Buletin
Babak lapah manusia dalam "Jwanita" dipotong


Tarikh disiarkan: 7 Ogos 2015


Osman Ali seorang pengarah terkenal.

7 Ogos – Pengarah filem terkenal Osman Ali berkata dia terpaksa memotong sebanyak 30 peratus babak dalam filem terbarunya "Jwanita" berikutan terdapat babak yang agak keterlaluan.

"Saya sendiri sudah menjangkakan beberapa babak seperti Maya melapah daging manusia dan memasak sup yang kemudiannya dimakan oleh watak Julaika dan keluarganya agak keterlaluan.

"Sebab itu sebelum filem itu disunting dan dihantar ke Lembaga Penapisan Filem (LPF) kami memanggil pihak berkenaan untuk melihat proses suntingan dan mengambil nasihat supaya babak itu dan beberapa lagi dipotong," katanya kepada mStar.

Menurut Osman Ali, filem yang akan ditayangkan pada 24 September depan itu adalah berdasarkan kisah sebenar.

Tambahnya lagi, skrip tersebut dihasilkan olehnya sendiri berdasarkan beberapa kejadian yang pernah berlaku di kalangan masyarakat, yang mana dia kemudiannya menyusunnya semula agar ia dapat menghasilkan sebuah filem bergenre psiko seram.


Pengarah bersama barisan pelakon "Jwanita".

Dalam pada itu, Osman turut menjelaskan mengapa filemnya mengambil masa yang lama iaitu tiga tahun untuk disiapkan, kerana dia mahu memastikan hasil akhir filem tersebut memuaskan.

Filem "Jwanita" dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti Maya Karin, Bront Palarae, Cristina Suzanne dan Datin Umie Aida.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Pilot Cafe (Melayu) (30 April 2015)
Jwanita (Melayu) (24 September 2015)