Buletin
Rangga & Cinta kembali dalam "Ada Apa Dengan Cinta 2"


Tarikh disiarkan: 11 Ogos 2015


Babak filem "Ada Apa Dengan Cinta" (2002).

11 Ogos – Filem "Ada Apa Dengan Cinta" boleh dikatakan antara filem romantik paling berjaya di Indonesia.

Selepas 13 tahun filem pertama ditayangkan iaitu pada 2002, filem ini akhirnya akan mempunyai sekuel yang akan ditayangkan tidak lama lagi apabila bintang utama Dian Sastrowardoyo baru-baru ini memuat naik foto di laman sosial Instagram-nya yang mengatakan penggambaran akan bermula pada Oktober depan.

Dian akan bergandingan dengan Nicolas Saputra yang juga merupakan pelakon asal membawa watak Rangga.


Rangga dan Cinta dalam "Ada Apa Dengan Cinta".

Dalam pada itu, berita tersebut turut disahkan oleh penerbit Mira Lesmana yang mengatakan dia akan memastikan watak utama akan dilakonkan oleh duo itu.

Menurut laporan detikHot, pembikinan filem kedua itu telah diumumkan oleh Lesmana dan Riri Riza selaku penerbit asal filem ini di Popcon Asia 2015, Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Sementara itu, Riza berkata filem ini akan melakukan penggambaran di New York, Jakarta dan Yogyakarta, dia juga memberitahu bahawa penyanyi asal lagu tema "Ada Apa Dengan Cinta", Melly Goeslaw akan sekali lagi menghasilkan lagu tema bersama Anto Hoed.

Bagaimanapun, jalan cerita filem ini tidak didedahkan. Namun peminat teruja untuk melihat jalan cerita ini sekarang kerana kedua-dua watak kini sudah dewasa.


Gambar dari "Ada Apa Dengan Cinta 2014".

Terdahulu, peminat tidak sabar untuk menonton sekuel filem ini apabila tahun lalu, mini drama berdurasi 11-minit berjudul "Ada Apa Dengan Cinta 2014", yang memaparkan Rangga yang tinggal di New York mahu berjumpa dengan Cinta yang berada di Jakarta, dibuat untuk promosi aplikasi rangkaian sosial, Line.

Filem "Ada Apa Dengan Cinta" mengisahkan tentang kisah dua remaja Rangga dan Cinta yang berlainan latar belakang jatuh cinta, namun masing-masing takut untuk meluahkannya berikutan bimbang dengan kemungkinan yang bakal berlaku.

Penulis: Florey DM

Anda Mungkin Juga Suka:
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris, klik sini.