"Ada Apa Dengan Dosa" sebuah naskhah inspirasi dari kisah sebenar | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Temubual

"Ada Apa Dengan Dosa" sebuah naskhah inspirasi dari kisah sebenar

Penulis: Ashraf Nasser

 Rahila Ali berdepan cabaran sukar untuk menggarap
Rahila Ali berdepan cabaran sukar untuk menggarap "Ada Apa Dengan Dosa"
dengan masa dan bajet yang terhad.

Selepas dua filem tempatan mengambil keputusan untuk menukar medium tayangan filem mereka dari pawagam ke stesen televisyen berbayar Astro First, kini sebuah lagi filem tempatan iaitu "Ada Apa Dengan Dosa" (AADD) turut mengikut jejak langkah sama.

Filem terbitan Pencil Pictures & Records ini sepatutnya dijadualkan ditayangkan pada bulan September depan di pawagam, tetapi dengan situasi tidak menentu ketika ini yang mana pawagam masih lagi tidak dibenarkan beroperasi, pihak penerbit ambil langkah selamat dengan menayangkan filem itu di platform lain dengan lebih awal iaitu pada 4 Jun lalu.

Ternyata percaturan ini berjaya membuahkan hasil apabila filem arahan Rahila Ali ini mendapat maklum balas yang positif yang mana rata-rata penonton memuji naskhah "AADD" yang dikatakan unik dan menyentuh hati.

"AADD" berkisarkan mengenai seorang gadis, Aurora, yang merupakan anak luar nikah dan dibesarkan di Eropah oleh keluarga bukan Islam. Bagaimanapun semuanya berubah apabila dia mendapat tahu asal usulnya. Dia yang tertekan dibantu oleh Khaliq yang kemudian telah berangkat ke Malaysia untuk mencari ibu dan bapa kandungnya.

Sementara itu, si ibu kandung Siti Zahrah hidup dihantui dengan dosa silam, manakala ayah kandungnya pula merupakan seorang ustaz terkenal, Ustaz Aariz yang cuba lari dari dosa lalu demi menjaga reputasinya.

Ia dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, Adam Corrie, Fauziah Nawi dan Harris Ismail.

Baru-baru ini Cinema Online berkesempatan untuk menemubual pengarah Rahila Ali bagi berkongsi mengenai filem terbaru arahannya ini.


Salah satu babak dalam "Ada Apa Dengan Dosa".

Cinema Online: Boleh ceritakan sedikit filem "Ada Apa Dengan Dosa" ini idea daripada siapa?

Rahila: Sebenarnya idea filem ini adalah daripada saya sendiri. Sudah lama saya simpan idea ini dan akhirnya bentangkan kepada penerbit iaitu Datuk Ayu Puteh, dan Alhamdulillah dia tertarik dan bersetuju untuk angkat naskhah ini ke layar perak kerana konsep filem ini yang berbeza iaitu mengangkat tema Islamik yang mana jika kita lihat tema sebegini sangat jarang dihasilkan.

Bagaimana anda boleh terfikir atau tercetus untuk menghasilkan cerita ini?

Jalan cerita "Ada Apa Dengan Dosa" ini sebenarnya adalah inspirasi daripada kisah sebenar yang saya tidak dapat dedahkan siapakah individu itu. Bagaimanapun saya olah sedikit jalan cerita itu supaya ia menjadi lebih menarik untuk ditonton. Saya anggap filem ini sebagai 'dakwah kecil' saya kepada masyarakat.

Mungkin ramai yang sedar atau tidak mahu ambil tahu bahawa perkara ini sebenarnya memang berlaku dalam masyarakat kita, cuma kita jarang dengar kerana mereka yang mengalaminya tidak mahu mendedahkan aib mereka kepada umum. Apa yang saya boleh katakan adalah filem ini mampu membuatkan penonton turut merasai apa yang dirasai oleh watak yang ditampilkan. Ia bukan sahaja sarat dengan mesej, pengajaran dan panduan, tetapi juga sarat dengan emosi.

Untuk pengetahuan anda juga, saya dan pihak penerbit turut mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selepas skrip ini siap dan Alhamdulillah mereka tiada masalah dan memberi lampu hijau kepada skrip kami.

Adakah anda sendiri memilih barisan pelakon atau penerbit? Adakah anda mengalami kesukaran untuk mendapatkan kesemua pelakon yang dikehendaki?

Pemilihan barisan pelakon adalah daripada saya dan juga penerbit. Untuk watak utama Aurora, pada mulanya kami tidak tahu hendak diberikan kepada siapa, tetapi saya kemudian cadangkan Wanna Ali yang merupakan anak kepada penerbit. Pemilihan Wanna bukan kerana dia anak penerbit, tetapi saya melihat dia sangat sesuai menjayakan watak itu yang turut memerlukan seorang yang fasih berbahasa Inggeris.

Untuk pelakon lain seperti Fasha Sandha dan Ashraf Muslim, Alhamdulillah selepas mereka membaca skrip filem itu, mereka terus bersetuju. Fasha seorang pelakon yang mampu menggalas apa sahaja watak yang diberikan. Manakala Ashraf pula bersetuju untuk membintangi filem ini kerana dia sememangnya lebih cenderung untuk terlibat dalam filem bertemakan Islamik. Kami juga tiada masalah untuk mendapatkan pelakon lain seperti Adam Corrie, Fauziah Nawi dan Haris Ismail.

Apakah cabaran sepanjang penggambaran berlangsung?

Cabaran bagi saya secara peribadi adalah untuk memastikan setiap pelakon dapat memberikan persembahan terbaik memandangkan filem ini adalah sebuah naskhah berat, jadi ia memerlukan pelakon banyak bermain dengan emosi. Pada masa sama, kami juga perlu berdepan dengan cuaca sejuk Scotland termasuklah hanya mempunyai tempoh 16 hari sahaja untuk penggambaran kerana bajet yang terhad.

Bagaimanapun saya bersyukur kerana setiap pelakon dan tenaga produksi memberikan komitmen yang tinggi sekaligus membolehkan kami menyiapkan penggambaran dalam tempoh yang ditetapkan.

Filem ini sepatutnya ditayangkan di pawagam pada September depan tetapi tayangannya di awalkan di saluran berbayar Astro First. Apa komen anda sebagai pengarah?

Pada mulanya rasa agak terkilan juga, tapi saya faham apa yang dihadapi oleh penerbit, jadi saya setuju dengan tindakan penerbit untuk awalkan tayangan filem ini di Astro First. Kita sedia maklum bahawa banyak filem yang ditunda dan sekiranya pawagam dibuka kembali, tidak mungkin filem ini akan ditayangkan pada tarikh asal.

Bagaimanapun saya gembira dan bersyukur apabila filem ini bukan sahaja mendapat sambutan yang cukup positif daripada penonton, malah ramai yang memuji jalan cerita dan berharap agar filem ini akan mempunyai sekuel. Bagi saya dan penerbit, sekiranya filem ini berjaya raih kutipan memberangsangkan, kami pasti akan pertimbangkan sekuelnya.

Apa perkembangan terbaru anda selepas ini?

Saya mempunyai sebuah lagi filem romantik komedi tetapi tidak dapat dedahkan butiran lanjut buat masa ini. Selain itu, saya juga bakal mengarah sebuah drama baru bertemakan kekeluargaan tidak lama lagi. Judul dan siapa yang akan berlakon akan didedahkan dalam masa terdekat ini.

(Sumber foto: Rahila Ali Instagram)

Cinema Online, 21 Jun 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE
Waktu Tayangan