiasa membantu kami sebagai pelakon supaya watak yang dibawa kena dengan jiwa masing-masing.

Jadi apakah projek terbaru anda selepas ini?

Alhamdulillah, jadual saya agak padat sepanjang tahun ini di mana pada 26 Oktober nanti saya akan menyertai Kejohanan Ironman Langkawi. Sebelum itu, saya dan isteri menjangkakan kelahiran anak kami pada 10 Oktober.

Selain itu, pada bulan September, saya akan menjelajah ke beberapa lokasi seluruh negara iaitu Hard Rock Cafe Melaka, Hard Rock Cafe Johor Bahru, Hard Rock Cafe Pulau Pinang dan Hard Rock Cafe Sabah bersama kumpulan Raihan di bawah kerjasama Petron bagi mempromosikan lagu "Sesungguhnya". InsyaAllah, kami akan akhiri jelajah ini di luar negara iaitu di Australia dan New Zealand.

Saya juga bakal melancarkan single terbaru berjudul "I Want You To Love Me" pada 31 Julai ini serentak dengan muzik videonya sekali di YouTube. Ia merupakan ciptaan saya bersama Faizal Tahir dan Romeo.

Bagaimana pula dari segi lakonan?

Selepas drama "Pia", saya terima banyak tawaran baru tetapi buat masa sekarang jadual saya sudah padat dengan pelbagai komitmen. Jadi saya akan berehat dahulu dari lakonan dan mungkin akan fokus terhadapnya pada tahun hadapan.

*Telefilem "Geng" turut dibintangi pelakon lain seperti Sherry Alhadad, Nadiya Nisaa, Lisa Surihani, Hisyam Hamid dan Fatimah Abu Bakar. Ia akan ditayangkan di Astro First Eksklusif saluran 480 bermula 18 Julai.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Aliff Dalam 7 Dimensi (Melayu) (8 September 2016)
Usin UFO (Melayu) (10 Mac 2016)
Aku Masih Dara (Melayu) (16 Disember 2010)