Temubual
Pengarah "Suatu Ketika" sudah sedia segala kemungkinan


Tarikh disiarkan: 8 September 2019


Prakash berharap filem sulung arahannya "Suatu Ketika" mampu beri impak kepada penonton.

Walaupun mengambil masa yang lama untuk direalisasikan, filem "Suatu Ketika" akhirnya bakal menemui penonton pada 12 September ini bersempena dengan bulan Kemerdekaan ke-62 dan juga Hari Malaysia.

Jika ramai pembikin filem lain lebih memberi tumpuan kepada filem-filem bergenre komersial seperti aksi, seram, komedi dan romantik, namun bagi seorang pengarah filem berbakat besar iaitu, Prakash Murugiah, dia mempunyai falsafahnya tersendiri iaitu mahu menghasilkan sebuah naskhah yang mengangkat tema inspirasi dan perpaduan di kalangan masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa.

Ia berkisarkan tentang sekumpulan pelajar sekolah tempatan berlainan bangsa melalui detik-detik susah dan senang bersama ketika berlatih dalam sukan bola sepak untuk menentang pasukan yang lebih kuat daripada mereka.


Biarpun ada kalanya mereka berasa seperti mahu berputus asa, namun ada insan yang sentiasa ada untuk memberi dorongan dan semangat kepada mereka untuk terus berusaha untuk mencapai kejayaan.

Di majlis pelancaran runut bunyi "Suatu Ketika" yang berlangsung di Red Box, The Gardens di Kuala Lumpur baru-baru ini, Cinema Online berpeluang untuk menemubual pengarah bagi berkongsi pengalamannya dalam menghasilkan filem ini.

Jom ikuti temubual bersama Prakash Murugiah.


Pengarah Prakash Murugiah, Datuk Zainal Abidin, VIONA bersama
barisan pelakon utama "Suatu Ketika".

Cinema Online: Bagaimana anda boleh terfikir untuk hasilkan filem ini?

Prakash: Sebenarnya idea untuk menghasilkan filem ini tercetus kira-kira lapan tahun lalu, namun ia sekadar idea ketika itu kerana saya belum serius ketika itu. Bagaimanapun saya kemudian mula serius untuk menjadikan filem itu sebagai realisasi tetapi berdepan halangan pula apabila tiada penerbit yang mahu melabur dalam filem ini kerana berkata filem ini sukar untuk dijual.

Bagaimana pun setelah bersusah payah turun naik untuk membentangkan idea filem ini, akhirnya pihak Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) tampil membantu untuk menghasilkan treler sebelum mereka membentangkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasionan (FINAS) yang mana mereka kemudian mendapat sokongan dana daripadanya.

Adakah mudah untuk anda sebagai penulis untuk menghasilkan skrip filem ini ?

Tidak mudah. Ia merupakan satu proses yang memakan masa bertahun-tahun untuk menyiapkan skrip filem ini. Saya telah lakukan rombakan skrip lebih 20 kali sebelum memutakmadkan skrip tersebut.

Filem ini menggunakan latar belakang pada tahun 50an. Bagaimana anda hendak pastikan segala butiran mengenai era itu tidak terlepas pandang?

Saya tidak dapat nafikan untuk hasilkan filem menggunakan latar belakang tahun 50an bukanlah mudah buat kami, tetapi kami berasa bertuah apabila sepanjang proses pembikinan filem ini kami dibantu oleh sejarawan negara iaitu mendiang Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang memberi maklumat tepat dan gambaran sebenar pada era itu seperti pemakaian, persekitaran dan banyak lagi.

Adakah anda berdepan cabaran memandangkan anda mengetengahkan ramai pelakon kanak-kanak sebagai peneraju?

Tidak dapat dinafikan ia merupakan cabaran buat saya untuk mengendalikan pelakon kanak-kanak dalam jumlah yang ramai ketika penggambaran tetapi saya berasa sangat bertuah apabila setiap pelakon memberikan komitmen yang cukup tinggi. Menyentuh soal lakonan para pelakon kanak-kanak ini pula, saya sangat berbesar hati dan berterima kasih kepada dua pelakon tersohor tanah air iaitu Namron dan Pekin Ibrahim yang sanggup mengadakan kelas lakonan kepada mereka.

Ternyata dengan pengalaman luas yang ada pada kedua-dua pelakon itu dalam bidang lakonan berjaya mengasah kualiti lakonan pelakon kanak-kanak ini.

Anda bimbang filem "Suatu Ketika" tidak dapat sambutan? Memandangkan filem-filem seperti ini selalunya hambar walaupun filem itu bagus.

Sebenarnya saya sudah sedia dengan segala kemungkinan dan salah satunya sudah bersedia sekiranya filem ini tidak mendapat sambutan daripada penonton. Bagaimanapun apa yang penting buat saya adalah menghasilkan sebuah naskhah yang berkualiti. Jadi dapat kutipan pecah panggung atau tidak ia bukanlah keutamaan kami. Apa yang penting orang yang menonton filem ini suka dan terkesan dengan apa yang disampaikan. Jika filem ini dapat sambutan, kami sangat bersyukur dan mungkin akan terus menghasilkan filem-filem seperti ini.

Selepas "Suatu Ketika", apa projek terbaru anda?

Buat masa ini saya mahu fokus pada filem ini terlebih dahulu sehingga selesai semua, kemudian baru fikir projek terbaru. Sekiranya filem ini berjaya dapat kutipan pecah panggung, saya mungkin akan mempertimbangkan untuk menghasilkan "Suatu Ketika 2". Apa-apa pun ia hanyalah perancangan sahaja.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Suatu Ketika (Melayu) (12 September 2019)