Temubual
"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" telan belanja lebih RM20 juta


Tarikh disiarkan: 15 Januari 2019


Tn Haji Burhanuddin sanggup labur besar untuk "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal"
dengan harapan dapat lonjak industri animasi tempatan.

Filem animasi 3D pertama "Upin & Ipin" mencetuskan fenomena apabila ia ditayangkan pada tahun 2009 dengan berjaya mendapat kutipan pecah panggung, sekaligus menjadi filem animasi tempatan pertama mendapat kutipan tinggi ketika itu.

Kini selepas 10 tahun, syarikat animasi terkenal Les' Copaque Production Sdn Bhd kembali dengan filem animasi 3D kedua berjudul "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" yang akan menemui penonton di seluruh negara pada 21 Mac ini.


Filem terbaru ini bukan sahaja mengambil masa yang lama untuk dihasilkan, tetapi ia juga mendapat sentuhan daripada tiga orang pengarah muda berbakat besar iaitu Ahmad Razuri Rosel, Adam Amiruddin dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim.

Baru-baru ini, pelancaran poster dan treler rasmi "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" telah diadakan di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur.

Ketika majlis pelancaran, Cinema Online sempat menemubual 'orang kuat' Les' Copaque yang juga merupakan Pengarah Urusan iaitu Tn Haji Burhanuddin Md Radzi bagi berkongsi mengenai filem terbaru terbitan mereka ini.


"Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" menjanjikan animasi yang bakal memukau penonton.

Cinema Online: Difahamkan filem animasi 3D "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" mengambil tempoh yang lama untuk disiapkan. Kenapa?

Burhanuddin: Filem ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana kami di Les' Copaque mahu meningkatkan tahap tenikal produksi. Selain itu, sepanjang proses pembikinan filem animasi 3D ini juga, pasukan produksi kita juga banyak mempelajari kemahiran teknikal dengan menggunakan teknologi dari Hong Kong bagi menghasilkan animasi yang lebih hidup dari segi warna dan pergerakan animasi.

Jika sebelum ini kami mengambil 'jalan pintas' untuk hasilkan animasi "Upin & Ipin", namun untuk filem kedua ini kami mahu pastikan setiap butiran diperhalusi supaya animasi ini setanding dengan animasi luar negara, dan oleh sebab itu kos pembikinan filem animasi 3D terbaru ini cukup besar.

Berapa kos seluruhan untuk pembikinan filem animasi 3D ini?

Kos untuk pembikinan menelan belanja RM20 juta. Pihak kami mendapat geran berupa dana daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebanyak RM3 juta sahaja, dan selebihnya kami keluarkan wang kami sendiri. Mungkin ramai yang tertanya mengapa begitu tinggi? Ini kerana pada mula pembikinan filem animasi 3D terbaru ini kami hanya mempunyai 30 orang sahaja namun ia bertambah kepada lebih 130 orang, jadi dari situ kami memerlukan kos yang besar. Kos RM20 juta ini adalah kos pembikinan dan belum masuk lagi kos untuk tujuan promosi dan sebagainya. Apa yang membanggakan adalah filem ini dihasilkan menggunakan kepakaran tempatan seratus peratus.


Tn Haji Burhanuddin bersama mascot Upin & Ipin menyerahkan keris sebagai isyarat simbolik
pelancaran poster dan treler rasmi "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal".

Mampukah filem animasi 3D ini dapat kutipan tinggi memandangkan modal yang dikeluarkan cukup besar untuk sebuah filem tempatan?

Secara jujurnya saya tidak meletak harapan tinggi untuk filem ini untuk dapat kutipan yang mampu dapat pulangan modal semula, tetapi saya optimis kerana jika dilihat keadaan industri filem tempatan sejak akhir-akhir ini, ia tidak mustahil untuk dapat kutipan tinggi. Kami tidak mensasarkan untuk tayangan di Malaysia sahaja kerana "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" ini juga akan ditayangkan di beberapa negara luar seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

Selain itu, kami juga kini dalam perbincangan dengan beberapa negara yang turut berminat untuk menayangkan filem ini, namun butiran lanjut saya tidak boleh dedahkan lagi kerana ia masih lagi diperingkat awal.

Mengapa filem ini mempunyai tiga pengarah? Tidakkah sukar untuk tiga 'kepala' mengarah memandangkan masing-masing ada visi tersendiri.

Kami ambil keputusan untuk bagi peluang kepada tiga pengarah iaitu Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim kerana mereka sudah mempunyai pengalaman sebagai pengarah animasi. Ketiga-tiga mereka pernah mengarah siri animasi "Upin & Ipin", "Pada Zaman Dahulu" dan "Puteri". Setiap daripada mereka mempunyai kepakaran masing-masing dan betul masing-masing ada visi tersendiri, tetapi bukan mereka yang membuat keputusan akhir sebaliknya Hajah Ainon Ariff yang merupakan Ketua Pengarah Kandungan akan tentukan yang terbaik sahaja akan diguna sekiranya ketiga-tiga pengarah tidak bersependapat.

Apa yang menarik atau kelainan yang ditampilkan dalam filem terbaru ini?

"Upin & Ipin" sememangnya dikenali kerana menampilkan budaya tradisional Melayu dan untuk filem terbaru ini, kami masih lagi mengekalkan elemen itu Kali ini ia berkisarkan tentang pengembaran kembar Upin dan Ipin bersama rakan-rakannya ke sebuah kerajaan Inderaloka selepas menemui sebilah keris Melayu yang diberi nama Keris Siamang.

Menariknya adalah pengembaraan kali ini menyaksikan mereka bertemu dengan pelbagai watak dongeng popular tempatan seperti Mat Jenin, Si Tanggang, Bawang Putih Bawah Merah, Pak Belalang, Raja Bersiung dan ramai lagi.

Apakah harapan anda terhadap "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal"?

Saya berharap filem terbaru ini akan mencetuskan fenomena seperti filem pertama dan sekiranya mendapat sambutan luar biasa, ia akan memberikan peluang kepada kami untuk terus menghasilkan karya-karya berkualiti.

Penulis: Ashraf Nasser