Temubual
Nabila Huda tiada masalah berlakon filem "Wangi"


Tarikh disiarkan: 7 September 2019


Nabila Huda selesa bekerjasama dengan para pelakon filem "Wangi".

Sering dipuji berbakat menjayakan pelbagai jenis watak sepanjang berkecimpung dalam karier seni, pelakon Nabila Huda mengakui dia tidak berdepan sebarang masalah dalam menjayakan watak Bella dalam filem terbarunya "Wangi".

Menurut Nabila atau lebih mesra disapa Abil, dia berpendapat bahawa sebagai seorang pelakon, dia harus selalu berfikir di luar kotak dan mencuba sesuatu yang baru demi memperkembangkan lagi bakat lakonannya.


Filem psiko thriller arahan Latif Zami, yang dikenali dengan nama Yeop Hitler, ini pada asalnya dibikin sebagai sebuah telefilem, namun dengan persetujuan penerbit dan seluruh pihak produksi, ia kemudiannya telah diangkat ke layar perak.

Cinema Online telah berpeluang untuk menemubual Abil yang berkongsi butiran mengenai watak dan pembabitannya dalam filem ini di malam gala tayangan perdana filem "Wangi" yang diadakan di mmCineplexes eCurve, Damansara baru-baru ini.

Jom ikuti temubual bersama Nabila Huda

Cinema Online: Apa yang menyebabkan anda bersetuju untuk berlakon dalam filem ini?

Nabila: Saya bersetuju untuk menerima tawaran berlakon filem ini kerana saya tertarik dengan skrip. Jalan ceritanya juga agak menarik kerana saya tidak pernah berlakon dalam filem bergenre psiko dan penuh dengan konflik seperti ini.

Boleh ceritakan sedikit mengenai watak anda dalam filem ini?


Saya memegang watak sebagai Bella, yang berkawan dengan Nor (Erra Fazira) dan Khuzairi (Sharnaaz Ahmad) serta mempunyai teman lelaki bernama Azlan (Syazwan Zulkifly). Bella mempunyai masalah dengan keluarganya dan meminta pertolongan daripada Khuzairi dan kemudian jatuh hati dan mempunyai hubungan sulit dengannya. Khuzairi ingin menamatkan hubungan dengan Bella tetapi Bella masih cintakan dia dan mengandungkan anaknya.

Filem ini bukanlah filem seram tetapi psiko thriller. Jalan ceritanya agak mengelirukan tetapi saya rasa pada penghujungnya, penonton akan faham apa yang ingin disampaikan.

Adakah anda berdepan cabaran untuk melakonkan watak anda?

Sejujurnya saya tidak berdepan sebarang cabaran sepanjang melakonkan watak Bella kerana ia boleh dikatakan mudah untuk saya lakonkan. Ia banyak bermain dengan emosi dan saya berpuas hati dengan lakonan saya kali ini. Mungkin juga sebab saya dah kenal lama dan serasi dengan rakan-rakan pelakon yang lain jadi tiada sebarang masalah sepanjang berlakon dengan mereka. Saya juga selesa bekerja dengan Yeop dan Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.

Pengalaman berlakon dengan Erra Fazira buat kali pertama?

Pengalaman berlakon dengan Erra adalah sesuatu yang menarik sebabnya saya sudah lama mengenali dan meminatinya sejak kecil lagi, tetapi tidak pernah berpeluang untuk berlakon bersama. Pada mulanya saya agak 'starstruck' ketika ingin melakonkan babak pertama dengannya tetapi lama kelamaan saya dapat atasi perasaan itu dan membiasakan diri. Saya sangat seronok dapat berlakon bersamanya.

Adakah anda ada membuat rujukan memandangkan anda mampu menjayakan pelbagai jenis watak?

Saya tidak membuat rujukan, saya hanya ikut kemahuan dan kemampuan sendiri. Jika ada idea yang bagus datang secara tiba-tiba, jadi saya akan menggunakannya. Sebagai seorang pelakon, saya harus sentiasa berfikir di luar kotak dan sesuatu yang baru. Kita perlu terokai apa yang kita boleh buat dan ubah pada diri kita dan saya rasa saya boleh ubah macam-macam.

Ada perkembangan baru selepas ini?

Saya baru sahaja mula menjalani penggambaran filem "Remp-It 2" bersama Datuk Farid Kamil selaku penerbit dan pengarah filem ini. Ia adalah sambungan kepada filem pertama tetapi filem kali ini lebih berbeza dan lebih positif. Saya juga terlibat dengan sesi jelajah "OlaBola The Musical" pada 6 hingga 8 September ini di Sarawak.

*Filem "Wangi" dibintangi pelakon lain seperti Sharnaaz Ahmad, Erra Fazira, Shazwan Zulkifly dan Nik Adam Mika.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Wangi (Melayu) (5 September 2019)
Makrifat Cinta (Melayu) (1 Februari 2018)
Rempit Sampai Langit (Melayu) (23 November 2017)