Buletin
"Badi" taruhan terbaru Eyra Rahman


Tarikh disiarkan: 15 Oktober 2015


Penerbit, pengarah dan barisan pelakon filem "Badi".

15 Okt – Walaupun keadaan industri perfileman tempatan kini dilihat tidak stabil, namun syarikat penerbitan MIG Pictures masih terus menerbitkan filem dan terbaru filem seram "Badi" arahan Eyra Rahman.

Menurut Eyra, filem bergenre seram masih lagi relevan kerana ia bersifat universal, malah kecenderungan minat serta permintaan tinggi dari penonton terhadap filem bergenre ini sedikit sebanyak memberi idea untuk menghasilkan filem ini.

"Filem bergenre seram ini masih lagi relevan kerana sehingga kini ia masih mendapat sambutan. Ini kerana masyarakat tempatan masih mempercayai terhadap perkara-perkara mistik atau tahyul," katanya yang ditemui kepada majlis pratonton "Badi" di Cathay Cineplex, ECurve baru-baru ini.


Pengarah "Badi" Eyra Rahman.

Tambah pengarah filem "Pengantin Malam" dan "Gudang Kubur" ini lagi, walaupun ia berkisarkan dengan kepercayaan tahyul, namun elemen-elemen pengajaran turut diselitkan bagi memberi panduan serta kesedaran terhadap masyarakat khususnya.

Dalam pada itu, Eyra turut memuji barisan pelakon-pelakon yang membintangi "Badi" kerana memberi komitmen tinggi ketika penggambaran.

"Badi" mengisahkan tentang sekumpulan pelajar bidang perubatan yang diberi tugasan untuk melakukan pemeriksaan anatomi terhadap mayat bidan yang telah mati iaitu Mek Nak. Ketika proses pemeriksaan, mereka telah melanggar etika seorang doktor dan sesama manusia. Sejak dari itu, pelbagai kejadian aneh berlaku terhadap mereka.

Filem yang dibintangi oleh Azwan Kombos, Adibah Yunus, Hanif Safuan, Sharisa Haris dan Navilyna Husna akan mula ditayangkan pada 15 Oktober.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Badi (Melayu) (15 Oktober 2015)
Pengantin Malam (Melayu) (19 Jun 2014)
Gudang Kubur (Melayu) (12 Februari 2015)