Muzzamer Rahman mahu cuba arah filem pelbagai genre | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Temubual

Muzzamer Rahman mahu cuba arah filem pelbagai genre

Penulis: Ashraf Nasser

Muzzamer Rahman bakal beri dana kepada pembikin filem muda untuk hasilkan filem pendek.
Muzzamer Rahman bakal beri dana kepada pembikin filem muda untuk hasilkan filem pendek.

Mungkin ramai yang tidak kenal dengan nama pengarah muda ini iaitu Muzzamer Rahman, namun dia merupakan seorang pengarah yang cukup berbakat besar dalam dunia pengarahan dan terkenal dengan beberapa filem pendeknya yang berjaya meraih pelbagai anugerah.

Dikenali sebagai seorang pengarah 'artistik', Muzzamer enggan 'terikat' dengan satu genre tertentu sahaja, sebaliknya mahu cuba mengarah filem dari pelbagai genre.

Perkara itu direalisasikan menerusi filem seram komedi sulungnya berjudul "Takut Ke Tak" yang baru sahaja ditayangkan sejak 27 Ogos lalu di pawagam seluruh negara.

Filem terbitan Jazzy Pictures ini berkisarkan sekumpulan pelajar universiti yang perlu menghasilkan sebuah filem untuk tugasan akhir mereka dan telah buat keputusan untuk hasilkan dokumentari mengenai sebuah rumah yang didakwa berhantu.

Apabila mereka tiba di rumah itu untuk penggambaran, satu demi satu kejadian seram berlaku kepada mereka. Usaha mereka untuk keluar dari rumah itu juga gagal.

Baru-baru ini ketika majlis pra tonton "Takut Ke Tak" yang berlangsung di GSC Mid Valley, Cinema Online sempat menemubual Muzzamer bagi berkongsi pengalamannya menghasilkan filem ini.

Jom ikuti temubual eksklusif bersama Muzzamer.


Pengarah Muzzamer Rahman bersama penerbit bergambar turut patuh pada SOP, iaitu perlu memakai pelitup muka.

Cinema Online: Idea untuk menghasilkan filem ini adakah ia dari anda atau pun dari pihak penerbit?

Muzzamer: Idea untuk hasilkan filem ini bukannya idea saya, sebaliknya idea penerbit. Saya telah dihubungi oleh penerbit untuk tawarkan saya arah filem "Takut Ke Tak" dan saya tidak ambil masa lama untuk bersetuju kerana saya mahu cuba arah filem bergenre seram komedi pula.

Adakah anda ikut seratus peratus seperti skrip yang disediakan penerbit?

Tidak. Apabila penerbit beri skrip saya meneliti terlebih dahulu dan buat perbincangan sebelum ambil keputusan untuk membuat sedikit perubahan. Tidak silap saya, sebanyak 30 ke 40 peratus skrip sahaja yang dirombak kerana jalan cerita yang ditampilkan pada pandangan saya sangat menepati cita rasa penonton ketika ini.

Apabila penggambaran filem seram berlangsung pasti akan ada kejadian 'aneh' berlaku tambahan lokasi penggambaran yang terpencil atau kawasan terbiar. Adakah produksi alami situasi seram ketika penggambaran?

Alhamdulillah, sepanjang penggambaran saya dan barisan pelakon serta produksi tidak berdepan situasi seram. Semuanya berjalan dengan lancar. Malah kami juga tidak berdepan cabaran ketika penggambaran, sebaliknya cabaran bagi saya adalah ketika pos produksi kerana perlu pastikan setiap babak akan beri impak.

Ini adalah filem pertama arahan anda?


Tidak, ini adalah filem kedua arahan saya tetapi filem yang pertama ditayangkan di pawagam. Filem pertama arahan saya adalah "Prebet Sapu" yang kini masih dalam proses pos produksi. Filem itu diarah dan diterbitkan sendiri oleh saya, oleh sebab itu lambat sedikit nak siapkan.

Filem ini bagaimanapun dibintangi barisan pelakon hebat tanah air seperti Amerul Affendi, Namron, Bront Palarae, Beto Kusyairy dan ramai lagi. Saya rancang untuk tayang filem itu pada tahun hadapan.

Selain itu, apa projek terbaru anda?

Selepas ini produksi saya ada projek filem pendek yang mana kami akan beri dana kepada pembikin filem muda untuk menghasilkan filem-filem pendek. Bagaimanapun tiada butiran lanjut lagi mengenai perkara ini, InsyaAllah segala perkembangan terbaru saya akan umumkan kelak.

Cinema Online, 06 Sept 2020

Filem Berkaitan:
Takut Ke Tak (Malay) (27 Aug 2020)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE
Waktu Tayangan