Temubual
Fasha Sandha dedah sisi gelap menerusi watak antagonis


Tarikh disiarkan: 11 Ogos 2019


Fasha Sandha menonton semula lakonannya bagi mencari kelemahan diri.

Tidak dapat dinafikan bahawa Fasha Sandha adalah salah seorang pelakon berbakat besar dalam industri hiburan tempatan selama lebih sedekad dia berkecimpung dalam bidang tersebut.

Bukan sahaja berbakat melakonkan watak protagonis, malah ternyata lakonan Fasha Sandha sebagai watak antagonis juga tidak kurang hebatnya seperti yang dilihat dalam siri drama terbarunya "Semua Salahku".


Mana tidaknya, gara-gara penghayatannya terhadap watak Sofhi, Fasha telah menerima pelbagai kecaman hebat daripada pengguna laman sosial yang ternyata benar-benar membenci watak berkenaan.

Baru-baru ini Cinema Online telah dijemput ke majlis pratonton serta sidang media telefilem "Suatukala: Timun Mas & Ijo" di TGV Cinemas, 1 Utama dan penulis sempat menemu bual Fasha yang juga merupakan peneraju utama telefilem tersebut.

Sekali lagi, Fasha telah diberikan tanggungjawab untuk menggalas watak anti-hero dalam telefilem itu, iaitu sebagai seorang ahli sihir bernama Mak Andeh.

Jom ikuti temubual bersama Fasha Sandha.


Barisan pelakon utama telefilem "Suatukala: Timun Mas & Ijo" yang hadir di
sidang media selepas tayangan eksklusif telefilem itu.

Cinema Online: Ini merupakan kali pertama anda digandingkan bersama pelakon Indonesia. Boleh anda kongsikan pengalaman berlakon dalam telefilem ini?

Fasha: Pengalaman berlakon dengan pelakon luar bagi saya sama saja. Cuma kali ini saya dapat banyak babak dengan mereka. Kalau dalam filem sebelum ini hanya satu babak saja. Bagi saya, mereka sangat profesional, menepati masa, senang dibawa berbincang dan bekerjasama. Pendek kata, tak ada masalah kerana keserasian antara pelakon terserlah ketika bekerja.

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang berlakon dalam telefilem ini?


Sepertimana yang pengarah (Shamyl Othman) katakan, cabaran yang kami hadapi ketika menjalankan penggambaran adalah cuaca yang tidak menentu serta lokasi di dalam hutan. Selain itu, memandangkan kami membuat penggambaran semasa bulan puasa, jadi agak sukar jugalah kerana walaupun kurang lapar, namun kami terpaksa menahan dahaga kerana cuaca ketika itu juga agak panas.

Beralih ke pembawaan watak, adakah anda rasa sukar untuk jayakan watak Mak Andeh?

Sebenarnya agak sukar untuk saya membawa watak ini kerana ia bertentangan dengan diri saya. Apatah lagi ada babak di mana tak suka dengan bayi yang memerlukan saya berasa kekok untuk melakonkan babak tersebut walaupun saya sudah biasa pegang bayi. Bagaimanapun, saya bersyukur pengarah banyak membantu sepanjang sesi penggambaran.

Watak ini telah membawa saya keluar dari zon selesa kerana walaupun saya hanya mempunyai tujuh babak, namun ia adalah sesuatu yang mencabar dan jika ada tawaran untuk watak seperti ini InsyaAllah saya akan terima.

Untuk melakonkan watak ini, adakah anda ada mengambil mana-mana filem sebagai rujukan?

Pihak produksi meminta saya untuk membuat rujukan menerusi filem "Maleficent". Namun selebihnya saya perlu melakukannya sendiri untuk menghidupkan watak. Saya mengambil tempoh selama tiga minggu untuk betul-betul menjiwai watak ini. Sejujurnya saya suka dengan watak ini dan 'props' dalam filem kerana ia mempunyai elemen-elemen klasik.

Anda ada melibatkan diri dengan apa-apa latihan berlakon?

Saya masih mengikuti kelas lakonan bersama Fauziah Nawi kerana kita sebagai pelakon perlu sentiasa menambah ilmu dan menggilap kemahiran berlakon. Saya tak mahu sekadar buat kerja tetapi penonton tidak dapat rasakan lakonan itu. Tak rugi pun kalau nak tambah ilmu dalam diri kita.

Saya sebenarnya suka menonton semula setiap lakonan dan mencari kelemahan diri. Dari situ juga saya dapat perbaiki kekurangan yang ada untuk projek yang akan datang. Ini memang cara saya dari dulu lagi. Walaupun penonton ada memuji, namun bagi saya tiada istilah puas hati dalam diri dan kerja. Mungkin penonton nampak lakonan saya tiada masalah tetapi sebagai pelakon kita tahu pasti ada kekurangan.

Apakah perkembangan terbaru anda?

Sebenarnya saya ingin mengambil masa untuk memperlahankan sedikit kerjaya seni selepas mengalami keguguran tetapi Alhamdulillah, rezeki yang datang selepas itu tidak putus-putus. Jadi saya membuat keputusan untuk menerima sahaja tawaran-tawaran tersebut cuma doktor ada berpesan supaya tidak terlalu aktif.

Tidak lama lagi saya akan terlibat dengan penggambaran sebuah drama 80 episod terbitan Global Station Sdn Bhd, di mana saya akan digandingkan denan Azar Azmi. Tempoh penggambarannya juga agak lama iaitu sehingga bulan Disember.

*Telefilem "Suatukala: Timun Mas & Ijok" turut dibintangi pelakon lain seperti Prisia Nasution, Vanka JKT48, Fikry Kiki dan Kishok Kumar. Ia akan ditayangkan di Astro First Eksklusif saluran 480 bermula 1 Ogos.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Blok 404 (Melayu) (28 Jun 2018)
Dukun Doktor Dani (Melayu) (28 Julai 2016)