Temubual
Feisk Productions berani ambil risiko hasilkan filem bajet kecil


Tarikh disiarkan: 19 Januari 2020


Feisal dan Iskander Azizuddin bersama para pelakon filem "Suraya".

Mungkin ramai yang menganggap kandungan filem berbajet kecil tiada kualiti jika dibandingkan dengan filem-filem berskala besar. Walau bagaimanapun, boleh dikatakan tidak semua filem berbajet besar berjaya mengutip keuntungan tinggi selepas ditayangkan.

Oleh sebab itu, pasangan adik beradik Feisal dan Iskander Azizuddin telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan projek-projek filem pendek dan program realiti walaupun hanya memerlukan kos rendah menerusi syarikat produksi yang ditubuhkan pada 2010 iaitu Feisk Productions.

Selepas menerbitkan filem pendek "Temenggor" serta program realiti "Trailseekers" dan "Kampung Quest", kini Feisk Productions membawa projek mereka ke layar lebar menerusi filem cereka seram terbaru berjudul "Suraya".


Cinema Online sempat menemu bual Feisal dan Iskander yang hadir memeriahkan malam gala tayangan perdana filem "Suraya" bersama barisan pelakon di mmCineplexes eCurve, Damansara, baru-baru ini.

Jom ikuti temubual bersama Feisal dan Iskander.


Barisan pelakon utama filem "Suraya" iaitu Amir Rahim, Farihin Ufiya dan Ainul Aishah.

Cinema Online: Bagaimanakah idea untuk menghasilkan filem "Suraya" tercetus?

Feisal: Pada dua tahun lalu, saya teringin menghasilkan sebuah filem seram berbajet kecil. Jadi saya berkongsi filem seram pendek saya menerusi sebuah forum 'online'. Kemudian, seorang penulis yang mempunyai minat mendalam terhadap filem, menghubungi saya.

Kami berjumpa dan berbincang untuk bekerjasama dalam menghasilkan sebuah filem berbajet kecil iaitu "Suraya". Dia telah menulis skrip dan saya berjanji untuk merealisasikannya di layar perak. Penulis skrip saya adalah Kamal Amir dan dia meninggal dunia sebelum penggambaran filem ini bermula.

Apakah mesej yang ingin disampaikan menerusi "Suraya"?

Feisal: Kami telah menggabungkan elemen 'urban' dan tradisional dalam filem ini. Watak utama iaitu Nabila dan Adam sebenarnya mewakili golongan muda masa kini yang mementingkan kandungan media sosial seperti saluran YouTube dan perwatakan mereka yang naif apabila tiba di tempat baru iaitu di kawasan kampung. Walau bagaimanapun, sepanjang filem ini hingga ke penghujung, kita dapat lihat Nabila menyedari apa yang lebih penting di sekelilingnya berbanding media sosial.

Mengapa anda memilih untuk mendekati filem-filem berbajet kecil?

Iskander: Kami mendapat inspirasi untuk mendekati filem berbajet kecil selepas melihat syarikat produksi Hollywood, Blumhouse Productions, yang berjaya menghasilkan filem-filem seperti "Paranormal Activities". Jika anda betul-betul ingin menghasilkan sebuah filem, tidak semestinya anda memerlukan bajet yang besar. Ia sebenarnya terletak kepada minat yang mendalam.

Apakah pendekatan yang anda gunakan dalam menghasilkan filem-filem berbajet kecil?

Iskander: Kadangkala menghasilkan filem berbajet kecil bukanlah satu pilihan. Bila kita tidak mempunyai wang secukupnya, kita perlu bikin filem berbajet kecil tetapi ia tidak bermakna kami tidak membayar para pelakon kami. Kami membayar mereka mengikut apa yang kami mampu. Jika sesebuah filem kami berjaya, jadi kami akan membayar jumlah yang sepatutnya kepada mereka. Apa-apa pun, kami percaya kepada skrip, pengarah dan para pelakon maka terhasillah "Suraya".

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang menghasilkan filem ini?

Feisal: Seperti filem-filem lain, "Suraya" adalah kisah klasik yang kami olah dalam versi moden. Kami tidak mahu menghasilkan jalan cerita yang begitu rumit kerana kami ingin memastikan ia boleh ditonton oleh ramai orang. Filem ini agak sukar untuk dihasilkan kerana ia adalah filem berbajet kecil. Kru produksi kami hanya terdiri daripada lima orang dan para pelakon pula enam orang sahaja, tetapi kami berjaya menjalankan penggambaran dalam masa dua minggu.

Kebanyakan cabaran yang kami hadapi melibatkan paranormal seperti burung-burung yang terbang dalam bulatan dan mati di set penggambaran dan kejadian rasuk. Proses pos produksi pula mengambil masa kira-kira lima bulan kerana terdapat masalah-masalah teknikal yang berlaku.

Ada perancangan untuk hasilkan sekuel bagi "Suraya"?

Iskander: Ia sesuatu yang saya dan Feisal telah bincang. Kami teruja untuk bekerjasama dengan para pelakon filem ini semula. Ainul telah menjayakan filem ini dengan baik. Kami akan cuba kembangkan lagi watak-watak yang sedia ada. Insya-Allah, jika mempunyai masa dan bajet yang mencukupi, kami akan meneruskan perancangan ini.

Boleh kongsikan projek lain selepas ini?

Iskander: Selepas ini, kami akan rilis sebuah lagi projek seram berjudul "Bilik Tepi" di mana penggambarannya telah selesai dijalankan pada Disember 2018. Filem ini dibintangi oleh Farihin Ufiya, Joshua Tsi, Jad Hidhir, Aisha Alana dan Ravena Jazmine. Ia akan ditayangkan di portal kami iaitu OhSnapTv.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Ainul Aishah dalam filem seram "Suraya" yang sedang ditayangkan di pawagam berhampiran anda sejak 9 Januari!

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Suraya (Melayu) (9 Januari 2020)