Temubual
Mamat Khalid ingin bikin filem era pop yeh-yeh?


Tarikh disiarkan: 23 Februari 2020


Mamat Khalid dedahkan dia mengarah filem "Rock 4" sambil berbaring kerana kesihatannya.

Jika sebelum ini kita dimaklumkan bahawa francais filem pecah panggung "Rock" arahan Mamat Khalid akan berhenti setakat filem "Rock Bro! Kembali Ke Pangkal Jalan", pengarah tersohor itu kembali membuat kejutan dengan menghasilkan "Rock 4: Rockers Never Dai".

Menurut Mamat, selain kerinduan terhadap suasana rock, filem itu juga bertujuan untuk memperjuangkan era rock kepada golongan pemuda masa kini yang kurang didedahkan dengan genre muzik popular pada tahun 80-an dan 90-an tersebut.

"Rock 4" merupakan kesinambungan "Rock Bro!", di mana watak Dio yang koma selepas kemalangan bersama kumpulan Rimba Bara, kembali dan menyedari muzik masa kini sudah banyak berubah. Nekad untuk memperjuangkan legasi rock semula, Dio akhirnya menubuhkan Rimba Bara Dua yang terdiri daripada Rayyan, Omar, Seri dan Acap.

Diterbitkan oleh Primeworks Studios, filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Sharwani NS, Adam John, Hazama, Bulan Terry dan Nazimi Fahmi sebagai Rimba Bara 2, serta penampilan khas oleh Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Dato' Awie, Kamarool Haji Yusoff dan ramai lagi.

Cinema Online sempat menemu bual Mamat yang hadir memeriahkan malam gala tayangan perdana filem "Rock 4: Rockers Never Dai" bersama barisan pelakon di mmCineplexes eCurve, Damansara, baru-baru ini.

Jom ikuti temubual bersama Mamat Khalid.


Barisan pelakon utama filem "Rock 4" yang hadir memeriahkan malam gala tayangan perdana filem tersebut.

Cinema Online: Apakah inspirasi anda untuk menghasilkan "Rock 4"?

Mamat: Sememangnya jalan cerita "Rock" akan berhenti sampai filem ketiga sahaja, tetapi perasaan rindu terhadap suasana rock itu yang menjadi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan "Rock 4" ini. Banyak lagi kisah-kisah mendalam tentang muzik rock yang saya rasa orang ramai perlu tahu terutamanya golongan muda yang langsung tak kisah tentang muzik rock. Saya harap mereka sedar akan keunikan irama rock yang menusuk jiwa dari dulu.

Pengalaman anda sepanjang menghasilkan filem ini?

Jujur cakap saya tidak berdepan sebarang masalah untuk menyiapkan filem ini kerana kerjasama daripada pihak produksi dan pelakon-pelakon semua sangat bagus. Ketika penggambaran, saya banyak terbaring sambil memberi arahan. Bayangkan saya hanya menggambarkan idea yang ada, selebihnya pembantu saya dan pengarah fotografi yang mengadun semuanya hingga sempurna.

Boleh ceritakan tentang pemilihan pelakon?

Semua pelakon ini kami pilih dari sesi uji bakat dan saya langsung tak kenal pelakon-pelakon baru ini kecuali Sharwani dan Hazama. Risau juga kerana ramai sangat yang hadir dan saya rasa macam nak pilih semua. Kemudian saya minta bantuan Imuda dan Aziz M. Osman untuk membuat saringan. Sharwani sudah tentu perlu ada untuk kesinambungan Rimba Bara.

Adam John ada auranya tersendiri yang saya perlukan dalam filem ini. Nazimi pula saya pilih kerana dia pandai bermain keyboard dan ketika uji bakat, hati saya tersentuh apabila dia menyanyikan lagu "Mad World". Bulan Terry sangat berbakat dalam bermain dram jadi saya hargai bakat itu. Hazama pula sebelum ini saya hanya kenal nama dia. Apabila dia datang uji bakat, saya dapati dia merupakan penyanyi yang sangat bagus dan saya bangga untuk tampilkan dia dalam filem ini.

Difahamkan banyak babak yang dipotong?

Ya, memang ada banyak babak yang dipotong, kira-kira dalam 20 minit dan kebanyakannya babak Dio. Bayangkan banyak babak kelakar dan sedih yang kami kena potong. Macam pada penghujung cerita kami ada masukkan sedikit babak yang dipotong. Sedikit nasihat, sebuah filem had durasinya hanya 90 minit.

Jika lebih, tak kira filem itu bagus macam mana pun, penonton akan mula rasa bosan. Tetapi sebagai pengkarya, 90 minit itu sebenarnya tak cukup untuk bercerita. Walaubagaimanapun, saya akan ikut cakap penerbit dan tak akan pertahankan kerja saya, kerana saya fikirkan berapa lama para penonton boleh tahan di dalam panggung.

Ada perancangan untuk hasilkan "Rock 5"?

Dulu saya beritahu yang "Rock Bro" adalah filem terakhir, tiba-tiba ada "Rock 4". Jadi kita lihat sahaja nanti. Buat masa ini saya ingin lihat dahulu sambutan filem "Rock 4".

Boleh kongsikan projek selepas ini?

Mungkin saya akan terokai dan hasilkan filem bertemakan pop yeh-yeh. Berdasarkan pengalaman saya, banyak kisah genre muzik itu yang kami boleh ceritakan. Era pop yeh-yeh dan rock memang tiada tandingan. Tetapi tak mudah sebenarnya kerana orang-orang zaman itu sangat sensitif dan saya perlu berhati-hati. Saya ada mengadakan temubual dan membuat penyelidikan. Jadi saya tak boleh main-main dengan era ini dan saya harap saya dapat menghasilkan filem pop yeh-yeh selepas ini. Saya juga akan berkolaborasi dengan Hasnul Rahmat dan Imuda untuk filem ini.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan filem muzikal "Rock 4: Rockers Never Dai" yang kini ditayangkan di pawagam berhampiran anda sejak 20 Februari!

Penulis: Nisa Irina

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.