Temubual
Adrian Teh teruja dapat sokongan penuh dari ATM untuk "Bakara"


Tarikh disiarkan: 2 Februari 2020

Andrian Teh harap
Andrian Teh harap "Bakara" dapat jadi bahan rujukan kepada anak-anak muda.

Selepas mencipta fenomena menerusi filem ketenteraan "Paskal The Movie", pengarah filem tersohor tanah air Adrian Teh akan kembali dengan sebuah lagi filem ketenteraan terbaru berjudul "Bakara".

Filem "Bakara" ini adalah naskhah yang diangkat dari kisah sebenar mengenai pertempuran di Mogadishu, Somalia atau lebih dikenali menerusi filem berjudul "Black Hawk Down".

Bagaimanapun filem Hollywood itu tidak memaparkan fakta sebenar iaitu kehebatan pasukan tentera Malaysia iaitu Batalian Malaysia (MALBATT) menyelamatkan pasukan tentera elit yang terperangkap di Pasar Bakara yang dikepung oleh militia Mohammed Farrah Aidid.

Adrian yang mahu memaparkan kisah sebenar mengenai pertempuran itu dan mengangkat kehebatan 'wira tak didendang' supaya dapat menjadi idola kepada anak-anak muda kini yang tidak langsung tahu mengenai peristiwa bersejarah ini.

Lebih mengujakan apabila niat Adrian untuk menghasilkan filem "Bakara" ini bukan sahaja mendapat persetujuan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah turut mendapat sokongan seratus peratus daripada ATM untuk menjayakan filem ini.

Baru-baru ini perlancaran filem "Bakara" telah berlangsung di 19 RAMD (MEKANIZE) Kem Lapangan Terbang, Sg Petani Kedah yang mana ia dirasmikan oleh Panglima Tentera Darat iaitu Tan Sri Dato' Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi.

Ketika perlancaran Cinema Online sempat menemubual pengarahnya Adrian Teh bagi berkongsi lanjut mengenai filem "Bakara".


Pengarah Adrian Teh bersama barisan pelakon utama "Bakara" Fauzi Nawawi,
Bront Palarae, Remy Ishak dan Hairul Azreen.

Cinema Online: Bilakah idea untuk menghasilkan filem ini tercetus? Dan mengapa anda ingin buat filem "Bakara"?

Adrian: Saya memang sudah lama simpan hasrat untuk buat filem ini. Saya kemudian telah bertemu dengan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Mejar Aziz yang merupakan salah seorang anggota yang terlibat dalam pertempuran di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia selepas selesai penggambaran filem "Paskal The Movie". Selepas pertemuan itu, saya terus melakukan kajian untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai peristiwa bersejarah negara itu untuk menghasilkan skrip filem "Bakara".

Saya ingin hasilkan filem ini kerana merasakan rakyat Malaysia terutamanya golongan remaja kita perlu tahu sejarah ini. Malah dengan adanya filem ini juga ia boleh menjadikan 'wira-wira tak didendang' ini sebagai idola mereka. Anak-anak kita sering menjadikan adiwira dari luar negara sebagai idola mereka, jadi rasanya sudah tiba masanya kita angkat wira-wira tanah air ini menjadi idola pula.

Bagaimana anda berjaya yakinkan pihak ATM untuk beri kebenaran hasilkan "Bakara"?

Sejujurnya saya sendiri pun tidak tahu. Tetapi sebelum pihak saya bertemu dengan pihak ATM kami telah membuat persiapan rapi untuk bentangkan mengenai pembikinan filem ini dan kami bersyukur apabila pihak ATM memberi lampu hijau untuk kami realisasikan filem ini. Malah lebih istimewa lagi apabila Panglima Angkatan Tentera Darat (PTD) iaitu Tan Sri Dato' Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah berkata pihak Tentera Darat Malaysua (TDM) akan memberi sokongan seratus peratus untuk filem ini.

Seratus peratus sokongan daripada pihak TDM dari segi?

Sokongan seratus peratus oleh TDM ini merangkumi banyak aspek dari segi teknikal seperti pakaian seragam, senjata, kenderaan berperisai dan banyak lagi. Anda harus ingat insiden ini sudah lebih 20 tahun lalu, jadi kelengkapan yang akan digunakan dalam filem "Bakara" perlu sama dengan apa yang digunakan oleh wira-wira kita ketika di Somalia. Oleh sebab itu pihak TDM memberi jaminan akan cuba sedaya upaya untuk menyediakan segala keperluan yang kita mahu. Saya sangat berterima kasih kepada PTD atas sokongan penuh daripada pihak beliau.

Bilakah penggambaran filem ini akan bermula dan lokasinya?

Saya rancangan untuk mula penggambaran pada bulan Jun depan dan lokasinya di Malaysia dan Turki. Pemilihan bulan Jun dibuat kerana ketika ini musim panas di Turki jadi senang untuk kru produksi dan barisan pelakon untuk bekerja. Selain itu, setiap pelakon utama juga perlu menjalani latihan ketenteraan sekurang-kurangnnya dua bulan sebelum masuk ke set penggambaran.

Kesemua pelakon akan diberikan latihan untuk menjadi seorang anggota tentera yang mana ia merangkumi pelbagai aspek seperti cara berkomunikasi, penggunaan senjata, taktikal dan banyak lagi.

Adakah anda berasa tertekan apabila PTD berkata filem ini tidak boleh gagal?

Ya dan tidak! Saya rasa sepanjang saya terlibat dalam pembikinan filem saya sentiasa berasa tertekan dan saya tidak kisah tertekan ketika penggambaran. Ini kerana saya sangat pentingkan kualiti setiap syot yang diambil oleh itu apabila saya berada dalam keadaan tertekan ia sedikit sebanyak membantu saya dalam menghasilkan sesuatu yang hebat. Dalam erti kata lain saya suka tekanan kerana ia memberi cabaran untuk saya terus teroka kemungkinan. Saya lakukan ini dalam setiap filem saya.

Mereka yang bekerja dengan saya seperti jurukamera, kru-kru produksi termasuklah produksi tahu yang saya akan 'push' selagi boleh dan cuba melakukan sesuatu yang dikatakan mustahil. Perkara itu dibuktikan menerusi filem "Wira" yang mana bajet untuk filem itu tidaklah besar tetapi kualiti terutamanya babak pertarungan kita setaraf dengan filem luar negara. Jadi apabila PTD berkata filem ini tidak boleh gagal, saya anggap ia sebagai satu cabaran baru untuk hasilkan "Bakara".

Bagaimana anda berjaya dapatkan barisan pelakon hebat tanah air untuk terlibat dengan "Bakara"?

Saya pun tak tahu [ketawa]. Ketika saya buat skrip filem ini saya sudah bayangan siapa pelakon yang saya inginkan dan saya bersyukur apabila saya bertemu dengan setiap pelakon ini bagi menawarkan watak dalam filem "Bakara" mereka tidak ambil masa lama untuk bersetuju. Saya berharap dengan gandingan Bront Palarae, Hairul Azreen, Remy Ishak, Fauzi Nawawi dan Shaheizy Sam dapat memberi impak kepada filem ini kerana kita sudah sedia maklum dengan kehebatan mereka dalam menjayakan apa sahaja watak yang diberikan.

Bilakah filem akan menemui penonton dan apa harapan anda terhadap "Bakara"?

Sekiranya semuanya berjalan dengan lancar kami rancang untuk rilis filem "Bakara" ini pada Hari Kemerdekaan ke-64 iaitu 31 Ogos 2021. Saya juga berharap agar filem "Bakara" ini bukan sahaja filem semata-mata sebaliknya mampu menjadi sebagai rujukan kepada anak muda mengenai sejarah penting negara yang jarang diceritakan.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Bakara (Melayu) (31 Ogos 2021)