Temubual
Chacha Maembong tak serik berlakon filem seram


Tarikh disiarkan: 22 Oktober 2019

Chacha Maembong cuba buktikan dirinya mampu pergi lebih jauh.
Chacha Maembong cuba buktikan dirinya mampu pergi lebih jauh.

Biarpun kelibatnya jarang dilihat di layar perak dan kaca televisyen, namun perkara itu sama sekali tidak memberi masalah kepada pelakon Chacha Maembong kerana dia lebih selesa untuk bersikap 'low profile' berbanding kakaknya Emma.

Menurut Chacha, atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail Embong, dia memilih jalan tersebut untuk terus kekal relevan serta mengelakkan dirinya dihimpit gosip dan kontroversi yang boleh memalukan dirinya.


Tampil membuat debut dalam filem seram pertamanya berjudul "Anak Perjanjian Syaitan", Chacha menganggap ia sebagai satu cabaran baru dalam perkembangan kariernya sebagai pelakon. Menerusi filem arahan Helmi Yusoh itu, Chacha digandingkan bersama pelakon sedang meningkat naik, Nadzmi Adhwa.

Baru-baru ini, Cinema Online berpeluang untuk menemu bual Chacha yang hadir ke malam gala tayangan perdana filem "Anak Perjanjian Syaitan" di mmCineplexes eCurve, Damansara.

Jom ikuti temubual bersama Chacha Maembong.


Chacha Maembong mudah membina keserasian bersama pelakon gandingannya Nadzmi Adhwa.

Cinema Online: Mengapa anda bersetuju untuk membintangi filem ini?

Chacha: Apabila ditawarkan berlakon dalam filem ini, saya tidak berfikir panjang untuk memberi persetujuan kerana saya mendapati jalan cerita filem agak menarik dan watak yang saya bawakan juga memberi kelainan buat diri saya. Namun, saya menyahut cabaran ini dan cuba buat yang terbaik.

Anda ada buat sebarang rujukan sebagai persiapan watak?

Saya ada buat rujukan tetapi tidak terlalu banyak kerana selepas membaca skrip, saya cuba cipta sendiri watak Azlinda. Selain itu, saya banyak berbincang dengan pengarah dan kami banyak berkongsi idea antara satu sama lain. Saya juga meletakkan diri saya sebagai Azlinda supaya mudah untuk saya hayati wataknya sehinggakan di set juga orang panggil saya Azlinda.

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang menjalani penggambaran?

Pada saya, mendalami watak Azlinda ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ada babak-babak yang agak berat. Jika dilihat dalam filem saya banyak jatuh, berlari dan sebagainya sehingga badan saya lebam-lebam. Babak yang paling sukar adalah pada penghujung filem kerana saya perlu bermain dengan emosi sambil menghayati watak dalam keadaan letih. Namun, saya beruntung kerana mendapat bantuan daripada rakan-rakan pelakon dan pihak produksi.

Memandangkan ini sebuah filem seram, adakah anda ada berdepan sebarang gangguan mistik?

Pengalaman kena ganggu itu memang saya tak boleh lari. Ada satu petang ketika ingin menjalani penggambaran, tiba-tiba hujan lebat dan 'blackout'. Kemudian saya merakamkan video kawasan sekitar set untuk dimuat naik di Instagram story. Tak lama selepas itu, saya dapat banyak sangat mesej yang mana mereka 'screenshot' video saya dan bertanya adakah makhluk dalam video itu adalah salah seorang pelakon kami. Apabila saya lihat balik, makhluk itu bukanlah pelakon kami.

Selepas pulang ke rumah, saya merasakan seperti ada orang ikut dari belakang dan ketika hendak tidur, saya nampak kelibat berkeliaran serta rasa diperhatikan. Oleh sebab saya tak tahan diganggu, saya terus menghubungi ustaz dan dia memberitahu makhluk di set penggambaran itu ikut saya balik. Ustaz itu menyuruh saya untuk kuatkan semangat dan selalu berdoa agar dilindungi Tuhan.

Selepas berdepan cabaran dan gangguan sebegitu, adakah anda rasa serik untuk berlakon filem seram pada masa akan datang?

Saya tak rasa serik kerana ia sesuatu pengalaman baru buat saya dan kalau ada lagi filem sebegini dengan watak yang lebih berat, saya mahu cuba. Saya ingin uji diri sendiri kerana saya tidak tahu sejauh mana had kemampuan diri.

Apakah pendapat anda tentang lakonan anda dalam filem ini?

Sebelum ini saya pernah dikritik yang mana orang cakap lakonan saya tak memberi impak tetapi saya tidak boleh nak tutup mulut orang. Saya tidak pernah ambil hati atas kritikan-kritikan tersebut sebab kalau saya berlakon hanya untuk puaskan hati orang, saya rasa mesej itu tidak akan sampai. Jadi saya harap filem ini dapat memberi impak besar kepada orang lain, lebih-lebih lagi kepada yang sering mengkritik, supaya saya boleh buktikan yang saya bukan hanya boleh berlakon drama tetapi lebih daripada itu. Alhamdulillah, saya cukup berpuas hati dengan pencapaian saya.

Jadi apa projek baru anda selepas ini?

Selain filem "Anak Perjanjian Syaitan", saya akan tampil dalam sebuah drama bersiri yang akan disiarkan di Slot Lestary TV3 bermula 25 Oktober. Drama itu merupakan naskhah terakhir arahan Allahyarham Raja Ahmad berjudul "Pesan Pada Hati" yang juga dibintangi Shukri Yahaya dan Nabila Razali. Ada juga beberapa filem lain yang dalam proses pos produksi namun buat masa ini masih belum ada pengumuman rasmi daripada pihak produksi.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan: