Temubual
Kaka Azraff tiada masalah jayakan watak berat dalam "Zharfa"


Tarikh disiarkan: 9 November 2019

Kaka Azraff anggap "Zharfa" sebagai pintu peluang memperkembangkan bakatnya di Indonesia.
Kaka Azraff anggap "Zharfa" sebagai pintu peluang memperkembangkan bakatnya di Indonesia.

Sebelum ini penyanyi Kaka Azraff hanya tampil sebagai pelakon pembantu menerusi filem "Aliff Dalam 7 Dimensi" dan "Interchange", kini buat pertama kalinya Kaka dipilih untuk membintangi sebuah filem terbaru, iaitu hasil terbitan kerjasama produksi Indonesia dan Malaysia, "Zharfa".

Filem ini merupakan debut buat Kaka menjayakan sebuah watak berat dan tidak pernah dilakonkannya sebelum ini. Selain itu, hasratnya untuk melebarkan sayap ke negara jiran juga tercapai, dengan harapan dapat memperkembangkan kariernya di sana.


Walau bagaimanapun, Kaka meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat menyertai aktiviti promosi filem itu memandangkan dia masih berada dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak sulungnya Aslan pada 11 Oktober lalu.

Kaka atau nama sebenarnya, Noor Atiqa Noor Azraff, ditemui di majlis sidang media selepas tayangan filem "Zharfa" yang diadakan di LYC Mother & Child Centre TTDI dan TGV 1 Utama, Petaling Jaya.

Jom ikuti temubual bersama Kaka Azraff.


Kaka Azraff bersama dua lagi pelakon utama dari Indonesia, Anindi Zharfa dan Bentari Ayu.

Cinema Online: Mengapakah anda menerima tawaran berlakon filem ini?

Kaka: Sebab utama yang menyebabkan saya bersetuju untuk membintangi filem ini adalah kerana ia merupakan kerjasama antara produksi tempatan bersama produksi Indonesia. Bukan mudah untuk berlakon di bawah produksi Indonesia. Saya tidak pernah terfikir untuk berlakon di sana dan dapat berganding bersama Donny Alamsyah dan pelakon-pelakon lain. Jadi saya fikir ia adalah peluang besar bagi saya untuk memperkembangkan kerjaya saya di sana.

Boleh kongsikan persiapan untuk menjayakan watak anda?

Filem ini berkaitan dengan kekeluargaan jadi ia banyak bermain dengan emosi. Kebanyakan babak menceritakan hubungan antara seorang bapa dan anaknya. Sebenarnya saya banyak mendapat bantuan daripada pengarah dan penerbit kreatif kerana mereka banyak memberi input bagaimana untuk menghayati watak saya.

Saya dapat menjiwai watak itu kerana saya kehilangan bapa sejak berumur 10 tahun lagi. Filem ini tiada kaitan dengan kisah hidup saya cuma perasaan kehilangan dan membesar tanpa bapa itu membantu saya menghidupkan "Zharfa" dengan sebaik mungkin.

Sebelum saya dihubungi untuk filem ini, saya telah menjalani penggambaran video muzik "Kembali" yang memerlukan saya melakukan babak pergaduhan. Jadi bila mereka tawarkan filem ini dan mereka kata ada babak pergaduhan, saya sudah bersedia. Saya turut dibantu oleh beberapa orang pakar koreografi yang turun padang untuk melatih saya.

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang menjalani penggambaran?

Sebenarnya saya tak merasakan terlalu banyak cabaran kerana saya dilayan dengan baik sepanjang dua minggu menjalani penggambaran di negara jiran. Pihak produksi di sana juga banyak membantu saya mendalami watak dengan baik.

Namun jika diimbas, babak paling mencabar adalah di mana saya perlu menjiwai babak Zharfa menangis bila bertemu bapa kandungnya. Saya perlu mengulang beberapa kali babak itu sehingga pengarah berpuas hati dan menangis kerana emosi itu sampai. Selain itu, saya turut luka di kaki ketika melakukan babak aksi dan pergaduhan dalam filem ini.

Bagaimanakah anda mencipta keserasian bersama pelakon-pelakon lain?

Saya tidak berdepan masalah untuk mencipta keserasian bersama pelakon-pelakon lain kerana sewaktu penggambaran, kami diletakkan dalam satu bilik yang sama. Jadi kami akan meluangkan masa bersama-sama setiap hari sejak hari pertama. Mereka merupakan pelakon yang hebat, secara tidak langsung, saya banyak belajar benda baru dari mereka.

Sama seperti pelakon yang lain, saya mudah untuk bekerjasama dengan Donny Alamsyah. Kami banyak berbincang dan berbual. Untuk babak pergaduhan pula, kami akan berlatih terlebih dahulu, disaksikan oleh pengarah dan penerbit kreatif.

Pengalaman bekerjasama dengan produksi dari Indonesia?

Alhamdulillah, sejak hari pertama kehadiran saya telah disambut dengan baik daripada pihak produksi. Mereka merupakan satu kumpulan produksi yang sangat besar. Bermula dari pengarah hinggalah kru di sebalik tabir, semuanya memberi kerjasama serta melayan saya dengan baik supaya segala urusan kerja kami berjalan dengan lancar.

Apakah harapan anda terhadap filem ini?

Saya berharap lakonan saya dalam "Zharfa" dapat diterima dengan baik dan filem ini memberi impak kepada semua orang yang menonton. Semoga mesej-mesej dalam filem ini dapat diimplikasikan dengan baik kerana ia sangat berkait rapat dengan kehidupan seharian kita.

Kalau ikutkan hati, saya memang mahu sertai sesi promosi filem ini cuma saya hormati arahan doktor dan permintaan keluarga. Ini merupakan filem pertama lakonan saya. Saya sanggup berikan 100 peratus komitmen untuk memastikan filem ini mendapat perhatian penonton, apakan daya saya perlu menghabiskan tempoh berpantang yang berbaki 20 hari lagi.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Zharfa (Indonesia) (7 November 2019)
Interchange (MIFFEST) (Melayu) (28 Februari 2017)
Aliff Dalam 7 Dimensi (Melayu) (8 September 2016)