Temubual
Bade Hj Azmi garap "Ratu Kala Jengking" ikut panduan penerbit


Tarikh disiarkan: 7 Mac 2020


Bade Hj Azmi kongsi pengalamannya pertama kali arah filem ikut panduan penerbit.

Nama pengarah Bade Hj Azmi bukanlah asing di kalangan penonton tempatan kerana dia merupakan salah seorang pengarah tersohor tempatan yang sudah hampir tiga dekad menabur bakti dalam dunia seni tanah air.

Selepas hampir tiga tahun tidak muncul dengan sebarang filem, Bade atau nama sebenarnya Badaruddin Haji Azmi kembali dengan filem terbarunya berjudul "Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda" terbitan A. Aida Production.

Filem terbaru ini diangkat dari kisah mitos rakyat tempatan mengenai seorang wanita bernama Cik Siti yang berkahwin 99 kali di daerah Kota Tinggi, Johor.


"Ratu Kala Jengking" dibintangi oleh barisan pelakon hebat tanah air seperti Nadia Brian, Fauziah Nawi, Mas Khan, Amar Asyraf, Eyra Hazali, Octavia Manrose, Firman Siagian dan ramai lagi.

Baru-baru ini ketika majlis tayangan perdana filem "Ratu Kala Jengking" berlangsung di mmCineplexes eCurve, Cinema Online sempat menemubual pengarah ini bagi berkongsi pengalamannya sepanjang penggambaran berlangsung.

Jom ikuti temubual bersama Bade Hj Azmi.


Penerbit Datuk A. Aida bersama pengarah Bade Hj Azmi dan barisan pelakon "Ratu Kala Jengking".

Cinema Online: Bagaimana anda bersetuju untuk mengarah filem ini?

Bade: Filem yang anda tahu, filem "Ratu Kala Jengking" ini bukanlah naskhah saya tetapi ia merupakan idea daripada penerbit iaitu A. Aida. Saya pada mulanya tidak tahu mengenai filem ini sehinggalah penerbit meminta saya untuk mengarah filem sulung yang ingin diterbitkan. Ini kerana dia mempercayai hasil kerja saya memandangkan saya banyak mengarah drama-drama terbitan A. Aida Production.

Sukar untuk saya menolak permintaan daripada A. Aida dan pada masa sama saya berbesar hati kerana dia percaya dengan sentuhan saya untuk menggarap "Ratu Kala Jengking".

Adakah anda ada membuat sebarang rombakan dalam skrip asal ketika penggambaran?

Saya tidak buat sebarang perubahan langsung kepada skrip kerana penerbit mahu saya garap mengikut skrip yang telah dibuat olehnya sendiri. Jadi saya sebagai pengarah akur dengan kehendak penerbit yang mahu filem pertamanya dilakukan mengikut acuan yang dikehendakinya. Saya cuba melakukan yang terbaik dan Alhamdulillah penerbit berpuas hati dengan syot-syot yang diambil.

Bagaimana pula dengan pemilihan barisan pelakon?

Ketika ditawarkan untuk mengarah filem ini, penerbit sudah pun mempunyai barisan pelakon yang dikehendakinya, jadi saya tidak perlu fikirkan siapa yang akan membintangi filem ini. Saya juga gembira apabila penerbit berjaya mendapatkan banyak pelakon-pelakon popular untuk membintangi filem ini.

Apakah cabaran yang anda, pelakon dan kru produksi terpaksa hadapi sepanjang penggambaran?

Cabaran utama kami adalah lokasi penggambaran yang jauh daripada segala kemudahan. Penggambaran ini berlangsung selama 30 hari di Sedeli, Johor iaitu kawasan hutan yang mana kami perlu diiringi oleh renjer hutan untuk memasukinya. Perjalanan ke lokasi mengambil masa yang lama dan ketika perjalanan pelbagai binatang buas kami temui.

Selain itu, cuaca juga menjadi salah satu cabaran buat kami berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu. Tetapi saya ingin memuji kesemua barisan pelakon dan tenaga produksi yang tidak mengeluh langsung dengan segala kekurangan sepanjang penggambaran berlangsung. Saya sangat bersyukur mendapat pasukan produksi dan barisan pelakon yang sentiasa dalam keadaan sedia untuk memberikan yang terbaik sepanjang penggambaran berlangsung.

Difahamkan banyak syot yang terpaksa dipotong. Kenapa?

Ya betul tu. 'Footage' untuk penggambaran ini berdurasi lima jam kerana saya buat seperti yang ada dalam skrip. Oleh itu, pihak penerbit terpaksa membuat keputusan yang agak sukar untuk memotong banyak babak. Lebih merumitkan apabila mereka perlu pastikan babak yang dipotong tidak menjejaskan keseluruhan jalan cerita. Apa-apa pun saya gembira dengan hasil akhir filem ini.

Apakah harapan anda terhadap filem ini?

Saya tidak meletakkan harapan tinggi terhadap filem ini, tetapi saya rasa filem ini mampu menarik penonton ke pawagam kerana ia menampilkan sebuah naskhah yang sangat jarang dihasilkan iaitu kisah rakyat tempatan. Sekiranya filem "Ratu Kala Jengking" mendapat sambutan, sudah pasti ia akan memberi motivasi kepada kami untuk menghasilkan lebih banyak filem-filem yang mengangkat kisah seperti ini.

 

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Ratu Kala Jengking (Melayu) (27 Februari 2020)