Temubual
Hairul Azreen: "Wira" filem aksi terbaik saya!


Tarikh disiarkan: 19 Mei 2019


Hairul Azreen turut letak harapan tinggi untuk filem terbarunya ini.

Ketika diberi peluang untuk membintangi filem aksi "Paskal The Movie", ramai yang skeptikal terhadap kemampuan pelakon Hairul Azreen menerajui filem arahan Adrian The.

Bagaimanapun Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris ini berjaya membuktikan kemampuannya apabila filem itu berjaya mendapat kutipan pecah panggung iaitu lebih RM30 juta.

Bukan sahaja mendapat kutipan pecah panggung, malah filem itu juga dihujani pujian oleh para penonton termasuk pengkritik filem yang memuji kehebatan filem bertemakan ketenteraan ini.

Nampaknya momentum kejayaan filem terdahulu mahu diteruskan oleh pengarah Adrian Teh apabila sekali lagi mempertaruhkan Hairul untuk membintangi filem aksi terbarunya yang diberi judul "Wira".

Filem ini berkisarkan mengenai Hassan seorang tentera yang telah membawa diri meninggalkan keluarganya sejak kecil. Namun selepas menyempurnakan khidmat untuk negara, Hassan kembali demi keluarga dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh keluarganya selepas diancam oleh Raja.

Baru-baru ini Cinema Online telah dijemput untuk ke lokasi penggambaran filem "Wira" yang berlangsung di Kuala Lumpur yang mana penulis sempat menemubual pelakon utama iaitu Hairul bagi berkongsi pengalamannya menjayakan filem ini.

Jom ikuti temubual bersama Hairul Azreen.


Pengarah Adrian Teh bersama barisan pelakon "Wira" di lokasi penggambaran.

Cinema Online: Mengapa anda bersetuju untuk kembali berlakon dalam filem ini? Adakah kerana Adrian Teh?

Hairul: Selepas sahaja selesai filem "Paskal The Movie", pengarah iaitu Adrian Teh ada bertemu dengan saya dan memberitahu yang dia nak buat sebuah lagi filem aksi dan mahukan saya berlakon dalam filem itu. Jadi apabila saya membaca skrip filem itu saya kagum dan tertarik sekaligus tidak fikir panjang untuk bersetuju berlakon dalam filem ini. Apa yang saya boleh cakap filem "Wira" tidak sama seperti "Paskal The Movie".

Apakah perbezaan antara "Wira" dan "Paskal The Movie"?


Mungkin orang akan fikir "Wira" ini sama seperti filem "Paskal The Movie", tetapi ia sebaliknya. Jika "Paskal The Movie" berkisarkan mengenai pasukan elit tentara yang berkhidmat untuk negara, filem "Wira" pula berkisarkan mengenai seorang bekas tentera yang bersara awal untuk membantu keluarganya yang berada dalam kesusahan. Malah filem "Wira" menampilkan jalan cerita yang ringkas tetapi menarik untuk ditonton.

Bagaimanapun pula perbezaan dari segi watak pula?

Untuk watak juga mempunyai banyak perbezaan. Walaupun kedua-dua watak ini adalah tentera tetapi watak dalam "Paskal The Movie" memerlukan saya berlakon mengikut protokol atau cara sebenarnya seorang anggota tentera. Tetapi dalam "Wira", saya bawa watak bekas tentera jadi cara pembawakan watak itu sudah berbeza yang mana saya bebas untuk bermain dengan ekspresi dan emosi. Malah cara percakapan juga berbeza yang mana dalam filem "Wira" dialog yang dilontarkan lebih santai seperti dalam dunia realiti.

Selain itu, untuk jayakan watak sebagai Hassan ini saya juga perlu melakukan perubahan dari segi fizikal yang mana pengarah mahukan tubuh saya kelihata 'lean' iaitu tidak terlalu berotot seperti dalam filem "Paskal The Movie". Saya ambil masa lebih dua bulan dengan latihan berterusan bagi mendapatkan bentuk tubuh mengikut kehendak pengarah.


Anda sekali lagi mengalami kecederaan. Bagaimana ia boleh terjadi dan adakah penggambaran ditangguhkan?

Ya, betul. Saya mengalami kecederaan ketika sedang menjayakan babak aksi di mana saya bertarung dari tingkat tiga turun ke tingkat 2 dan dari situ saya perlu terjun ke tingkat bawah dan semuanya akan dirakam sekali sahaja. Ketika sedang membuat lompatan dari tingkat dua itu, saya tersalah mendarat dan ini menyebabkan ligamen kaki saya putus.

Pihak produksi kemudian bergegas hantar saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan setelah mendapat rawatan doktor meminta saya berehat untuk lapan minggu untuk pulih sepenuhnya dan pengarah juga sanggup menangguhkan sementara penggambaran untuk beri saya berehat, tetapi saya tidak mahu susahkan semua pihak atas kecederaan saya.

Jadi saya ambil keputusan untuk meneruskan juga. Untuk jayakan babak itu, saya makan ubat penahan sakit, balut kaki dan teruskan penggambaran. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.

Adakah anda berpuas hati dengan dengan babak aksi dalam filem ini?

Ya, apa yang saya boleh cakap adalah "Wira" adalah filem aksi terbaik saya setakat ini. Saya berasa sangat puas dapat berlakon dalam filem ini. Babak aksi yang ditampilkan juga cukup menakjubkan, malah saya juga mendapat peluang untuk menggunakan kemahiran yang saya ada dalam seni mempertahan diri dalam filem ini. Dengan bantuan daripada koreografer aksi tersohor Indonesia iaitu Yayan Ruhian, ia menjadikan babak aksi dalam naskhah ini antara yang terbaik dalam negara.

Bagaimana pula keserasian dengan pelakon lain?

Saya tiada masalah dengan barisan pelakon lain kerana boleh dikatakan kami agak baik ketika berada di set penggambaran, jadi mudah untuk kami dapat keserasian itu. Dengan setiap pelakon memberikan komitmen yang cukup tinggi untuk filem ini, ia membuatkan saya berasa lebih teruja dan turut memberikan lakonan bertenaga.

Apakah harapan anda untuk filem "Wira"?

Selepas kejayaan yang tidak disangka oleh "Paskal The Movie", saya berharap filem ini akan meneruskan kecemerlangannya seperti filem terdahulu. Saya juga pasti penonton meletak harapan yang cukup tinggi untuk filem kali ini. Jadi saya berharap filem ini dapat menepati kehendak penonton.

*Filem "Wira" turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Fify Azmi, Ismi Melinda, Josiah Hogan, Dato Hilal Azman, Dain Said, Yayan Ruhian dan Henley Hii. Ia dijangka akan ditayangkan pada hujung tahun ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Wira (Melayu) (Undated)
Paskal The Movie (Melayu) (27 September 2018)