Bront Palarae: "Dawn Raid" akan tetap diteruskan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Temubual

Bront Palarae: "Dawn Raid" akan tetap diteruskan

Penulis: Ashraf Nasser


Bront Palarae bakal muncul dengan dua buah filem Indonesia terbaru tidak lama lagi.

Sudah dua tahun sejak pertama kali filem "Dawn Raid: The Hands That Rattled The Queen" didedahkan, namun sehingga kini yang sudah memasuki tahun 2019 - masih belum ada sebarang perkembangan terkini samada ia akan diteruskan atau dibatalkan.

Filem terbitan Pixel Play dan diarahkan oleh Bront Palarae ini mendapat perhatian ramai dan mencetuskan keterujaan peminat apabila meriliskan teaser treler, yang mana rata-rata memberi maklum balas yang cukup positif dan tidak sabar untuk menonton filem itu nanti.

Namun, kekangan masa dan dana membuatkan filem ini terus sepi dan ada yang menganggap filem itu tidak akan diteruskan.

Filem ini mengambil inspirasi dari sebuah kisah sebenar iaitu mengenai sekumpulan anak Melayu yang diketuai oleh Perdana Menteri Ke-4 iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) untuk melancarkan 'serangan' ke atas saham perladangan Guthrie di London pada 7 September 1981 untuk mengambil alih pemilikan itu secara mengejut.

Baru-baru ini ketika menghadiri majlis tayangan perdana filem "Fly By Night" di MBO Starling Mall di Petaling Jaya, Cinema Online sempat menemubual Bront bagi mendapatkan perkembangan terbaru mengenai filem itu.

Jadi, jom ikuti temubual bersama Bront Palarae.


Pengarah Zahir Omar bersama barisan pelakon utama "Fly By Night".

Cinema Online: Apa sudah jadi dengan filem "Dawn Raid"? Adakah filem itu akan dihasilkan atau dibatalkan?

Bront: Filem ini akan diteruskan! Kami masih lagi dalam proses pre-produksi dan draft skrip terbaru akan siap pada 15 April ini. Kami tidak lagi mengejar untuk siapkan filem ini sebelum sambutan Kemerdekaan sebaliknya kami kini masih lagi membuat kajian untuk filem ini selain tidak mahu terburu-buru kerana mahu memastikan naskhah yang dihasilkan nanti berkualiti.

Selain itu, saya yang sibuk dengan projek-projek lain menjadi antara punca mengapa filem ini masih belum dihasilkan.

Adakah faktor kewangan juga menjadi punca kepada filem ini lambat untuk memulakan penggambaran?

Ya dan tidak! Apa yang saya maksudkan ya dan tidak ini sememangnya kami kekurangan dana tetapi ada pihak yang menawarkan diri untuk melabur dalam filem ini. Walaubagaimanapun apabila difikirkan balik, kami tidak mahu terburu-buru kerana skrip masih lagi belum siap sepenuhnya ketika itu dan kami juga tidak tahu kos sebenar untuk filem ini lagi. Jadi jika semuanya sudah siap dan tahu berapa kos untuk pembikinan filem ini baru kami akan teruskan dengan penggambaran.

Bercerita mengenai filem terbaru anda berjudul "Fly By Night". Apa yang membuatkan anda bersetuju untuk membintangi filem ini?

Saya sememangnya sudah mengenali Zahir Omar sejak dia menang pertandingan filem pendek anjuran BMW, namun belum pernah bekerjasama dengannya. Apa yang membuatkan saya terima tawaran berlakon ini adalah kerana Zahir sanggup terbang ke Jakarta untuk menemui dan menawarkan watak dalam filem ini dan apabila saya baca skrip yang diberikan saya tidak fikir panjang dan terus terima tawaran berlakon dalam filem ini.

Apa yang saya boleh kata adalah ia sebuah naskhah yang bagus dan sudah pasti saya berasa berbangga jika dapat berlakon dalam naskhah seperti ini.

Adakah sukar untuk anda berlakon dalam filem ini?

Tidak! Kami tidak berdepan sebarang masalah sepanjang penggambaran berlangsung dan semuanya berjalan dengan lancar. Penggambaran filem hanya mengambil masa 23 hari sahaja. Apa yang saya boleh katakan adalah setiap pelakon termasuk tenaga produksi memberikan komitmen yang cukup tinggi untuk filem ini dan ia membuahkan hasil apabila ia berjaya ditayangkan di banyak festival filem luar negara termasuk mendapat maklum balas positif daripada penonton luar.

Apa perkembangan terbaru anda?

Selepas ini saya mempunyai dua buah filem terbaru yang mana kedua-dua adalah filem Indonesia iaitu sebuah filem adiwira berjudul "Gundala" dan "Pengabdi Setan 2" yang mana kedua-dua filem itu diarahkan oleh Joko Anwar.

Cinema Online, 21 Apr 2019

Filem Berkaitan:
Fly By Night (Malay / Mandarin) (11 Apr 2019)
One Two Jaga (Malay) (06 Sep 2018)
Pengabdi Setan (Indonesian) (23 Nov 2017)


Waktu Tayangan