Bront Palarae & Rebecca Lim bermusuh dalam "The Bridge 2" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Temubual

Bront Palarae & Rebecca Lim bermusuh dalam "The Bridge 2"

Penulis: Ashraf Nasser

Bront Palarae & Rebecca Lim janjikan lebih aksi dalam "The Bridge" musim kedua!
Bront Palarae & Rebecca Lim janjikan lebih aksi dalam "The Bridge" musim kedua!

Selepas mencipta kejayaan dalam musim pertama, siri popular "The Bridge" bakal kembali untuk musim kedua yang mana ia akan ditayangkan di platform penstriman video Viu.

Siri asal "The Bridge" dari Scandinavia ini ditulis oleh Hans Rosenfeldt telah di 'remake' oleh beberapa negara Barat, dan Malaysia menjadi negara Asia pertama yang menghasilkan 'remake' "The Bridge" ini dengan menggabungkan pelakon dari dua negara iaitu Malaysia dan Singapura menerusi Bront Palarae dan Rebecca Lim.

Kejayaan musim pertama ini telah membuatkan penerbit Double Vision mengorak langkah ke depan dengan menghasilkan siri musim kedua dengan skala yang lebih besar, iaitu membabitkan barisan pelakon dari empat buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, dan Filipina.

"The Bridge" musim kedua arahan TJ Lee, Jason Chong dan Zahir Omar ini adalah kesinambungan iaitu setahun selepas kejadian dalam siri pertama. Sebuah kapal berpendaftaran Singapura hanyut di perairan Johor, Malaysia dengan mayat-mayat sebuah keluarga dari Indonesia di dalamnya. Pegawai ICD Serena Teo perlu menyiasat kes pembunuhan ini dan kali ini dia perlu bekerjasama dengan seorang pegawai dari ICD Indonesia, Heri. Sementara itu, Megat pula sudah meletakkan jawatannya sebagai pegawai ICD Malaysia dan kini mahu memulakan hidup baru. Namun kedua-dua Megat dan Serena akan bertembung lagi dalam satu situasi yang tidak dijangka.

Baru-baru ini, Viu telah mengadakan pelancaran "The Bridge" musim kedua secara dalam talian yang mana Cinema Online diberi peluang untuk turut serta dan berpeluang menemubual barisan pelakon siri popular ini iaitu Bront Palarae dan Serena Teo.

Jom ikuti temubual bersama mereka.

Cinema Online: Anda kembali menghidupkan watak asal anda sebagai Megat dan Serena, jadi apakah perbezaan watak anda kali ini?

Bront: Memang akan ada perbezaan yang ketara pada musim kedua ini. Jika pada musim pertama Megat seorang pegawai ICD, namun kali ini dia sudah melepaskan jawatannya itu dan membawa haluanya sendiri. Bagaimanapun haluan baru Megat itu mempunyai kaitan dengan satu kes pembunuhan yang sedang disiasat oleh pegawai ICD Serena. Penonton akan disajikan dengan sisi berbeza Megat yang tidak akan dijangka oleh penonton.

Rebecca: Watak saya tidak ada perbezaan ketara berbanding watak Megat. Untuk musim kedua Serena masih lagi dengan perwatakan asalnya, iaitu seorang yang serius dan komited terhadap kerja penyiasatannya. Apa yang penonton boleh jangkakan terhadap watak Serena adalah lebih aksi. Saya sangkakan musim kedua ini aksi yang akan dipaparkan sama seperti musim terdahulu, tetapi jangkaan saya meleset kerana untuk musim kedua ini saya perlu lakukan lebih banyak aksi.

Apa yang membuatkan anda teruja untuk kembali menjayakan "The Bridge" musim kedua?

Bront: Seperti yang saya katakan tadi, watak Megat kali ini sangat berbeza. Kali ini dia cuba mencari kemaafan dan menebus semula kesilapannya termasuk memperbaiki hubungan dengan isterinya. Jadi watak saya kali ini tidak sama dan penonton akan dibawa mengikut hidup Megat yang boleh dikatakan seperti 'roller coaster'.

Rebecca: Bagi saya musim ini membuka lebih ruang buat saya untuk tonjolkan kemampuan lakonan sebenar saya. "The Bridge" musim kedua ini seperti 'jambatan' yang menghubungkan beberapa negara dalam satu karya. Dalam musim pertama, hanya dua buah negara sahaja terlibat iaitu Malaysia dan Singapura, namun untuk musim terbaru ini ia membabitkan empat buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, dan Filipina.

Bagaimana pula pengalaman bekerja dengan dengan ramai pelakon dari luar negara?

Rebecca: Ia merupakan satu pengalaman yang berharga untuk saya dan perkara besar bagi saya adalah dapat melihat dan belajar mengenai kebudayaan negara lain. Masing-masing mempunyai 'karenah' tersendiri dan ini membuktikan produksi "The Bridge" musim kedua lebih menarik.

Pada pendapat anda, adakah penonton yang belum menonton musim pertama boleh 'layan' musim kedua?

Bront: Boleh! Jalan cerita untuk musim kedua ini bukanlah kesinambungan dari siri musim pertama, jadi kepada mereka yang tidak pernah menonton musim pertama tiada masalah untuk mereka 'layan'. Cuma musim kedua ini akan memaparkan kesinambungan pada watak asal sahaja. Tetapi saya sarankan mereka tonton juga musim pertama untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai siri ini.

Serena katakan untuk musim kedua ini anda perlu lakukan lebih aksi? Berapa lama anda jalani latihan?

Rebecca: Musim pertama saya diberikan masa tiga hari untuk buat latihan, tetapi untuk musim kedua ini saya tidak punyai banyak masa untuk berlatih. Bagaimanapun pengalaman musim pertama saya gunakan untuk penggambaran musim kedua ini. Saya juga banyak lakukan babak aksi sendiri tanpa menggunakan pelakon lagak ngeri.

* Selain Bront Palarae & Rebecca Lim "The Bridge" musim kedua turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Ario Bayu, Joseph Marko, Fikry Ibrahim, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.

Cinema Online, 28 Jun 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE
Waktu Tayangan