Buletin
Awie tak kisah berlakon dalam telefilem


Tarikh disiarkan: 21 Disember 2015


Selain berlakon, Awie juga kini dalam persiapan untuk konsert Wings 30 pada 25 Disember ini.

21 Dis – Pelakon dan penyanyi Awie memberitahu bahawa dia tidak merasakan reputasinya sebagai pelakon terkenal jatuh berikutan dia menerima tawaran berlakon watak sampingan dalam telefilem "Kaki Kipas".

"Saya tidak kisah berlakon filem ke drama ke, yang penting penglibatan saya sedikit sebanyak membantu industri seni," katanya kepada mStar.

Menurut pelakon utama "Dollah Superstar" ini, dia berbuat demikian kerana rasa tanggungjawabnya sebagai seorang anak seni untuk membantu sesebuah karya menjadi terbaik.

Antara faktor lain yang membuatkan pelakon berusia 46 tahun itu bersetuju untuk menjayakan telefilem tersebut, adalah pihak produksi sanggup menunggu jadualnya yang padat.

Bercerita mengenai wataknya dalam "Kaki Kipas", Awie akan membawa watak Meon, seorang pemandu untuk seorang Datuk yang mana kemudiannya bercinta dengan anak saudara Datuk itu.

Selain Awie, telefilem itu akan dibarisi pelakon lain seperti Reen Rahim, Adam Shah, Bell Ngasri dan Siti Chubby.

Dalam pada itu, Awie berkata selain sibuk dengan penggambaran dia juga kini sedang membuat latihan konsert Wings 30 yang bakal berlangsung pada 25 Disember ini.

(Sumber foto: Paparazzi.my)

Penulis: Ashraf Nasser








Ticket Pricing Guide