Temubual
Ning Baizura bakal buka sekolah seni dan vokal tahun hadapan


Tarikh disiarkan: 24 November 2019


Ning Baizura teringin untuk meluangkan masa bersama Datin Paduka Marina Mahathir.

Sekian lama kelibatnya tidak kelihatan di layar perak, akhirnya penyanyi dan pelakon Ning Baizura bakal membuat kemunculan semula menerusi filem biografi Perdana Menteri "Mahathir: The Journey" sebagai watak Datin Paduka Marina Mahathir.

Menurut Ning, selama ini dia bersikap selektif dalam memilih tawaran projek kerana ingin mencari naskhah yang berkualiti daripada sekadar berlakon dalam drama bersiri biasa.


Selain itu, Ning juga sudah mula mengajar dan bakal membuka sekolah seni dan vokal yang dijangka bermula operasi pada awal tahun depan, dengan harapan untuk membuka pintu peluang untuk bakat-bakat baru mewarnai industri seni tempatan.

Penyanyi yang terkenal dengan watak Sheila dalam filem "Lady Boss" ini ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media filem "Mahathir: The Journey" yang diadakan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Jom ikuti temubual bersama Ning Baizura.


Ning Baizura bersama Lisdawati yang turut membintangi
"Mahathir: The Journey" sebagai Nurul Izzah.

Cinema Online: Perasaan anda apabila dipilih untuk membawa watak Datin Paduka Marina?

Ning: Saya berasa sangat gembira dan berbangga. Ketika dipanggil menyertai uji bakat, mereka terus menyuruh saya baca dialog Marina bersama bapanya. Mula-mula saya cuba menggunakan watak dalam "Lady Boss" tetapi tak jadi. Kemudian saya ambil masa untuk baca skrip semula dan lakukannya semula. Selesai saja uji bakat, pihak produksi tepuk tangan dan bagitahu yang saya berjaya dapat watak itu. Memandangkan saya sudah lama tak berlakon filem, kalau tak silap sudah hampir 10 tahun, jadi saya anggap ini sebagai satu rezeki. Suami juga turut berasa gembira untuk saya.

Mengapa anda tidak tampil dalam sebarang projek setelah sekian lama?

Sebenarnya saya telah ditawarkan beberapa projek termasuk drama, tetapi tiada satu pun yang menepati cita rasa saya. Saya fikir kalau setakat nak kembali hanya kerana drama, itu bukan saya. Saya memang nantikan projek filem yang bagus. Mungkin Allah bagi rezeki apabila dah ada anak dan suami, jadi sekarang tinggal hanya buat kemunculan semula.

Boleh kongsikan persiapan untuk menjayakan watak anda?

Sejujurnya saya tidak berapa pasti bagaimana untuk menjayakan watak Marina tetapi saya akan cuba lakukan yang terbaik. Selagi saya tidak dapat bersemuka dengan dia, saya akan terus menghubunginya untuk meluangkan masa bersama. Alhamdulillah, saya bernasib baik kerana dia juga peminat saya dan sering menghadiri persembahan saya jadi saya sudah mengenalinya tetapi bukanlah seperti teman rapat.

Babak saya akan difilemkan pada Januari jadi saya masih mempunyai masa untuk membuat persediaan rapi. Pihak produksi turut menyuruh saya menjaga pemakanan serta menjaga berat badan supaya tidak kelihatan terlalu kurus. Penampilan beliau juga 'simple' dan tidak terlalu bergaya. Dari segi penampilan saya rasa tiada masalah tetapi dari segi dalaman, saya perlu betul-betul memahami dia.

Apakah harapan anda untuk pembawaan watak ini?

Sudah tentu saya berasa risau kerana ini bukan karakter biasa dan fiksyen seperti yang pernah saya bawakan. Saya perlu memastikan saya disukai oleh semua golongan yang dia ketengahkan. Jika saya dah yakin untuk bawakan watak ini, saya akan lakukannya sebaik mungkin. Yusof Kelana juga memberi kepercayaan kepada saya kerana dia ingin lihat saya berlakon semula dan yakin akan kemampuan saya.

Di luar sana nampak Marina sebagai tulang belakang bapanya, namun kita tak tahu cerita sebenar. Ada satu babak dia nampak susah hati dengan Mahathir. Pada luaran, riak wajah Marina juga menunjukkan dia seperti seorang yang serius dan tegas. Dia tak cakap laju macam saya dan sering bertutur dalam Bahasa Inggeris. Bagi menjiwai watak, saya kena makan, tidur dan berfikiran seperti Marina.

Apakah perkembangan terbaru anda?

Jika dilihat di akaun media sosial saya, saya telah mula mengajar dan bakal membuka sekolah seni dan vokal yang dijangka bermula operasi pada awal tahun depan. Kemungkinan besar, ia akan dijadikan sebagai 'one stop centre' untuk belajar mengenai vokal, lakonan dan perkara asas mengenai dunia seni. Paling lewat mungkin selepas Tahun Baru Cina, Insya-Allah. Buat masa ini saya sudah mempunyai 15 orang pelajar dalam lingkungan usia dari 8 hingga 40 tahun.

Bagaimanakah idea untuk menubuhkan sekolah seni ini boleh tercetus?

Semasa zaman saya dulu, saya tak ada peluang sebegini. Semuanya saya perlu belajar sendiri. Saya fikir kalau saya tak mengajar, segala kemahiran dan pengalaman selama 27 tahun akan 'mati' begitu saja, jadi lebih baik saya membuka sebuah pusat untuk memperkembangkan bakat-bakat baru. Apa lagi saya nak buat jika saya tak cuba untuk ubah industri kita dan mentaliti masyarakat? Saya akan pastikan generasi baru mengenali bukan sahaja muzik urban, tetapi juga muzik serta seni tradisional seperti gamelan dan zapin.

*Filem biopik "Mahathir: The Journey" bakal menemui penonton di seluruh negara pada Julai 2020.

Penulis: Nisa Irina

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE

Filem Berkaitan:
Cun (Melayu) (31 Mac 2011)
Magika (Melayu) (23 September 2010)
MUALLAF (Melayu) (24 Disember 2009)