Temubual
Farid Kamil: "Remp-It 2" adalah permulaan syarikat produksi saya


Tarikh disiarkan: 16 Februari 2020

Farid Kamil turut menampilkan anaknya Muhammad dalam filem "Remp-It 2".
Farid Kamil turut menampilkan anaknya Muhammad dalam filem "Remp-It 2".

Sekian lama tidak muncul di layar perak, tahun ini pengarah dan pelakon Datuk Farid Kamil akan membuat penampilan semula menerusi filem terbaru arahannya di bawah terbitan syarikat produksi FKX Film berjudul "Remp-It 2".

Ia merupakan kesinambungan kepada filem "Remp-It" arahan Ahmad Idham yang ditayangkan pada 2006. Antara pelakon yang dikekalkan dalam sekuel ini adalah Farid sendiri, Cat Farish dan Julia Hana.


"Remp-It 2" merupakan filem keempat arahan Farid selepas tiga buah filem iaitu "V3: Samseng Jalanan" (2010), "Kongsi" (2011) dan "PE3" (2012). Filem ini juga mengangkat Farid sebagai penerbit buat pertama kali di samping isterinya yang juga pelakon, Diana Danielle.

Cinema Online berpeluang untuk menemubual Farid yang hadir melancarkan teaser treler filem "Remp-It 2" dan Sifu International Enduro Championship 2020 di Route 77 Harley Davidson of Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jom ikuti temubual bersama Farid Kamil.

Cinema Online: Apakah perkembangan filem "Remp-It 2"?

Farid: Alhamdulillah, filem "Remp-It 2" kini telah dihantar ke Lembaga Penapisan Filem (LPF). Ia satu tempoh yang begitu cepat, di mana penggambaran telah dijalankan pada pertengahan bulan Ogos tahun lalu selama 53 hari di beberapa jalan raya utama sekitar Kuala Lumpur, Johor dan Pahang. Filem ini merupakan kesinambungan dari filem pertama dan ia dijangka untuk ditayangkan pada bulan Ogos tahun ini.

Mengapa sekuel filem ini mengambil tempoh 13 tahun untuk dihasilkan?

13 tahun itu sebenarnya menunjukkan sejauh mana perjalanan saya untuk mencari kesempatan menerbitkan filem ini. Ketika menjual skrip filem "Remp-It" kepada David Teo, saya terus tanam dalam hati sekiranya suatu hari nanti saya dikurniakan rezeki untuk menerbitkan filem, maka filem "Remp-It 2" akan menjadi permulaan kepada syarikat produksi saya.

Siapakah pelakon yang bakal terlibat dengan filem ini?

Saya masih mengekalkan pelakon-pelakon lama seperti saya sendiri, Cat Farish dan Julia Hana. Selebihnya akan dibarisi dengan pelakon-pelakon baru. Pada mulanya saya mengambil khidmat lakonan Nabila Huda sebagai peneraju wanita utama, tetapi ketika melangsungkan penggambaran, dia berdepan isu pelanggaran tarikh jadi saya mengambil langkah lain dengan memperkenalkan pelakon baru iaitu Ahirine Ahirudin.

Watak Spark juga akan dikekalkan, cuma ia tidak dilakonkan oleh Zul Huzaimy kerana dia telah menolak untuk terlibat dengan filem ini. Saya telah memilih Niezam Zaidi. Dalam masa 13 tahun macam-macam perubahan boleh berlaku, jadi saya mengambil inisiatif itu untuk mengubah watak Spark dan menghasilkan filem ini sebaik mungkin.

Niezam Zaidi adalah seorang pelakon yang boleh menunggang motosikal dengan bagus. Dia juga telah menyertai beberapa perlumbaan Cub Prix Malaysia sebelum ini, tetapi pada ketika itu saya tidak berkesempatan untuk mengenalinya sebagai seorang pelakon. Walau bagaimanapun, saya yakin dia bakal memberi nafas baru kepada filem "Remp-It 2" dan saya sangat bersyukur atas perkara itu,

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang menghasilkan filem ini?

"Remp-It 2" merupakan filem pertama terbitan FKX Film. Saya memikul tiga jawatan penting yang berbeza dalam filem ini, di mana saya bertindak sebagai penerbit, pengarah dan pelakon. Cabaran utama saya sudah tentu apabila pertama kali menjadi penerbit, di mana saya berharap filem ini tidak terlebih bajet dan saya harap ia akan menjadi salah satu filem yang ditunggu-tunggu. Kos keseluruhan untuk menghasilkan filem ini menelan perbelanjaan sebanyak RM3 juta, tetapi Alhamdulillah kami masih mempunyai banyak lebihan.

Bagaimana anda boleh terfikir untuk mengambil Muhammad berlakon dalam filem ini?

Keputusan dibuat apabila mendapati skrip filem memerlukan seorang pelakon kanak-kanak. Apabila saya berbincang dengan Diana untuk mengetengahkan Muhammad, dia bersetuju dan memberi semangat untuknya. Watak Muhammad merupakan salah satu plot penting dalam filem ini. Jadi saya harap Muhammad melakukan yang terbaik kerana ini merupakan peluang yang jarang datang.

Pengalaman mengarah anak sendiri dalam filem?

Pada mulanya saya agak skeptikal untuk mengambil kanak-kanak berlakon, tambahan lagi pada ketika itu Muhammad berumur 6 tahun. Jadi saya mengambil inisiatif untuk menghantar dia ke kelas lakonan yang dikendalikan oleh Dr. Norzizi Zulkifli selama sebulan supaya tidak terlepas pandang apa-apa yang penting. Alhamdulillah, apabila Muhammad tiba di set penggambaran, dia sudah bersedia sepenuhnya.

Sedikit cabaran untuk mengarah Muhammad adalah apabila penggambaran dilakukan pada lewat malam dan dia mula mengantuk. Jadi kami terpaksa menjalankan penggambaran bagi babaknya semula. Saya anggap Muhammad sebagai seorang pendatang baru yang bakal mewarnai industri lakonan dan buat masa ini dia akan terlibat dengan produksi kami terlebih dahulu.

Adakah situasi anda pada ketika ini mengganggu proses produksi filem ini?

Apa yang berlaku pada saya sepanjang dua tahun lepas sebenarnya menjadi pemangkin semangat saya untuk menerbitkan filem ini. Walaupun pada mata kasar ia nampak seperti mengganggu persiapan filem ini, namun ada hikmah di sebalik semua yang terjadi. Sudah 10 tahun saya impi untuk menjadi penerbit, dan apa yang berlaku ini memberi peluang yang saya dambakan sejak dahulu. Sedikit sebanyak, ia tetap mengganggu persiapan kami untuk menayangkan filem ini lebih awal, iaitu pada 20 Februari ini, tetapi nasib tidak menyebelahi saya dan kami terpaksa tundakan tayangan filem ini hingga bulan Ogos.

Boleh kongsikan projek lain selepas ini?

Buat masa ini, saya dan FKX Film akan memberi sepenuh tumpuan terhadap penayangan filem "Remp-It 2" kerana ia juga merupakan projek keluarga saya. Diana sebagai penerbit dan Muhammad sebagai pelakon. Selepas itu baru kami akan mula merancang untuk menerbitkan filem-filem seterusnya.

Selain itu, saya akan kembali berlakon dengan Nora Danish dalam telefilem "Puyah dan Putat" selepas enam tahun tidak digandingkan. Walaupun Nora tahu rakan pelakonnya mempunyai masalah peribadi di luar, namun dia masih bersikap profesional ketika berlakon. Telefilem itu akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada 22 Februari ini.

Penulis: Nisa Irina

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan: